Kalau nak belek cerita bab nafkah, memang tak akan pernah habis. Baru-baru ini tular pula kisah lelaki yang mengeluh pasal isterinya. Kononnya dia dah bagi duit nafkah tetapi bini macam tetap tak pandai jaga penampilan.
Hmm… apa lagi, panaslah kaum wanita yang membaca luahan lelaki tersebut. Nak-nak pula dia kata dah bagi nafkah sebanyak 200. Eh, cukup ke tak cukup ya?
Haaa… sebelum pergi lebih jauh, jemput jentik emosi dalam perkongsian Puan Intan Dzulkefli tentang nafkah dan tanggung jawab seorang suami.
Orang lelaki, bila terniat dalam hati, berkahwin untuk meringankan beban sebab nak kongsi gaji isteri, untuk menyenangkan diri ada orang masakkan makanan, basuhkan baju, uruskan rumahtangga, lahir dan tanggung makan pakai anak-anak, kat situ je dah salah dah.
Sebabnya bila orang lelaki berkahwin, dia bukan meringankan beban sebaliknya bertambah-tambah berat amanah yang nak dipikul. Kalau sebelum nikah hanya perlu fikir redha mak ayah, selepas kahwin nak fikir tarbiyah, nafkah isteri dan anak-anak.
Nafkah bukan setakat keluar rumah pergi kerja, pukul 5 balik kerja pergi main futsal, lepak mamak, kemudian dah release tension baru balik rumah tengok anak-anak dah mandi, makan, siap kerja rumah, baju dah bergosok sebab semua isteri setelkan. Cukup bulan beri RM200 pada isteri, “haaa tu je belanja, kat situlah awak pandai-pandai bajet barang dapur, susu anak, pampers anak, jimat-jimat!”
Bila isteri serabai pakaian dalam pun dah seperti roti kirai, rupa dah serupa hantu Kak Limah, pergilah buat ayat karangan mengadu di KRT kata isteri gemuk, makan je kerja, buruk, baju dalam pun tak selera nak tengok.
Bukan semudah itu nak dapat title suami soleh dambaan bidadari syurga ni, tuan-tuan.
Dan di sebalik ayat ugutan, “sebab tu lah Nabi SAW kata, ramai wanita kat neraka…” sebenarnya wanita-wanita ini menarik tangan lelaki-lelaki durjana terhumban sama. Sebab lelaki adalah qowamu ‘alannisa.
Lelaki seperti ini, kalau kamu lihat bagaimana Rasulullah SAW, para alim ulama’, orang-orang soleh menyantuni isteri dan ahli keluarga, kamu pasti akan malu nak ‘menerakakan’ isteri kamu kerana mereka ini fokusnya untuk memimpin tangan anak isteri ke dalam syurga.
Sesekali muhasabah diri, ada tak lepas imamkan solat isteri tanya luahan hatinya, usap air matanya, pujuk dia. Ada tak sebelum tidur peluk cium dan ucapkan terima kasih padanya kerana sudi sama-sama menanggung berat amanah rumahtangga. Ada tak minta maaf padanya kerana kurang sangat beri didikan agama, buat taklim kerana kesibukan dirimu.
Wahai suami, sesungguhnya kamu adalah acuan keluarga. Baik yang kamu beri untuk rumahtangga, insyaAllah begitu jugalah baik terlihat pada anak isteri.
Keras mana pun seorang wanita, pasti akan lunak hati bila berdepan suami yang berlemah lembut dan santun. Percayalah.
Firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kalian & keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia & batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka & selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” [At-Tahrim: 6]
Rabbana hablana min azwajina wa dzurriyatina qurrata a’yun, wa’j ‘alna lil muttaqina imama. Amiin.
Muhasabah saya yang menulis.
Para isteri yang ada suami baik dan soleh, bersyukurlah. Alhamdulillah ‘ala kulli nikmah.