Ilmu pertahanan diri sangat penting bagi seorang wanita. Terutamanya ketika berhadapan dengan detik cemas untuk keselamatan diri.Pelajarilah apa juga jenis ilmu pertahanan diri yang ada, muay thai, tinju, silat, taekwondo dan sebagainya sebagai ‘bekalan’ dalam diri.
Silap besarlah apabila cubaan seorang perompak untuk menyamun wanita yang juga merupakan seorang peninju antarabangsa, tidak kesampaian.
Ternyata tindakan perompak ini yang cuba menyamun mangsanya mengundang padah apabila dia dibelasah teruk dalam satu kejadian di Jacarepagua, Rio De Janeiro baru-baru ini.
Suspek lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu menggunakan senjata pistol palsu yang diperbuat kadbod ketika cuba merompak Polyana Viana, 26. Mangsa pada ketika itu sedang menunggu ketibaan pemandu Uber di luar kediaman blok apartmennya ke satu lokasi yang tidak dinyatakan.
Berdasarkan laporan, Polyana Viana, 26, adalah salah seorang peserta wanita Ultimate Fighting Championship (UFC), membelasah suspek hingga berlumuran darah.
Suspek dikatakan mengarahkan Viana untuk menyerahkan telefon bimbit, namun rompakan itu gagal selepas mangsa segera menumbuk dan menendang lelaki itu sebelum mencekiknya hingga polis tiba.
Viana meminta bantuan pejalan kaki di situ untuk menghubungi polis selepas menyedari suspek enggan melawan balik.Polis kemudiannya membawa lelaki itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan siasatan mendapati, suspek baru sahaja dibebaskan bagi satu kesalahan jenayah lain.
MW: Barulah buku bertemu ruas. Jangan ingat wanita seorang insan yang lemah. Semoga lebih berhati-hati dan lengkapkan diri dengan ilmu pertahanan diri.
Sumber: Kosmo & Channel News Asia