
Isi Kandungan
ToggleGelagat tiga bulus, Garfield (Oyen), Maya (Abu0abu) dan Kora (muka gelap badan putih) ini ternyata menghiburkan. Kisahnya, macam-macam usaha tiga bulus ni buat nak bagi sepahkan rumah owner kesayangan, Zuraita Mohd Anua.
Sudahnya, usaha mereka semua gagal.
Mencuit hati betul setiap jalan cerita yang dikongsikan pemiliknya pada setiap gambar yang dikongsi. Apa pun, pelihara kucing ini kalau hati ikhlas memang mengundang bahagia di hati. Murah rezeki pun iya.
Kongsi Zuraita tentang anak-anak bulusnya dalam grup Kucing Sepah Apa Hari Ini?. “Kami cuba untuk sepahkan rumah tapi rumah tetap kemas semula seperti sediakala. Mungkin ada pari-pari yang telah mengemaskannya kembali!”
Misi Sepahkan Rumah Bermula
Kami cuba untuk makan bersepah tapi tetap tak berjaya. Makanan tak tumpah-tumpah. Elok je dalam bekas.
Saya sengaja gugurkan bulu tapi si bulat putih itu telah membersihkannya sepantas kilat. Saya gagal lagi menyepahkan rumah.
Kami berdua cuba untuk bergaduh supaya keadaan rumah huru hara tapi ternyata kami sukar memulakan permusuhan.
Kami main aucak sambil cuba merosakkan bunga di atas meja tapi bunga itu kelihatan kebal dan tak goyah walau apapun.
Selagi Belum Berjaya..
Saya cuba minum gaya orang mabuk supaya tumpah tapi rupanya saya pun tak tahu orang mabuk itu bagaimana. Kesudahannya, saya minum dengan tertib sekali.
Saya cuba untuk cakar tetapi seakan ada mata ibu peri yang melirik. Saya jadi takut dan cuma duduk sopan di atas kerusi ini.
Saya ingin jatuhkan bunga itu tapi bunga itu baik, tidak pernah sekali cuba menjatuhkan saya.
Saya cuba untuk tinggalkan sedikit benang carik di atas sofa ini tetapi kuku saya tidak mahu melakukannya.

Kami berdua cuba untuk menyepahkan katil yang sudah kemas ini namun ternyata gagal kerana katil itu terlalu empuk untuk kami landing.
Saya melihat jam lagi 0.02 saat menunjukkan masa untuk saya membuat sepah. Tapi ya, saya sekadar terdiam kerana saya merasa cantik dalam posisi ini. Saya berhasrat untuk maintain cantik sahaja.
Ya kami bertiga rupanya tak pernah membuat sepah. Kami begitu behave. Yang suka membuat sepah itu rupa-rupanya anak manusia ini!!! Lihat saja mejanya. Belum lagi dalam lemarinya. Ya ampun!
MW : Hahaha.. rupanya bukan kucing-kucing comel ini yang sukan buat sepah ya..
Baca sini : Penuh kucing jaga jenazah mama sebelum dikebumikan – Serina Redzuawan
Sumber/Foto : Zuraita Mohd Anua
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Andartu Tertekan Jodoh Culas Sebab Gemuk

Isi Kandungan
ToggleAda perkara yang di luar kawalan kita sebagai manusia. Segalanya telah ditentukan oleh Allah SWT. Misalnya soal jodoh.
Setiap manusia pasti ingin hidup berpasangan. Namun bukan semua ditakdirkan memiliki pasangan hidup. Bagi wanita terutamanya, masih bergelar dara pada usia yang sudah mencecah angka 40-an pasti merungsingkan fikiran. Ikuti luahan rasa seorang wanita bujang kepada kolumnis ruangan Ya Tuhan, Puan Maimunah Mohamad, seorang Kaunselor dan penulis bebas.
Usia Cecah 40 Tahun
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang wanita yang masih belum lagi berumah tangga walau pun usia saya sudah menginjak ke angka 40 tahun pada bulan Mac nanti. Saya anak sulung daripada tiga beradik perempuan.
Dua orang adik sudah pun mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak-anak. Dengan anak-anak saudara itulah saya tumpang bermanja dan memanggil saya dengan gelaran ‘ibu’. Saya tinggal berdua bersama emak, sejak kematian ayah 15 tahun lepas. Nasib baik juga adik-adik ipar saya baik dan sentiasa mengambil berat tentang saya dan mak. Setiap kali cuti sekolah, anak-anak yang sudah boleh berdikari (lingkungan 8 – 16 tahun) akan dibenarkan balik kampung. Itu semua atas permintaan mak yang seronok bila tiba cuti sekolah, rumahnya meriah dengan cucu-cucu.
Saya seorang guru sekolah rendah dan dengan pendapatan saya, cukup untuk menanggung diri dan mak. Tambahan pula, mak ada pencen askar arwah ayah. Lebih daripada mencukupi untuk menampung kehidupan kami tanpa perlu susahkan adik-adik. Syukur, sudah beberapa kali saya membawa mak menunaikan umrah, dengan menumpang mahram adik dan suaminya.
Kesunyian
Walau pun daripada luaran, saya nampak gembira, tapi jauh di sudut hati, saya rasa ada ruang ‘kosong’ dalam diri yang belum terisi. Terus terang, saya masih menyimpan hasrat untuk mendirikan rumah tangga kelak.
Kadangkala saya tertanya-tanya, apakah kerana fizikal saya yang gemuk membuatkan tidak ada lelaki yang sukakan saya? Pernah beberapa kali saya cuba bercinta tapi semuanya kandas di tengah jalan. Ada yang sekadar nak pergunakan saya kerana saya berduit dan ada juga yang terpaksa putuskan hubungan dengan alasan keluarga tak restu. Puan, saya rasa sedih dengan keadaan ini. Apakah orang sekarang hanya melihat paras rupa semata-mata?
Keluarga Faham
Saya bersyukur kerana mak dan adik-adik faham perasaan saya. Tidak pernah merungut jika saya tidak mahu ikut serta pergi ke kenduri kahwin jiran atau saudara mara. Saya sudah malas ditanya soal perkahwinan. Hanya orang tak siuman saja yang tak ingin kahwin!
Akhirnya saya makin jarang menghadiri majlis kahwin kecuali rakan rapat atau keluarga terdekat saja. Biasanya saya akan hantar dan jemput mak, kemudian sanggup duduk menunggu di dalam kereta. Sampai ke tahap itu perasaan yang saya alami.
Cuba Diatur Jodoh
Pernah juga makcik-makcik saya cuba aturkan jodoh saya. Tapi kalau yang dipilih itu duda yang sudah berumur atau lelaki yang tak tetap kerjanya, takkan saya nak terima. Walau pun andartu, tapi saya bukan terdesak untuk kahwin hingga tak tengok dulu latar belakang lelaki itu. Saya ingat pesan mak. Jangan kahwin semata-mata nak tutup mulut orang. Biarkan apa orang nak cakap. Kalau tak bahagia, kita yang kena tanggung. Bukan bermaksud saya terlalu memilih dan pandang rendah pada orang bekerja sendiri, tapi saya rasa saya berhak untuk memilih yang terbaik untuk diri saya.
Terus terang, soal jodoh saya sudah serah bulat-bulat kepada Yang Esa. Hanya mampu berdoa saja. Cuma saya tak nafikan, ada masanya perasaan sedih itu datang bila lihat kebahagiaan pasangan lain. Puan, bagaimana saya nak pujuk diri agar lebih tenang dan reda menghadapi dugaan jodoh yang tak kunjung tiba…
Gadis Senja, Perak.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Allah mencipta manusia dalam pelbagai bentuk dan rupa. Pelbagai warna kulit, bangsa dan bahasa. Bagi kita yang dilahirkan sebagai Islam, adalah satu rahmat dan nikmat yang yang tidak terhingga nilainya. Setiap daripada kita sebagai seorang Islam ada kelebihannya. Yang cantik dan yang hodoh, yang kurus dan yang gemuk, masing-masing ada kelebihan. Malah yang sempurna anggotanya mahupun yang cacat anggota pasti ada perbezaan dan kelebihan masing-masing.
Amat bersyukur lagi kita sebagai hamba-Nya kita sempurna kejadiannya, tanpa ada kecacatan anggota. Ada insan yang lahir tetapi tidak pernah dapat melihat keindahan alam ini. Ada insan yang berhadapan dengan kemiskinan tegar untuk mendapat rezeki perlu bertarung nyawa untuk menghilangkan rasa lapar.

Justeru,…”nikmat mana lagi yang kamu dustakan”.?…..ayat yang Allah ulang-ulang pertanyaan kepada hamba-Nya dalam surah Ar Rahman tentang apa lagi yang tidak cukup yang dikurniakan kepada kita ?
Malah kepada manusia yang diuji dengan pelbagai ujian oleh Allah sebenarnya orang itu disayangi Allah. Tanpa manusia itu menyedari bahawa sayangnya Allah terhadapnya melebihi berkali ganda sayang seorang ibu kepada anak kecilnya. Lihat sahaja nabi diuji dengan pelbagai ujian hanya kerana untuk meningkatkan tahap keimanan terhadap Allah, yang menunjukkan nabi amat disayangi Allah. Begitu juga kita hamba-Nya, diuji dengan ujian yang terlalu sedikit.
Ada Keistimewaan
Tahukah saudari orang gemuk ada keistimewaannya yang tersendiri? Kebanyakan orang gemuk disukai oleh orang-orang sekelilingnya. Apabila orang menyukai, bermakna mereka menghargai kita. Penghargaan itu adalah antara istimewanya saudari di mata manusia lain. Anda sendiri mengaku bahawa anda punya keluarga yang harmoni. Itulah antara kebahagiaan yang saudari kecapi kini yang merupakan satu rahmat dan nikmat.
Berbalik kepada soal jodoh, aya kurang pasti adakah kerana gemuk maka jodoh lambat saudari temui. Jika anda merasakan bahawa kegemukan adalah antara halangan dan sebab tidak mendapat pasangan, maka usaha ke arah “menguruskan” badan tidak mustahil boleh dilaksanakan. Ramai orang gemuk yang berjaya mengurangkan berat badan dalam tempoh tidak sampai setahun. Mereka sanggup tidak makan nasi sebulan sekali dan hanya makan sayur-sayuran dan ikan. Jika anda punya Kegigihan, dan komitmen serta disiplin diri yang tinggi dan keazaman yang kuat untuk mengurangkan berat badan, insya Allah saudari akan berjaya satu hari nanti.
Memilih
Hakikat pada hari ini perlu kita akui bahawa wanita semakin ramai dan lelaki semakin berkurang. Peluang untuk memiliki lelaki yang menepati kriteria pemilihan yang saudari tentukan mungkin paling sukar ditemui. Walaupun hanya kriteria bekerja tetap, namun masih sukar ditemui. Malah mungkin juga tiada pilihan langsung. Apatah lagi jika usia telah melewati 40 tahun. Semakin sikit peluang tersebut. Dan apabila saudari menyebut “Bukan bermaksud saya terlalu memilih dan pandang rendah pada orang bekerja sendiri, tapi saya rasa saya berhak untuk memilih yang terbaik untuk diri saya…..Maka ini akan bertambah sukar untuk mendapat calon mengikut cita rasa saudari kerana hakikat yang saya sebutkan di atas tadi bahawa wanita ramai dari lelaki , maka pilihan amatlah terhad. Realiti dan hakikatnya bahawa perlu diakui. Justeru, jika mahu meneruskan hajat, maka kriteria bukan bekerja sendiri tu perlu dilihat kembali.
Bukan hanya perkahwinan sebagai faktor penentu yang boleh membawa kebahagiaan kepada puan. Hidup ini banyak pilihan dan banyak peluang serta cara lain untuk bahagia. Berlapang dada, terima hakikat dan beri peluang pada diri. Jika saudari bertemu jodoh, kahwinilah lelaki yang baik, beriman dan punya tanggungjawab. Namun jika itu tidak ditemui, berbahagialah dengan apa yang puan miliki kini berbanding dengan insan-insan malang seperti yang saya gambarkan di awal penulisan ini. Sekiranya ditakdirkan saudari masih belum bertemu jodoh, banyak cara dan peluang untuk menambah pahala menuju ke syurga.
Sebelum saya akhiri, izinkan saya menyebut sesuatu yang pernah kita dengar….. “Kita sering dapat apa yang kita perlukan…. kita hanya tidak dapat apa yang kita inginkan”. Percayalah puan, Allah tidak pernah menghampakan kita…Dia akan berikan apa yang kita perlukan. Tetapi mungkin Dia tidak berikan apa yang kita inginkan kerana belum tentu apa yang kita inginkan itu terbaik untuk kita. Malah jika kita perolehnya berkemungkinan besar ia akan memberi kemudharatan pada kita. Wallahualam.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tabiat MATA Terlalu Hampir Dengan Skrin, Anak Buat Rawatan Pembedahan ‘Lazy Eye’ RM53 Di HKL

Isi Kandungan
ToggleTabiat Mata Terlalu Hampir Dengan Skrin, Anak Buat Rawatan Pembedahan Mata ‘Lazy Eye’ RM53 Di HKL. Zaman sekarang ini anak-anak dan gajet memang sukar untuk dipisahkan. Namun sebelum terlambat, mak ayah perlu pantau penggunaannya, supaya anak tidak terlalu fokus pada skrin gajet ini dan boleh menyebabkab ‘lazy eye’.
Bukan apa, kos untuk pembedahan dan rawatan membetulkan semula kornea mata ini pada pada kedudukan yang betul di hospital swasta boleh mencecah RM7,000. Namun, hospital kerajaan juga tidak kurang hebatnya mempunyai kepakaran dan peralatan canggih untuk melakukan pembedahan Lazy Eye pada harga yang jauh lebih murah.
Baca perkongsian daripada Herman Plani Syafrudin ini sebagai rujukan.
Lazy Eye
Disebabkan ada yang bertanya bagaimana anak saya (Fateh Anaqi) melalui proses pembedahan mata Lazy Eye, saya akan kongsikan kepada umum secara lengkap.
Mata Terlalu Hampir Dengan Skrin
Ketika Anaqi dilahirkan ke dunia ini pada 7 Feb 2017, kedua-dua matanya normal.Anaqi ada tabiat apabila menonton televisyen, bermain komputer atau telefon, matanya terlalu hampir dengan skrin. Tambahan pula kami tidak pernah mengawal untuk dia melakukan perkara tersebut. Itu adalah kesalahan kami.
Sehingga umurnya mencecah 4 tahun, saya dan isteri mula perasan mata kiri Anaqi ada lari sedikit. Ya, sangat sedikit. Kami merasakan perkara tersebut hanya sementara dan akan hilang dengan sendirinya.
Setelah beberapa bulan, mata kanan Anaqi pula lari. Lama kelamaan, matanya semakin teruk.
Kami bawa dia ke Pusat Pakar Mata Oasis di Bangsar. Pusat ini memang agak tinggi sedikit harganya tapi bukan itu sebagai ukuran kami tetapi kepakarannya yang kami mahukan.
Doktor menasihati supaya Anaqi melakukan latihan mata setiap hari dengan menggunakan pensel dan eye patch. 1 tahun berlalu usaha itu tidak membuahkan hasil yang positif.
Saya mula mencari maklumat di dalam laman sesawang.
Buat Pembedahan Sebelum Usia 7 Tahun
Apa yang dapat saya simpulkan, hampir ke semua pesakit menasihati supaya pesakit Lazy Eye melakukan pembedahan segera sebelum usianya mencecah 7 tahun kerana pada usia tersebut anak akan mula masuk ke sekolah rendah dan akan berhadapan dengan kawan yang ramai. Khuatir anak tersebut akan di ejek dan ia boleh mendatangkan rasa rendah diri dan murung untuk dia ke sekolah lagi.
Saya pergi semula ke Pusat Pakar Mata Oasis untuk bertanyakan berapa kos pembedahan tersebut. Doktor memberitahu bahawa kosnya mencecah RM7000 dan boleh dilakukan bila-bila masa.
Cuma doktor di pusat tersebut tidak berani melakukannya kerana mereka tiada doktor pakar bius memandangkan umur Anaqi baru berusia 5 tahun. Untuk makluman, pembedahan mata bagi kategori Lazy Eye memerlukan bius sepenuh badan.
Jadi, saya meminta untuk doktor tersebut membuat 1 surat rujukan secara lengkap untuk saya bawa kepada Hospital Besar Kuala Lumpur.
Apabila surat itu saya bawakan kepada Doktor Pakar Mata di HKL, beliau sudah tahu apa yang perlu dibuat.
Perlu Keadaan Mata Statik Untuk Buat Pembedahan
Ya, Anaqi perlukan pembedahan. Cuma Anaqi perlu melalui “check up” setiap 4 bulan dan sebanyak 3 kali. Bermakna selama 1 tahun Anaqi wajib di pantau keadaan matanya supaya statik. Dalam tempoh 1 tahun itu, mata Anaqi mestilah tidak boleh bertambah buruk, atau pun bertambah baik. Ianya mesti statik supaya doktor tahu itulah tahap maksima mata Anaqi lari.
Setelah 1 tahun berlalu, usia Anaqi 6 tahun, doktor telah mendapatkan keputusan yang tepat di mana kedudukan otot mata Anaqi akan di bedah.
Tabiat Terlalu Fokus Pada Sesuatu Objek
Anaqi akan di bedah pada otot mata di bahagian tepi kiri dan kanan supaya dapat dilonggarkan. Untuk makluman pembaca, pesakit Lazy Eye mempunyai tabiat terlalu fokus pada sesuatu objek itu sehinggakan otak tak mampu mengawal otot pada matanya. Jadi otot itu mesti dilonggarkan kerana terlalu ketat.
Sehari sebelum pembedahan, Anaqi dimasukkan ke dalam wad untuk pemantaun kesihatan. Dia tidak boleh demam, batuk atau apa sahaja infeksi.
6 jam sebelum pembedahan, Anaqi kena berpuasa.
Tiba bilik pembedahan, Anaqi diberi pilihan untuk ditidurkan menggunakan gas melalui pernafasan atau melalui suntikan. Sedikit pun Anaqi tidak takut dan memilih untuk ditidurkan melalui gas pernafasan.
5 minit selepas itu Anaqi tertidur. Ketika ini doktor memberi kebenaran untuk ibu atau ayah penjaga memberi kucupan terakhir kepada anak sebelum pembedahan bermula. Yang ni agak sayu beb.
Pembedahan mengambil masa 1 jam sahaja.
Selepas 1 jam pembedahan, Anaqi dibawa keluar dari bilik pembedahan. Ketika ini ibu atau ayah penjaga perlu mengejutkan anak supaya bertindak balas. Alhamdulillah Anaqi bertindak balas walau dalam keadaan separuh sedar.
Doktor minta ibu atau ayah memantau anak sehingga benar-benar sedar dan mampu untuk membuka matanya dengan sendiri.
4 jam kami ambil masa untuk menunggu Anaqi sedar sepenuhnya. Ketika itu, Anaqi membuka matanya walau agak pedih katanya.
Ajaibnya mata Anaqi lurus seperti sediakala. Cuma di bahagian tepi kiri dan kanan bola mata Anaqi ada kesan merah dan darah terkumpul. Kata doktor, itu hanya kesan pembedahan dan ianya akan hilang dalam tempoh beberapa minggu atau bulan.
Selepas itu, Anaqi boleh terus pulang.
Ubat yang diberi, “eyemo” dan ubat krim untuk alahan.
Anaqi tidak akan berasa selesa buat beberapa hari kerana dalam bola mata Anaqi ada benang yang telah dijahit pada otot mata.
Usah bimbang, benang tersebut akan rapuh dengan sendirinya dalam masa 1 atau 2 minggu.

Bayaran Rawatan & Pembedahan RM53
Bayaran yang dikenakan oleh pihak HKL adalah sebanyak RM53 sahaja.
Ya, murah dan tak masuk akal. Itulah kebaikan dan keperihatinan kerajaan kita yang tidak ada di mana-mana di dunia ini. Alhamdulillah syukur jadi rakyat Malaysia.
Kata doktor, ramai yang tidak tahu, sekarang negara kita sudah ada doktor pakar dalam bidang ini. Tidak perlu keluar negara lagi. Negara kita juga ada kepakaran dan peralatan canggih untuk melakukan pembedahan Lazy Eye.
Hari ini genap 1 bulan Anaqi mempunyai mata baru. Matanya sudah kembali normal. Lurus dan pandangannya jelas. Merah dan darah kesan dari pembedahan sudah semakin hilang.
Kami bersyukur Anaqi sudah selamat seperti sediakala. Terima kasih doktor di HKL kerana berjaya melakukan pembedahan yang sangat berisiko ini. Terima kasih juga atas doa kalian semua.
Alhamdulillah, terima kasih Tuhan. Amin.
Semoga tulisan ini bermanfaat buat kalian. Terima kasih.
Semoga Bermanfaat.
Mesti Baca:Datang Anak ‘Main Games’, Jangan Lebih 2 Jam Sehari, Mak Ayah TOLONG Tetapkan Peraturan
Baca Lagi Di Sini:Kongsi Ilmu Anak ‘Speech Delay’ Tasha Kurangkan Gajet, “Akhirnya Umur 3 Tahun Anak Sebut Ayat Lengkap”
Artikel Menarik:Gajet Dan Anak Sukar Dipisahkan, Tugas Mak Ayah Kawal Elak Ketagih!
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan rujukan dan panduan buat mak ayah yang lain sekiranya anak mengalami ‘lazy eye’.
Sumber: Herman Plani Syafrudin
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pencarian Ratu Hijabista Kini Bermula, Rancangan Realiti Untuk Wanita Berhijab

Hijabista sebagai satu-satunya jenama majalah dan digital di Malaysia yang menjadi rujukan lengkap fesyen, gaya hidup dan kecantikan untuk fashionista bertudung membawakan rancangan realiti Ratu Hijabista.
Rancangan realiti ini membuka peluang kepada semua wanita berhijab tanpa mengira status untuk mencuba nasib dan sekaligus mempertaruhkan bakat, rupa dan personaliti menarik untuk dinobatkan sebagai juara di penghujung pencarian.
Peserta mestilah berumur antara 21 tahun hingga 30 tahun pada tahun 2020. Tarikh ujibakat secara atas talian akan bermula dari 1 Jun – 14 Jun 2020.
Langkah-langkah penyertaan adalah seperti berikut:
1.Muat naik video pengenalan diri anda di Instagram.
2.Tag Majalah Hijabista @hijabistamag dan hashtag #majalahhijabista #ratuhijabista #safihijabista #sayasayangsaya. Pastikan akaun Instagram anda berada dalam mod terbuka.
3.Isi borang secara atas talian di www.hijabista.com.my/ratuhijabista bagi melengkapkan penyertaan anda.

Program realiti Ratu Hijabista akan bersiaran selama sejam setiap minggu untuk lapan episod setiap Rabu bermula 12 Ogos 2020 jam 9 malam di saluran Astro Prima.
Pemenang Ratu Hijabista akan membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000, tiara dan berpeluang menjadi penghias kulit majalah Hijabista keluaran Januari 2021.
.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI