Kebanyakan orang percaya individu yang mengalami masalah meroyan ini akan kelihatan murung dan suka menjauhkan diri. Tetapi sebenarnya terdapat simptom ‘kecil‘ yang mungkin anda tidak tahu pasal meroyan.
Mungkin ada yang menganggap kemurungan selepas bersalin adalah teruk dan tidak normal, sedangkan perkara ini patut diberi perhatian lebih terutama kaum suami dan keluarga terdekat.
Seperti yang Kaunselor Laktasi, Puan Nad Masrom
lalui, dia sendiri melalui situasi meroyan selepas anak pertamanya meninggal. Macam mana dia atasi masalah ini, jemput baca perkongsian beliau kali ini, moga bermanfaat buat kaum mak-mak di luar sana.Setiap kali cerita tentang ibu kelar anak itu lalu di wall, saya segera scroll laju-laju atau terus hide.
Bukan tak nak ambil peduli. Cuma, saya sedih dan ‘takut’ untuk baca. Mana-mana ibu pun tak nak perkara tu berlaku dalam hidup mereka.
Tapi bila keluar berita semalam tentang hukuman yang akan dijalani oleh ibu berkenaan, saya rasa hiba.
Sebab saya faham bagaimana perasaan TAK SEDAR itu boleh terjadi. Bagaimana meroyan itu boleh berlaku.
“Sebab saya sendiri pernah MEROYAN.”
Rata-rata ahli keluarga atau kawan-kawan terkejut bila saya beritahu yang saya pernah meroyan sewaktu dalam pantang.
Ada yang salahkan ibu-ibu berpantang ni tak jaga diri masa berpantang, tak tutup pintu waktu maghrib, keluar sana sini tak ikut waktu, tak jaga iman, tup-tup syaitan melekat dan dapatlah meroyan.
Tapi percayalah, saya telah dijaga dengan sangat baik masa tu oleh ibu mertua dan suami saya. Baik dari segi layanan, makan, pakai, tidur, rehat dan segala yang tak tersebut.
Saya pernah lalui pengalaman ni sebelum dan selepas anak pertama saya Najla meninggal dunia.
Masa Najla dimasukkan ke NICU, ibu mertua saya segera ke rumah sewa saya di Johor Bahru.
Beberapa kali saya terdengar ibu mertua beritahu suami, “kena jaga ni, takut meroyan”.
Masa tu saya tak faham meroyan tu apa. Saya ingat meroyan tu macam sakit urat atau kembung perut atau tumpah darah.
Kemudian masa hari ke-18 berpantang, waktu tu Najla masih di NICU. Saya masih ingat masa tu saya baring di katil dan nampak Najla di atas dada saya telangkup meniarap tidur dengan lena.
Saya pegang dia dan usap dia. Tiba-tiba, ibu mertua panggil nama saya perlahan waktu saya sedang leka mengulit Najla.
Kemudian Najla hilang! Baru saya teringat Najla di NICU. Saya terus menangis sebab terlalu rindu.
Badan saya terus panas. Saya demam tiba-tiba. Ibu mertua saya panik dan saya dengar dia telefon seseorang, “Kena cepat ni takut meroyan..”
Kemudian adik ipar saya datang dan bawa saya pergi berurut. Selepas berurut, badan saya kebah. Demam saya surut. Mungkin badan yang tak cukup rehat bila berulang-alik melawat Najla.
Selepas Najla meninggal dunia pada hari ke-21 usianya, saya berada dalam fasa sedih yang biasa mulanya. Fitrah normal seorang ibu yang merasa sedih untuk keadaaan pilu seperti itu.
Kemudian sedih itu bercampur stress bila orang sekeliling mula menyalahkan saya dengan kematian Najla.
Dengan iman hanya selembar benang, saya asyik menyalahkan diri dan cuba mengiyakan apa yang orang kata tentang kematian anak saya.
Yang memberi kata-kata perangsang hanya beberapa, tetapi yang membuat andaian tidak terkira.
