Keadaan sekarang ini mungkin kita lebih fokus dalam keselamatan diri atau SOP untuk mengelakkan diri dari wabak pandemik COVID-19. Namun kita jangan lupa dan perlu juga ambil cakna tentang masalah demam denggi.
Sebenarnya, ancaman wabak demam denggi ini tetap perlu diberi perhatian sama memandangkan ia adalah endemik (yang bermaksud berlaku sepanjang tahun) dan turut menyebabkan masalah kesihatan kepada kita sejak dahulu lagi.
Tidak dinafikan, kes demam denggi pada tahun 2021 menunjukkan tren penurunan sebanyak 75 peratus dan kematian demam denggi juga menunjukkan pengurangan sebanyak 91 peratus berbanding tahun lalu. Penurunan kes demam denggi ini juga sebenarnya berlaku di seluruh negara ASEAN yang lain.
Caption: Antara sukarelawan COMBI yang terlibat dalam aktiviti promosi pencegahan denggi.
Malah, dari Januari sehingga 12 Jun 2021 sebanyak 12,188 kes demam denggi dan lapan (8) kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 48,584 kes demam denggi dan 84 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.
Caption: Sukarelawan COMBI mengedarkan flyer untuk memberi kesedaran pada orang ramai dalam mencegah jangkitan demam denggi sekaligus menghapuskan denggi.
Mengelakkan penyakit demam denggi sebenarnya tidak sukar. Hanya dengan mengambil masa sekurang-kurangnya 10 minit seminggu untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes mampu untuk mencegah jangkitan demam denggi sekaligus menyelamatkan nyawa. Inilah yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kepada seluruh lapisan masyarakat Malaysia dalam usaha untuk membasmi tempat pembiakan Aedes.
‘10 Minit Hapus Aedes’ Tema Sambutan Hari Denggi ASEAN
Pada 15 Jun setiap tahun, Hari Denggi ASEAN disambut di peringkat kebangsaan dan 10 Minit Hapus Aedes merupakan tema pada tahun ini bagi tujuan untuk menekankan komitmen dan kerjasama daripada semua pihak termasuk masyarakat, jabatan, agensi kerajaan mahupun swasta dalam usaha membanteras demam denggi.
Caption: Luangkan masa 10 minit untuk hapuskan aedes di kawasan kediaman.
Menurut Dato’ Sri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia, setiap individu dan setiap lapisan masyarakat perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit seminggu untuk melakukan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes di premis masing-masing. Malahan, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana sebahagian besar waktu diluangkan di rumah, setiap individu perlu memastikan kediaman masing-masing bebas dari tempat pembiakan Aedes.
“Dalam usaha memperkasakan pencegahan denggi, sebanyak 3,084 pasukan sukarelawan COMBI dengan penyertaan seramai 28,381 sukrelawan (Sumber COMBiS: Data pasukan COMBI sehingga 31 Mei 2021) yang terdiri daripada komuniti di seluruh negara telah bersama-sama dalam aktiviti promosi pencegahan denggi”.
“Dengan komitmen dan usaha semua pihak diharapkan usaha membanteras denggi ini akan diteruskan demi memastikan rakyat dapat menikmati tahap kehidupan yang berkualiti dan bebas dari ancaman bahaya demam denggi,” katanya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI