Kebelakangan ini memang terasa cuaca terasa sangat panas. Kadang-kadang tidur malam pun tak selesa, apatah lagi mahu melakukan aktiviti luar. Keadaan bertambah buruk di Kedah dan neger-negeri utara di tanahair kerana di sana ketika ini berhadapan dengan cuaca panas yang tidak berpenghujung.
Oleh itu, rakyat Kedah dinasihatkanagar menjimatkan penggunaan air, berhati-hati melakukan aktiviti luar, tidak melakukan pembakaran terbuka dan minum air secukupnya semasa tempoh cuaca panas dan kering.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata berdasarkan pemantauan terkini, keadaan kurang hujan sudah bermula di utara Kedah dan Perlis dengan beberapa kawasan sudah tidak menerima hujan sejak beberapa minggu.
Katanya, jumlah paras air di empangan tertentu agak kurang berbanding biasa kerana negara sedang berada pada fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir Mac.
“Secara klimatologi, tempoh akhir Monsun Timur Laut ini adalah tempoh kurang taburan hujan di seluruh negara kecuali di barat Sarawak dan Sabah.
“Dalam tempoh ini, ketiadaan hujan atau taburan hujan yang rendah dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan keadaan cuaca yang agak kering terutama di negeri-negeri utara Semenanjung (Kedah, Perlis, dan utara Perak) serta utara Kelantan dan utara Terengganu di pantai timur,” katanya lagi.
Ads
Kurang Menerima Taburan Hujan
Di samping itu tambah Jailan, dalam tempoh itu, Kedah dan Perlis dijangka menerima defisit hujan antara 20 peratus hingga 40 peratus berbanding jumlah biasa dan keadaan ini dijangka berterusan hingga akhir Mac.
Jailan berkata pada Februari, Pulau Pinang, utara Perak, utara Kelantan dan utara Terengganu serta di timur Sabah dijangka mengalami defisit hujan antara 20 peratus hingga 40 peratus berbanding jumlah biasa.
“Semasa akhir Monsun Timur Laut dan semasa tempoh awal peralihan monsun iaitu antara bulan Februari dan pertengahan April, kebiasaannya negara juga akan mengalami cuaca yang agak panas terutama di utara Semenanjung (Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan utara Perak) serta di pedalaman Pahang dan Kelantan.
Ads
“Keadaan cuaca panas yang dialami di kebanyakan kawasan dalam tempoh ini dijangka beransur reda bermula akhir April dengan bermulanya fasa peralihan monsun yang membawa lebih banyak taburan hujan ke seluruh negara,” katanya.
Gelombang Haba Dipantau Setiap Hari
Jailan memaklumkan pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan mengemukakan laporan kepada agensi-agensi berkaitan.
Ads
MetMalaysia turut mengemas kini status gelombang haba setiap hari dan petanya boleh diperoleh di laman web jabatan itu.
Dalam masa yang sama, Jailan mengingatkan orang ramai agar peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.
Tips Jaga Kesihatan Saat Musim Panas [SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia]
1. Hadkan aktiviti luar. 2. Lebihkan masa berada di dalam bangunan atau rumah. 3. Perbanyakkan minum air kosong. 4. Mengambil minuman isotonik untuk menggantikan garam yang hilang akibat berpeluh 5. Pakai pakaian yang longgar dan berwarna terang 6. Pakai payung atau topi untuk lindungi daripada pancaran haba.
Sumber: BERNAMA
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tiada apa yang lebih menggembirakan seorang anak apabila dapat membahagiakan hati kedua mak ayah tercinta. Terharu dengan perkongsian video di TikTok Hanifkhalim ini, dalam membahagiakan ibu mereka.
Sepakat 6 Beradik
Dalam perkongsian tersebut, kereta mak yang telah rosak pada 10 April 2022 yang lepas, oleh yang demikian mereka 6 orang adik beradik telah sepakat untuk membelikan kereta baru. Lebih-lebih lagi anak-anak menjadi penguat semangat buat mak yang telah kehilangan suami.
Malah lebih istimewa, tujuan mereka adik beradik bagi memberi kemudahan kepada mak untuk membawa kereta yang dibeli ke kelas agama dan belajar tafsir Al Quran.
“Alhamdulillah,1 Mei 2022,sehari sebelum raya,kami 6 adik beradik hadiah kereta untuk mak untuk kemudahan pergi dengar kuliah dan belajar tafsir Al Quran.Semoga Allah merahmati ibu kita semua.”
Di ruangan komen ramai yang tumpang gembira kesepakatan adik beradik ini kerana membahagiakan ibu tersayang sementara masih ada. Malah turut mendoakan agar mereka di murahkan rezeki berlipat kali ganda.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah syukur, dapat anak-anak yang sepakat dalam membahagiakan ibu. Semoga menjadi inspirasi buat kita dalam memuliakan dan membahagiakan mak ayah.
Ternyata perpisahan cukup menyakitkan. Kehilangan anakanda tercinta secara tiba-tiba adalah dugaan terbesar dalam hidup ibu ini. Bayangkan selama ini kasih sayang tidak pernah berbelah bahagi dicurahkan kepada sang anak.
Namun kini, kematian memisahkan terus Nor Fairuz Sarjit Abdullah, 55, dengan anaknya. Biar pun perit ibu ini redha dengan takdir Allah dan sedar buah hatinya, Nur Ain Atikah Ahmad Junaidi, 28, sudah tiada lagi.
Bukan mudah sebagai ibu untuk mengiyakan takdir Allah. Biar pun berkali-kali memujuk diri bahawa anak hanyalah pinjaman buat sementara dan Allah berhak mengambilnya bila-bila masa. Tetapi hatinya tetap sayu. Pemergian anaknya secara tiba-tiba amat meruntun hatinya sebagai seorang ibu.
Apatah lagi Nur Ain Atikah atau mesra dipanggil Ain tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum pemergiannya. Malahan ketika dia pergi, mereka sekeluarga sedang bergembira dengan berita kehamilan Ain. Sudah tentu sebagai ibu, apabila anak sulungnya mengandung, Nor Fairuz menjadi orang paling teruja.
Ain dan suaminya, Azmel Haji Mohd Zain,30, berkahwin pada 1 Disember tahun lalu. Menurut Nor Fairuz, Ain iaitu anaknya amat menantikan kehadiran cahaya mata. Setelah berkahwin, Ain yang dahulunya seorang jururawat mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan mengikut suaminya berpindah ke Masai mengikut suaminya bertugas di sana.
Setelah lapan bulan menanti, akhirnya tiba jua berita gembira apabila Ain disahkan hamil lapan minggu pada Ogos yang lalu. Sudah tentu dia sangat terharu dan kami sekeluarga amat gembira dan sering kali bertanya khabar biar pun berjauhan.
“Dia memang seronok ketika beritahu yang dia sudah mengandung sebab dia memang nak cepat dapat anak. Dalam masa yang sama dia dapat tawaran kerja di klinik, saya nasihatkan dia untuk tangguhkan dulu kerana masih baru mengandung.
“Dia akur dengan cakap saya dan katanya mungkin bila kandungan dah cukup empat bulan baru dia start kerja. Masa mula-mula dia buat ujian kehamilan di rumah sahaja dan saya minta dia ke klinik untuk sahkan. Dia pergi ke tiga klinik untuk scan dan doktor cakap kandungan tiada masalah.
“Ain pun teruskan kehidupan macam biasa. Ada kala saya ada call dia, kalau tak sempat saya akan Whatapps dia. Setiap hari kami akan bertanya khabar. Ain memang anak yang baik, dia jenis yang tidak banyak merungut. Sekali pun dia tidak pernah melawan cakap saya dan abahnya,” ungkap Nor Fairuz mulai sebak mengenangkan anak sulungnya yang pergi dijemput Ilahi pada 4 Oktober yang lalu.
“Saya tahu Ain tenang di sana, dia pergi di hari jumaat bersama bayi dalam kandungan, sudah tentu kematiannya syahid kecil”.- Nor Fairuz.
Perpisahan Sekelip Mata
Jelas di ingatan Nor Fairuz, ketika hari kejadian dirinya yang mulai sibuk menyiapkan tempahan biskut sempena sambutan Hari Deepavali dipagut rasa resah yang tidak berpenghujung.
Naluri keibuannya diserang rasa kurang enak dan hatinya jadi gelisah tidak tentu arah. Ditinggalkan adunan biskut, lalu Nor Fairuz mula menghubungi anaknya Ain. Tidak berjawab.
Lalu dia tinggalkan pesanan di group Whatapps keluarga, masih tiada respon daripada Ain. Resah ibu ini akhirnya terluah tatkala menyantap menu tengahari.
Diluahkan pada suami bahawa anaknya tidak menjawab panggilan dan membalas Whatapps. Dalam masa yang sama dia cuba menghubungi anaknya dan akhirnya panggilannya di jawab orang tidak dikenali yang mengakui dia jiran kepada Ain.
Kala itu seperti ada batu besar menghempap kepalanya apabila jiran anaknya beritahu yang Ain tidak sedarkan diri dan Ain akan dibawa ke klinik. Keadaan yang kritikal membuatkan Ain dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
“Saya cuba hubungi Azmel, (menantu) untuk ketahui perkembangan Ain tetapi dia pun tidak tahu kerana dia tidak dibenarkan masuk. Ain ditahan di zon merah kerana keadaannya kritikal. Saya jadi tidak tentu arah dan akhirnya ambil keputusan untuk hubungi hospital terus.
“Saya meraung dan hampir rebah apabila saya hubungi hospital dan mereka beritahu anak saya telah meninggal dunia. Rasa dunia saya gelap serta-merta. Suami pula tiada ketika itu, keluar ambil anak balik dari kerja. Saya seorang di rumah, saya menangis dan meraung sekuat hati. Tidak sangka begitu teruk keadaan anak saya dan dia pergi sekelip mata,” ujar Nor Fairuz yang masih terasa kehilangan Ain.
Ain bukan sahaja disayangi keluarga, Ain juga merupakan kawan yang baik pada sahabat-sahabatnya.
Hasil Bedah Siasat
Ain pergi di hari jumaat yang mulia dan dia pergi bersama bayi yang dikandungnya. Tatkala menatap wajahnya di bilik mayat HSI, wajah Ain kelihatan tenang dan tersenyum. Matanya juga sedikit terbuka seolah-olah menanti kehadiran ibunya dan keluarga.
Jelas Nor Fairuz, jenazah Ain akhirnya dikebumikan di Banting setelah berbincang dengan ahli keluarga dan menantunya, Azmel. Walaupun pada mulanya Nor Fairuz tidak mahu allahyarhamah anaknya melalui proses “post mortem”, tetapi bagi merungkai punca sebenar kematian, doktor sarankan agar Ain menjalani.
Hasil bedah siasat, Ain rupanya mengandung luar rahim dan kandungannya yang pecah telah meragut nyawanya. Disebabkan Ain pengsan, jadi tidak berlaku tumpah darah.
Rupa-rupanya pada hari kejadian, Ain masih keadaan sihat dan jalani rutin seperti biasa. Seawal pagi menyiapkan sarapan buat suaminya, kemudian setelah selesai tugas-tugas di dapur dia meminta izin suaminya untuk mandi. Ketika mandi, dia muntah-muntah. Dia mula rasa tidak selesa dan mual setelah dua kali muntahkan segala isi perut.
Setelah diurut, Ain tertidur dan menjelang tengahari apabila dia bangun dia mula mengadu sesak nafas. Melihat keadaan isteri yang tidak keruan, Azmel ambil keputusan untuk membawa isterinya ke klinik. Belum sempat ke kereta, Ain jatuh pengsan. Kemudiannya dengan bantuan jiran, Azmel membawa isterinya ke hospital. Siapa sangka, saat itu Ain tengah bertarung nyawa.
Kematian Ain cukup memberi impak kepada Nor Fairuz.
Pertemuan Terakhir
Tambah Nor Fairuz, kali terakhir dia berjumpa dengan Ain adalah pada bulan Ogos yang lalu ketika cuti Hari Merdeka. Dia berdua bersama anak bongsunya menziarahi Ain di Johor. Saat itu Ain belum mengetahui yang dirinya mengandung. Ain sekadar berbahasa-basi yang dia sudah lapan hari lewat datang bulan.
“Kebetulan anak bongsu saya ingin ke Johor Bahru untuk jumpa kawan-kawan dia, jadi saya ikut sekali. Ketika itu Ain tidak banyak bercakap dan memang perangai dia begitu. Jadi saya tidak pelik dengan situasi itu.
“Ketika di sana, dia minta saya buatkan biskut Makmur untuknya katanya dia teringin. Jadi saya ajak dia buat sama-sama dan dapatlah dia makan biskut Makmur. Sebelum balik ke sini, dia salam dan peluk saya. Kemudian dia menangis. Saya pelik sebab sebelum ini dia tak pernah menangis.
“Dia katakan dia sedih saya dah nak balik dan tinggalkan dia. Terus saya tanya dia, dia ada masalah atau tak gembira ke. Dia kata dia baik-baik sahaja dan sedih bila tengok saya nak tinggalkan dia. Saya pujuk dan tak nak dia sedih-sedih,” rupa-rupanya itulah kali terakhir pertemuan Nor Fairuz dan anaknya.
Cuba Untuk Redha
Tenyata belajar untuk menerima kenyataan dan redha dengan takdir Allah bukan sesuatu yang mudah buat Nor Fairuz. Setiap kali terkenangkan kenangan bersama Ain, pasti air matanya berjuraian. Biar pun berkali-kali mencuba menghapus kesedihan, berjuta-juta kali perasaan hiba itu hadir.
Bacaan surah Al-Fatihah, surah Al-Ikhlas sentiasa menjadi peneman Nor Fairuz setiap kali memori bersama Ain menggamit memorinya. Setiap hari, ibu ini juga sentiasa berdoa pada Allah agar kurniakan kesabaran, keikhlasan dan ketenangan dalam menerima kehilangan penghuni pertama rahimnya.
“Setiap kali sedih, saya pujuk hati bahawa anak adalah pinjaman Allah. Terima atau tidak saya perlu redha. Tetapi sebagai manusia biasa, hati saya sentiasa berbolak balik. Setiap kali hiba, anak bongsu saya akan memujuk, suami saya banyak menyokong saya. Kita sebagai perempuan mudah, bila sedih terus menangis.
“Saya tak tahu bagaimana perasaan sebenar suami dan menantu saya, mereka cuba sembunyikan perasaan sedih. Saya harap kami sekeluarga dapat terima ketiadaan Ain selepas ini. Saya juga berharap berjumpa seorang ustazah atau ustaz yang dapat menunjuk jalan terbaik untuk saya lupakan rasa sedih ini,” ujarnya yang masih kematian hiba dengan anaknya, Nur Ain Atikah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pegawai kanan polis yang terbabit kes langgar sehingga menyebabkan kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Ipoh kelmarin akan dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh esok.
Pejabat Peguam Negara melalui kenyataan berkata, suspek yang berusia 44 tahun itu akan dituduh secara tentatif di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
“Jabatan Peguam Negara merujuk kes kemalangan jalan raya berlaku Khamis lalu berhampiran dengan SMK Jati antara sebuah kereta dipandu seorang pegawai kanan polis dengan sebuah motosikal yang menyebabkan kematian pelajar berusia 17 tahun.
“Setelah membuat penelitian ke atas hasil siasatan dan keterangan dikemukakan dalam kertas siasatan, jabatan ini mendapati terdapat keterangan mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap saspek,” katanya.
Pejabat Peguam negara berkata, saspek akan dituduh secara tentatif di Mahkamah Majistret Ipoh esok, sebelum mahkamah sama menetapkan tarikh untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi bagi tujuan perbicaraan.
Sebelum ini, tular di media sosial seorang pelajar, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh.
Kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan abdomen.
Pada hari sama, pegawai kanan polis ditahan selepas terbabit dalam kejadian itu, dengan hasil bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mendapati punca kematiannya adalah kecederaan pada bahagian dada dan perut akibat kemalangan jalan raya.
Pegawai polis langgar Zaharif
Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Yahaya Hassan berkata pegawai polis itu direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
Sementara itu, keluarga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang maut akibat dilanggar pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru sudah melantik peguam bagi menuntut pembelaan atas kematian mangsa.
Bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, berkata, ahli keluarga bersetuju melantik peguam dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) bagi memastikan kematian anaknya, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, mendapat pembelaan selayaknya.
Sementara itu, peguam dari HWAM, Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, pihaknya akan mewakili keluarga Allahyarham Zaharif untuk melihat dua perkara utama iaitu ketelusan proses siasatan polis di pihak keluarga, serta tindakan perundangan sivil yang boleh dikenakan terhadap pelaku kes itu bahkan terhadap kerajaan Malaysia.
“Serta apa yang diminta oleh pihak kami ialah pampasan yang berkait dengan tindakan sivil susulan kematian arwah, supaya kami dapat memastikan pampasan sewajarnya diberikan kepada keluarga arwah,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata kes kematian pelajar itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain sudut lain termasuk jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang atau membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber:www.bharian.com.my/
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!