Cuaca Panas Seluruh Negeri Utara Hingga Mac, Kurangkan Aktiviti Luar Elak Strok Haba

Share

Kebelakangan ini memang terasa cuaca terasa sangat panas. Kadang-kadang tidur malam pun tak selesa, apatah lagi mahu melakukan aktiviti luar. Keadaan bertambah buruk di Kedah dan neger-negeri utara di tanahair kerana di sana ketika ini berhadapan dengan cuaca panas yang tidak berpenghujung.

Oleh itu, rakyat Kedah dinasihatkan agar menjimatkan penggunaan air, berhati-hati melakukan aktiviti luar, tidak melakukan pembakaran terbuka dan minum air secukupnya semasa tempoh cuaca panas dan kering.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata berdasarkan pemantauan terkini, keadaan kurang hujan sudah bermula di utara Kedah dan Perlis dengan beberapa kawasan sudah tidak menerima hujan sejak beberapa minggu.

Katanya, jumlah paras air di empangan tertentu agak kurang berbanding biasa kerana negara sedang berada pada fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir Mac.

“Secara klimatologi, tempoh akhir Monsun Timur Laut ini adalah tempoh kurang taburan hujan di seluruh negara kecuali di barat Sarawak dan Sabah.

“Dalam tempoh ini, ketiadaan hujan atau taburan hujan yang rendah dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan keadaan cuaca yang agak kering terutama di negeri-negeri utara Semenanjung (Kedah, Perlis, dan utara Perak) serta utara Kelantan dan utara Terengganu di pantai timur,” katanya lagi.

Kurang Menerima Taburan Hujan

Di samping itu tambah Jailan, dalam tempoh itu, Kedah dan Perlis dijangka menerima defisit hujan antara 20 peratus hingga 40 peratus berbanding jumlah biasa dan keadaan ini dijangka berterusan hingga akhir Mac.

Jailan berkata pada Februari, Pulau Pinang, utara Perak, utara Kelantan dan utara Terengganu serta di timur Sabah dijangka mengalami defisit hujan antara 20 peratus hingga 40 peratus berbanding jumlah biasa.

“Semasa akhir Monsun Timur Laut dan semasa tempoh awal peralihan monsun iaitu antara bulan Februari dan pertengahan April, kebiasaannya negara juga akan mengalami cuaca yang agak panas terutama di utara Semenanjung (Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan utara Perak) serta di pedalaman Pahang dan Kelantan.

“Keadaan cuaca panas yang dialami di kebanyakan kawasan dalam tempoh ini dijangka beransur reda bermula akhir April dengan bermulanya fasa peralihan monsun yang membawa lebih banyak taburan hujan ke seluruh negara,” katanya.

Gelombang Haba Dipantau Setiap Hari

Jailan memaklumkan pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan mengemukakan laporan kepada agensi-agensi berkaitan.

MetMalaysia turut mengemas kini status gelombang haba setiap hari dan petanya boleh diperoleh di laman web jabatan itu.

Dalam masa yang sama, Jailan mengingatkan orang ramai agar peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.

Tips Jaga Kesihatan Saat Musim Panas
[SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia]

1. Hadkan aktiviti luar.
2. Lebihkan masa berada di dalam bangunan atau rumah.
3. Perbanyakkan minum air kosong.
4. Mengambil minuman isotonik untuk menggantikan garam yang hilang akibat berpeluh
5. Pakai pakaian yang longgar dan berwarna terang
6. Pakai payung atau topi untuk lindungi daripada pancaran haba.

Sumber: BERNAMA

Published by
Nur Syazwani Mehat