Cukuplah Kita Faham Serta Belajar HORMAT Cara,Prinsip Rumahtangga Orang Lain

Share

Memang ada benarnya setiap pasangan ada cara tersendiri dalam menguruskan rumahtangga masing-masing. Asas utama yang paling penting dalam rumahtangga perlu saling meredhai dan diredhai, saling membahagiakan kedua pihak suami isteri dengan penuh keikhlasan.

Kita sebagai orang luar tak perlulah komen itu ini.Cara dan situasi dalam rumahtangga kita mungkin berbeza. Cukuplah hanya perlu memahami serta belajar hormat cara serta prinsip dalam rumahtangga orang lain.

Renung sejenak dan hadamkan perkongsian daripada Puan Intan Dzulkefli ini.

Jika suami kita jenis balik rumah, apabila buka pintu lihat meja masih kosong tanpa lauk pauk, rumah seperti tongkang pecah, isteri muka seperti hantu Mak Limah, anak-anak masih masam tak mandi – tetapi dia masih senyum gembira lihat isteri dan anak-anak, alhamdulillah.

Namun, kita kena ingat, bukan semua isteri direzekikan suami yang bertimbang rasa sebegitu. Ada yang boleh naik angin jika buka pintu rumah dan lihat situasi begitu.

Banyak faktor penyebab. Mungkin juga sebab sudah terbiasa dididik dari kecil, ibunya serba serbi sempurna.

Kita boleh kata,

‘Suami saya okay je kalau pergi kerja tanpa saya siapkan sarapan. Malahan dia yang selalu siapkan atau beli sarapan.’

Namun, ada suami orang lain, kepantangannya jika dia melangkah keluar tanpa ada sarapan di atas meja atau secawan kopi untuk diminum.

Adakah kita boleh kata,

“Minta cerailah! Suami kau tu bukan manusia, tetapi lembu.”

Tentunya tidak kan? Kasut kita tak sama. Toleransi kita tak sama. Latar belakang setiap orang tidak sama. Prinsip, penerimaan dan kepantangan tidak sama.

Terimalah hakikat itu.

Saya pernah lihat, seorang suami, hanya untuk membasuh tangan pun menunggu isteri. Walhal bekas air itu bukannya jauh dari tangannya. Itu pun masih mahu disuruh si isteri menghulurkan padanya.

Istighfar juga saya melihat kelakuannya.

Ya, si isteri perlu menyiapkan segala-galanya. Namun, si isteri jujur berkata sendiri dengan anak-anak lelakinya.

“Jangan buat macam ni dengan isteri kalian. Buatlah semuanya bersama-sama. Mak ni kes lain. Anggap je mak ni kes special.”

Maksudnya dia memang redha dan gembira melayan suaminya begitu. Namun tidak pula dia mahu budaya sedemikian dinormalisasikan dalam kalangan anak menantunya. Mungkin sebab dia sedar, ketahanan mental, emosi dan fizikal setiap wanita bukannya sama yang mana mungkin dapat menjejaskan sebuah keikhlasan.

Ada pasangan suami isteri yang saya jumpa memang semua hal dalam rumahtangga suami yang buat. Penat balik kerja dari kebun, dialah juga yang masak, angkat baju di ampaian, melipat baju, kemas rumah. Isterinya bekerja sebagai guru. Tetapi (insyaAllah) rumahtangganya bahagia sahaja. Si suami okay dengan isterinya dan meredhai isterinya, dia memang tak suka lihat isterinya bersusah payah, katanya.

Bagi isteri, keredhaan suami. Itu point paling penting. Suami ikhlas dan redha. Mereka okay dengan cara rumahtangga mereka. Walhal orang luar selalu mengutuk isterinya sebagai pemalas dan sebagainya.

Tetapi apa yang pasangan ini buat? Mereka buat tak endah komen orang lain. Rumahtangga kami, cara kami. Asalkan tak salah di sisi agama, kita proceed.

Ada pasangan pula seperti yang saya ceritakan di atas tadi. Serba serbi semua isteri yang buat. Kuku pun isteri yang potongkan. Sudahlah alatan rumah semuanya tradisional, hinggakan mahu menggulai pun perlu kait sendiri buah kelapa sampailah mesin, memerah santan semuanya secara manual. Tetapi tidak pula isteri ini merungut. Memang semuanya dilakukan dengan rela dan ikhlas, walau mungkin ada wanita yang komen, ‘dah macam hamba abdi!’

Ada pula yang sejak sah ikatan nikah, semua hal berkongsi bersama. Baik kerja rumahtangga mahupun hingga menguruskan anak-anak, semuanya dilakukan bersama-sama. Sangat kontra kan?

Rumahtangga Paling Bagus

Jadi, rumahtangga yang mana yang paling bagus antara semua ini?

Jawapannya? Rumahtangga yang saling meredhai dan diredhai, saling membahagiakan kedua pihak suami isteri. Sebab rumahtangga ini didasari atas dua jiwa.

Jika cara sedemikian dipersetujui, diredhai bagi keduanya, siapalah kita sebagai orang luar mahu komen itu ini. Kita ada cara masing-masing.

Jika rumahtangga kita begini, itu rumahtangga kita, bukannya rumahtangga mereka. Cukuplah kita faham itu serta belajar hormat cara dan prinsip orang lain.

Dulu, saya juga sejenis yang cepat juga melenting andai terbaca bab-bab merajakan orang lelaki ni. Namun, sekarang sudah slow sikit. Mungkin atas faktor melihat dari sudut pandang berbeza.

Pokok pangkalnya, adakah…

Suami redha?
Isteri redha?
Suami okay?
Isteri happy?

Jika semuanya okay, then ‘go on’ dengan cara kita walau orang lain kritik begitu begini. Hal ini kerana, keikhlasan dan rasa bahagia yang lahir di dalam hati bukanlah boleh dibuat-buat.

Jalani hidup kita dengan cara kita sendiri, asalkan masih berpaksikan matlamat mengejar redha Ilahi. Sesungguhnya Allah Lebih Mengetahui apa di dalam hati – setiap dari kita.

#intandzulkefli
#randomthoughts

Pendapat peribadi. Tak setuju tak apa.

Baca Lagi Di Sini: Susah Diawal Perkahwinan Perkara Biasa, Usaha Perbaiki Pendapatan Ubah Kehidupan Rumahtangga!

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat menjadi panduan kita dalam melayari rumahtangga. Ada benarnya tak perlu masuk campur dan komen itu dan ini dalam urusan rumahtangga orang lain. Apa yang penting, dalam perkahwinan perlu rasa ikhlas, saling meredhai dan diredhai serta membahagiakan kedua pihak suami isteri biarpun cara menguruskan rumahtangga berbeza.

Published by
Suhaidah Abd Wahab