Cucur Manis Tiga Bahan Untuk Anak Tak Suka Sayur Gerenti Licin

Share

Naik pening mak-mak nak masak menu apa masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Nak-nak anak pula jenis yang memilih makanan, ada yang tak suka sayur. Bagi anak-anak begini, mak-mak boleh cuba resipi cucur manis yang dikongsikan oleh Puan Intan Yuhasnida Zakariya.

Hanya tiga bahan yang digunakan, tepung gandum, susu pekat atau gula dan air mendidih. Menu ini sangat mudah disediakan, suami pun boleh cuba memasak untuk si kecil. Paling best, penyediaan resipi ini mengambil masa sekitar 10 hingga 10 minit. Lepas tu bolehlah ngap beramai-ramai.

Guna Air Mendidih Rahsia Cucur Rangup

Kalau nak cucur rangup di luar dan lembut di dalam, jangan derhaka dengan resipi yang dikongsikan. Ikut sebijik-sebijik, insya-Allah jadi. Yang penting guna air mendidih bukan air panas dari penapis air.

Masukkan air mendidih sedikit demi sedikit dalam adunan tepung, kemudian kacau. Ulangi langkah yang sama sehingga adunan tepung sebati. Teknik ini bagi mengelakkan tepung berketul. Jangan bancuh tepung terlalu cair. Untuk seimbangkan rasa cucur manis, boleh juga letakkan secubit garam.

Boleh Tambahkan Jagung Untuk Lebih Enak

Bagi menambah keenakan cucur manis, hiris jagung dan masukkan ke dalam adunan. Itu pun jika anak-anak suka. Jika anak tak suka jagung, mak-mak boleh buat dua acuan. Satu acuan ditambah jagung untuk suami tercinta.

Senangkan, acuan asas sama sahaja. Mak-mak boleh gunakan kreativiti dengan menambah bahan lain juga seperti keju, milo, oat dan sebagainya. Inilah masa nak asah skill memasak. Yang penting resipi ini jimat, cepat, mudah dan enak. Selamat mencuba!

 

Resipi Cucur Manis

 

Bahan-bahan

3 cawan tepung gandum

3 sudu gula putih/ gula perang/ susu pekat manis

Air mendidih secukupnya

Secubit garam jika suka

Minyak untuk menggoreng

 

Cara membuat:

1-Masukkan tepung gandum dan gula, gaul sebati.

2-Kemudian masukkan air panas mendidih sedikit demi sedikit. Gaul sehingga sebati.

3-Panaskan minyak, goreng cucur dengan api sederhana.

4-Bila cucur bertukar warna perang, angkat.

5- Sedia dihidangkan, boleh juga taburkan sedikit gula pastor jika suka.

 

Nota

*Bagi yang suka rasa lemak-lemak manis, gantikan gula dengan susu pekat. Untuk resipi ini, masukkan air mendidih dalam tepung dahulu, gaul sebati. Kemudian baru masukkan susu pekat dan secubit garam. Gaul sebati, kemudian goreng cucur sehingga keperangan.

 

 

Published by
intan rohaizat