Covid-19 boleh tersebar tanpa dapat dijangka malah siapa sangka diri sendiri boleh menjadi ‘pembawa’ virus tersebut malah menyebabkan penularan kluster baru. Siapa sangka seorang wanita yang pulang dari Johor untuk menghadiri pengebumian bapanya yang meninggal dunia, dikesan menjadi ‘super spreader’ apabila mencetuskan penularan COVID-19 membabitkan lapan rumah panjang dengan 37 kes di Sibu hari ini.

Sarawak mencatat 55 kes hari ini, jumlah positif harian tertinggi setakat ini. Selain 37 kes di Sibu, 15 kes direkodkan di Kuching (15), Miri (2) dan Bintulu (1), menjadikan keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 1,251 kes.

COVID-19: Wanita Balik Dari Johor ‘Super Spreader’, Jangkiti 37 Penghuni Rumah Panjang!

Kawalan Pergerakan Rumah Panjang

Berikutan peningkatan mendadak kes positif di Sibu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu memutuskan melaksanakan kawalan pergerakan terhadap lapan rumah panjang di bahagian itu.

Ia membabitkan Rumah Panjang Pasai Siong Tengah; Rumah Panjang Pengkalan Rumput, Sungai Siong; Rumah Panjang Sungai Putus Siong; Rumah Panjang Sungai Siong Tengah; Rumah Panjang Lubok Lengan Sungai Siong; Rumah Panjang Siong Tengah 1; Rumah Panjang Sungai Siong Tengah 2 dan Rumah Pengkalan Rumput Pasai Siong Tengah.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya, berkata penularan dalam jumlah besar berlaku di Sibu selepas seorang wanita kembali dari Johor menghadiri pengebumian bapanya di Pasai Siong, dikenal pasti sebagai penyebar dalam kalangan penghuni di rumah panjangnya.

Ads

Menaiki 2 Pesawat Penerbangan

Beliau berkata, wanita itu menaiki penerbangan Firefly dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur pada jam 8 pagi pada 29 Disember lalu sebelum mengambil pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dari Kuala Lumpur ke Kuching pada jam 1.35 tengah hari, hari sama.

“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), dia menjalani ujian swab pertama dan keputusannya negatif, sebelum meneruskan perjalanan ke Sibu menaiki penerbangan AirAsia dari Kuching dan tiba pada pukul 8.50 malam.

“Wanita itu diarahkan menjalani kuarantin di Rumah Panjang Langi di Pasai Siong, namun dia menghadiri pengebumian bapanya di tanah perkuburan berhampiran. Dia kemudian menjalani ujian swab kedua pada 5 Januari di Klinik Kesihatan Jalan Lanang di Sibu sebelum keputusannya didapati positif pada 6 Januari,” katanya.

Ads

Kluster Pasai

Jurucakap itu berkata, pada 7 Januari, petugas Kementerian Kesihatan (KKM) membuat saringan terhadap 74 penduduk Rumah Panjang Langi sebelum keputusannya mendapati seramai 37 positif.

“Mereka terdiri daripada penduduk tempatan yang berusia seawal 11 bulan hingga 79 tahun dengan, termasuk lima daripada mereka adalah kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

“Siasatan awal mendapati kesemua kes tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala yang serius, kecuali beberapa orang yang mengadu demam dan batuk biasa,” katanya.

Ads

Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut dan kes itu dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan.Berikutan itu, JPBN Sarawak hari ini mengisytiharkan kluster baharu di Sibu iaitu Kluster Pasai.

Baca lagi artikel menarik di sini: https://www.mingguanwanita.my/

MW: Hati-hati semua, selagi boleh elakkan menghadiri perjumpaan mahupun berkumpul beramai-ramai. Virus COVID-19 sesuatu yang kita tak nampak dengan mata kasar. Patuhi setiap SOP yang telah ditetapkan dan jaga diri.

Sumber: Bharian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI