Jika di Barat lazimnya mereka membudayakan amalan cerai lampin, sebelum anak kecil berusia tiga tahun. Walau bagaimanapun tidak ada umur spesifik dikhususkan buat anak anda boleh diajar untuk menggunakan tandas pada waktunya.

Lazimnya menggunakan pendekatan dua pemahaman asas yang penting bagi memastikan misi cerai lampin berjaya. Langkah pertama anak anda sudah mampu bertutur manakala langkah kedua pula si dia mampu membezakan buang air kecil dan juga buang air besar.
Jika anak anda sudah mampu menguasai dua asas penting ini, anda sudah boleh perlahan-lahan memulakan misi mega menghentikan pemakaian lampin pakai buang secara berperingkat.

IKLAN

Berikut adalah beberapa tips yang boleh dijadikan rujukan sebelum anda memulakan misi percubaan cerai lampin.

Cuti PKP dimanfaat sepenuhnya ajar anak bebas lampin

1. Umur
Lazimnya apabila anak di usia dua tahun, dia sudah mampu bertutur dan membina ayat dengan baik. Dalam situasi lain, ada anak-anak yang sudah boleh memahami arahan ringkas seperti mengemas permainan, memasukkan baju kotor ke dalam bakul, minum susu menerusi cawan dan melukis apa-apa sahaja tanpa disuruh di buku contengnya. Mereka juga sudah memahami fungsi tandas untuk apa dan di mana harus dituju sekiranya perlu membuang air kecil ataupun air besar.

2. Mengadu
Anak-anak ini juga sudah pandai meluahkan perasaan mereka seperti rasa tidak selesa apabila lampin pakai buang yang dipakai telah dikotori dengan najis mahupun berat dengan takungan air kencing.

IKLAN

3. Tahu menanggalkan pakaian sendiri
Jika ada perasan, ada masanya anak-anak kecil ini cenderung untuk meniru perbuatan orang lain dan mahu melakukannya sendiri.. Sebagai contoh memakai dan menanggalkan pakaian. Ada diantara mereka yang enggan dibantu dan berusaha memakai pakaian sendiri walaupun ianya tidak sempurna.Ini menunjukkan mereka sudah mengerti fungsi pakaian itu dan tujuannya mengapa ia perlu dipakai.

4. Malu dengan kawan seusia
Situasi ini akan berlaku sekiranya anak-anak ini membesar di persekitaran nurseri. Lazimnya pihak pengurusan menggalakkan anak kecil berusia tiga tahun ke bawah sudah tidak lagi memakai lampin pakai buang. Apabila melihat kejayaan kawan-kawan lain ‘lulus’ ujian memakai seluar dalam tanpa insiden terkencing dan membuang air besar, pasti anak-anak ini teruja mahu melakukan perkara yang sama. Ada waktunya pengaruh kawan sebaya juga memberikan mereka semangat untuk segera meninggalkan lampin pakai buang dan beralih kepada seluar dalam yang sesuai dengannya.

5. Kekerapan ke tandas
Sekiranya anda sedang membuat percubaan cerai lampin, pastikan anda kerap membawanya ke tandas. Contohnya sekitar 20 minit sekiranya melihat dia minum air ataupun susu lebih kerap. Jangan leka dan sebaiknya anda tetapkan masa bagi memastikan anak anda tidak terkencing di tempat yang tidak sepatutnya.

6. Seluar dalam karakter kartun kegemarannya
Jika anda ke pasar raya, apa kata libatkan anak anda ketika membeli seluar dalamnya. Jika ada, belikan seluar dalam yang memaparkan karakter kartun ataupun warna kegemarannya. Mungkin ini menjadikan dia lebih bersemangat untuk meninggalkan lampin pakai buang.

7. Jangan marah
Sabar…sabar dan sabar. Usaha bercerai lampin ini mengambil masa. Akan ada masanya anak anda terkencing tanpa sedar dan tidak memaklumkan kepada anda terlebih dahulu. Jangan marah, elakkan memberi tekanan kepadanya. Maafkan dia, kerana dia sedang cuba menyesuaikan diri dengan perubahan baru dalam hidupnya.

8. Pilih masa yang sesuai
Pastikan anda memilih waktu yang sesuai untuk memulakan sesi latihan cerai lampin ini. Dinasihatkan anda memperuntukkan cuti hari minggu untuk memberi tumpuan kepadanya. Mulakan dengan sesi siang dahulu, setelah nampak dia boleh menyesuaikan diri. Perlahan-lahan kita panjangkan ke sesi malam pula.

9. Jangan dukung

Untuk sesi malam pula, anda digalakkan menetapkan masa di telefon bimbit anda. Jika dia minum susu sebelum tidur, pastikan anda bangun dan menggerak anak anda bangun untuk ke tandas. Elakkan mendukung anak yang sedang tidur dan membawanya ke dalam tandas. Ini kerana anak akan terkeliru dan dia tidak sedar sepenuhnya. Sebaiknya pastikan dia sedar dan pimpin tangannya ke tandas bersama-sama. Cara ini membuatkan anak anda faham, buang air kecil dan juga air besar hanya berlaku di tandas dan bukan di tempat lain

10. Akhirnya…anak anda lulus ujian cerai lampin
Anda akan rasa teruja apabila anak anda mula memaklumkan kepada anda yang dia perlu ke tandas untuk membuang air kecil. Dia juga tidak lagi terkencing di tempat tidak sepatutnya. Sekiranya anak anda mula menguasai perubahan baru itu, dia sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada lampin pakai buang buat selamanya.

Konklusinya, setiap anak berbeza fasa perkembangannya. Sebagai ibu bapa kita perlu memberi ruang dan galakkan kepadanya dalam apa jua cara sekalipun. Selamat mencuba semoga anak anda lulus dengan cemerlangnya!