Sudah masuk Jumaat keempat, muslim di Malaysia tidak dapat menunaikan solat Jumaat di masjid. Demi kemaslahatan semua, umat Islam akur dengan ketentuanNya. Jangan larangan ini menjadi satu alasan, untuk tidak solat jemaah bersama keluarga di rumah.
Sebaiknya, meriahkan rumah sendiri dengan solat jemaah bersama isteri dan anak-anak. Selesai bersolat, ayah memberikan tazkirah kepada anak-anak. Sejuk seisi rumah bila disuburkan cara hidup sebegini. Semoga pesan ayah ini, Ammar Kamilin membuka pintu hati kita untuk lebih memahami.
“Kita solat Zohor kan abah?”
Hanya mengangguk dan mengisyaratkan semua bersedia membentangkan sejadah untuk solat.
20 Mac 2020.
Kali pertama azan berkumandang di dalam rumah untuk solat Zohor, hari Jumaat. Tidak pernah disangka, waktu yang biasanya di masjid bersama jemaah lelaki yang ramai bertukar menjadi sesi solat jemaah bersama keluarga pada hari ini.
Paksa diri untuk menulis hal ini, dengan harapan, Allah panjangkan umur untuk mengenang ibrah peristiwa hari ini.
Walaupun setiap hari ada saja lelucon yang dibuat tentang COVID-19, tetapi hati tidak mampu untuk ‘suka’ dengan apa yang sedang berlaku.
Manusia memang perlukan senyum dan ketawa buat menawar takut dan duka. Tetapi ada masa, berlebih-lebihan reaksinya. Cekodok COVID-19? Kalau boleh ketawa, silakan.
Usai solat.
“Duduk keliling abah. Abah nak bercerita.” Semua patuh merapatkan sila.
“Tadi abah ada pesan, kita orang Islam hanya menyembah Allah. Siapa yang percaya kuasa lain selain Allah, orang itu dianggap syirik. Menduakan Allah. Berdosa besar. Masuk neraka.
Jadi, kalau ada orang kata, kita hanya takut Allah, siapa yang takut COVID-19, seolah-olah tak percaya kuasa Allah. Syirik pada Allah.
Macam mana? Korang fikir betul ke?”
Masing-masing memandang satu sama lain. Mula menggaru muka.
“Pandangan Iman, itu bukan syirik.”
“Zulfa pun sama. Bukan syirik.”
“Korang tak takut COVID-19?” Abah menguji lagi.
“Takutlah juga kalau kena. Tapi itu kan penyakit. Macam kita takut gelap, takkan itu pun syirik.”
Logik budak-budak. Tapi masuk akal.
Ada sebab Allah berikan perasaan ‘takut’ dalam diri manusia. Dari segi psikologi, antaranya untuk melindungi diri dari ancaman.
Jadi, haruslah manusia takut pada penyakit. Tidak semudah itu dikata syirik.
“Pandangan abah, siapa yang cakap begitu, dia seolah-olah mencabar kuasa Tuhan. Kalau betul dia percaya penyakit itu ujian dari Allah, dia sepatutnya orang pertama yang #StayAtHome – berlindung dalam rumah.
Allah pesan dalam al-Quran, mafhumnya, sayangi nyawa kamu. Allah tidak benarkan kita ‘membunuh diri sendiri’. Membiarkan diri dijangkiti COVID-19, bukankah seperti membunuh diri?
Allah suruh kita lindungi nyawa kerana apa saja yang Allah turunkan sebagai ‘tentera-Nya’ tidak akan mengenal sesiapa. Mati tetap akan menjemput orang beriman.
Jadi jelas, kita bukan syirik. Malah beriman dan patuh pada perintah Allah.
Kedua,
Alam ini ada Sunnatullah. Setiap perkara yang berlaku, ada cause and effect. Allah jadikan singa, memang boleh makan manusia. Kalau kita lawan, kita baring depan singa, itu bermakna kita menentang aturan Allah. Jadi kalau kena baham, nak salahkan Allah?
Memang, ada masa Allah izinkan keajaiban berlaku apabila Dia kehendaki. Tetapi dengan iradat-Nya, bukan asbab kita mencabar aturan dan kuasa-Nya.
Akhir sekali,
Abah teringat hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah bersabda, mafhumnya, ‘Barangsiapa yang tidak menyayangi manusia, nescaya Allah tidak akan menyayanginya.’
Macam mana Allah nak sayang kita, jika kita ego sombong, bangga ada penyakit dan sesuka hati menjadi penyebar kepada manusia lain? Itu seperti pembunuh. Langsung tidak menunjukkan Islam yang sepatutnya menjadi rahmah kepada umat manusia.”
Semua mengangguk. Tidak berkelip mata mendengar penjelasan.
Allah Yang Beri Rezeki
“Dah, sambung belajar. Belajar pun sunnatullah. Nak capai sesuatu, kena belajar. Jangan pula percaya kalau orang kata, tak payah belajar, ulat dalam batu pun ada rezeki. Tak percaya ke, Allah yang bagi rezeki?
Tanya balik, dia pernah jadi ulat ke? Mana dia tau ulat tak berusaha? Ignore orang macam tu. Keep moving. Esok dia jadi mayat, baru dia tahu ulat ‘berusaha’ atau tidak.”
Baca sini : Pesakit Tahfiz Covid-19 tetap solat berjemaah dalam wad, jarak 1 meter
Sumber/Foto : Ammar Kamilin #ParentThinkStory