Selepas beberapa hari menahan rindu mahu memeluk sahabat baik yang tak kesampaian, akhirnya Fad Bocey atau nama sebenarnya Muhammad Fadzlie Mohd Nizam, sampai juga ke Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak.
Bersama sahabat pelawak dari kumpulan Bocey, Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, mengumpul sisa kekuatan mengirimkan doa untuk sahabat yang pernah disifatkan oleh Allahyarham Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Ridzuan sebagai ‘persahabatan kekal sampai mati’.
Ikrar yang dikongsikan Fad dalam instagramnya mengundang sebak di hati. Kata Fad sambil mendakap anak Allahyarham Syed Umar Mukhtar atau Abam, “Daddy jaga Hamzah ye nak, anak daddy 4 orang sekarang
.”Kata-kata ringkas itu meruntun hati sesiapa saja yang mengikuti kisah pemergian Abam menerusi akaun instagram kedua sahabat dari kumpulan pelawak Bocey ini.
Setiap catatannya terrasa dekat, sehingga mampu menitiskan air mata tanpa dipaksa-paksa.
Melihat Fad memeluk mesra satu-satunya permata hati arwah, Syed Uthman Hamzah Al Juffrey, 8 bulan menjentik emosi sedih. Sebagaimana pesan arwah kepada ibunya agar menjaga anaknya baik-baik. Begitulah yang dirasakan oleh sahabatnya ini.
Ramai follower yang menyambut baik hasrat hati Fad yang mahu mengambil tahu perihal anak rakan baiknya yang sudah pun menjadi anak yatim itu.
Malah, ada yang mendoakan semoga dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan Fad sekeluarga yang menganggap Hamzah bagaikan anak sendiri.
Selasa malam lalu, pelawak Fad Bocey atau nama sebenarnya Muhammad Fadzlie Mohd Nizam, tiba di tanahair bersama keluarga yang bercuti di Tokyo.
Pertemuan antara Achey dan Fad di balai ketibaan lapangan terbang, begitu menyayat hati. Keduanya hanya berdakapan antara satu sama lain. Tidak terluah dek kata-kata.
Namun, masing-masing merasai emosi yang sama.
Malah Fad dan Bocey yang menziarahi kubur Allahyarham berkongsi video dengan latar suara nyanyian Allahyarham yang dirakam kira-kira setahun yang lalu.
Menerusi instagramnya, Achey turut menguar-uarkan agar para peminat mendengar dan berkongsi lagu tinggalan Allahyarham di youtube. Dalam masa sehari, sejuta lebih penonton mendengar nyanyian terakhir Allahyarham Abam.
Lagu berjudul Si Kasih itu peninggalan arwah. Ramai yang terkesan dengan bait lirik yang akhirnya menjadi nyata, ’terputus sudah antara kita, berbeza dua dunia..’
Seakan menterjemahkan kedukaan yang sedang dialami insan-insan yang terkesan dengan pemergian Allahyarham.
Pemergian Allahyarham dalam usia yang masih muda, mengejutkan ramai orang. Sehingga ke hari ini, masih ramai yang mahu mengikuti cerita-cerita kebaikan yang ditinggalkan arwah.
Memberi ingatan sama pada kita semua, agar sentiasalah berbuat baik kerana kematian itu bila sudah tiba ajalnya, tidak akan cepat, tidak akan lambat. Ia tetap akan sampai kepada kita. Al Fatihah.
Baca sini : ‘Aku nak peluk cium kau’ Fad Bocey di Jepun, tak dapat tatap Abam
MW : Semoga dua sahabat ini terus kuat dan tabah menghadapi ujian Ilahi.
Sumber/Foto : Fad Bocey, Acheykintangkintung