Pedih rasanya mendengar prasangka orang lain umpama hati yang dah terhiris luka kemudian diperah limau pula. Sangat menyakitkan!
Kerana tekanan itu, selepas beberapa hari Najla meninggal dunia, saya seperti berada dalam dunia sendiri. Menangis dan terus menyalahkan diri.
Sehinggalah satu malam, sewaktu sedang tidur bersebelahan suami, tiba-tiba saya terjaga.
Dalam bilik yang gelap dan ada sedikit cahaya dari lampu luar, saya nampak Najla dan pangku dia untuk disusukan.
Lama saya menyusukan dia dalam keadaan duduk.
Suami saya terjaga. Dia duduk menemani saya untuk beberapa ketika. Saya nampak suami saya. Saya senyum dan teruskan penyusuan dengan Najla.
Tiba-tiba suami saya menegur, “Ibu… Dahlah… Najla dah tak ada…”
Saya kalih pandangan ke arah suami. Saya berkerut tak faham. Kan saya tengah menyusukan Najla?
Kemudian saya pandang semula pada Najla di pangkuan saya. Najla hilang!
“Najla dah tak ada?!”
Kemudian barulah saya sedar, yang saya hanya berhalusinasi dan saya baru teringat yang Najla baru je dikebumikan beberapa hari lepas.
Saya tersentak dan terus peluk tiang katil dan menangis. “Najla…! Najla…!”
Ayah dan ibu mertua saya yang tidur di luar pintu bilik kami terjaga. “Buka pintu! Buka pintu!”, jerit ayah mertua.
Lampu bilik dibuka. Dan laungan azan oleh suami saya bergema. Saya masih lagi terus menangis hiba.
Proses untuk memulihkan diri saya mengambil masa yang agak lama. Ibu dan ayah mertua tak izinkan saya duduk sendirian.
Jadi saya tinggal bersama mereka di kampung masa tu meneruskan proses berpantang di sana.
Bila saya tiba-tiba hilang, ibu mertua akan cepat-cepat cari. Dan selalunya dia akan jumpa saya sendiri membaca buku-buku keagamaan.
Dalam keadaan yang masih ada nifas dan belum boleh solat, saya banyak menghabiskan masa dengan membaca untuk menguatkan diri.
Suami belikan saya puluhan buku untuk saya baca setiap hari. Itulah rawatan terbaik yang saya dah lalui.
Kerana tidak mahu terus tertekan, saya deactivate facebook. Dan selepas 5 tahun barulah saya buka semula facebook dengan akaun yang baru dan nafas baru.
Syukurnya saya ada keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa beri sokongan masa tu. Yang tak pernah bosan melayan mesej saya. Yang tak putus-putus mendoakan saya.
Mereka sangat berhati-hati ketika menjawab soalan-soalan saya seperti, “aku ke yang salah..?” “Sebab Nad ke Najla meninggal?” “Apa Nad nak buat lepas ni?”
Terima kasih kepada kawan-kawan yang setia membalas mesej sewaktu hampir 2 bulan saya cuba pulihkan diri: Nur Hidayah Othman, Kak Mila, Kak Siti Aisyah Tajudin, Shuhadak Zaidun, Kak Nour Nur Aisyaa.
Saya terhutang budi dan nyawa kepada mereka kerana mereka telah membantu menyelamatkan ‘masa depan’ saya.
Meroyan boleh berlaku kepada sesiapa dalam apa jua keadaan sekali pun.
Sebab tu jangan pelik kenapa saya selalu buat kerja gila melayan ibu-ibu berpantang selewat 3-4 pagi yang tertekan sebab anak asyik menangis tak boleh menyusu.
Jangan hairan kenapa saya sanggup memandu jauh dalam keadaan sarat mengandung semata-mata nak bantu ibu-ibu yang baru lahirkan anak menyusukan anak mereka.
Saya bukan baik. Jalah salah anggap. Saya cuma trauma dengan ‘kehilangan’ dan saya tak nak ibu-ibu ini melalui pengalaman perit seperti saya.