COVID-19: Permohonan Pengeluaran Akaun 2 HANYA Menerusi i-Lestari KWSP

Share

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Kelonggaran untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran daripada Akaun 2 berikutan wabak koronavirus (Covid-19) memerlukan pindaan terhadap Akta KWSP 1991 di bawah Seksyen 54 (6).

Kemudahan i-Lestari

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam satu kenyataan semalam menjelaskan, ahli KWSP boleh membuat permohonan pengeluaran menerusi kemudahan i-Lestari bermula 1 April 2020 dan wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun bank masing-masing pada 1 Mei 2020.

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, kemudahan i-Lestari akan memberikan kelegaan dari segi kewangan kepada mereka yang terjejas bagi menampung keperluan keluarga berikutan wabak Covid-19 yang melanda negara.

“KWSP perlu mengimbangi mandatnya untuk melindungi simpanan persaraan ahli dan pada masa yang sama menjaga kesejahteraan mereka dalam waktu getir sebegini.

“Kami meletakkan i-Lestari sebagai keutamaan untuk dilancarkan secepat mungkin,” katanya menerusi kenyataan berkenaan.

Sedia Soalam Lazim

Alizakri berkata, bagi memudahkan ahli, KWSP turut menyediakan e-mel khas i-Lestari iaitu ilestari@epf.gov.my untuk menghantar sebarang pertanyaan yang berkaitan.

“Soalan berserta maklum balas ini kemudiannya akan dikemaskini dalam senarai soalan lazim (FAQ) sedia ada yang telah dimuat naik ke laman sesawang www.kwsp.gov.my,” katanya.

Alizakri turut mengingatkan ahli KWSP supaya menggunakan pertimbangan wajar apabila membaca tentang sesuatu berita atau paparan media sosial.

“Terdapat pelbagai unsur penipuan dan berita palsu yang disebarkan terutama melalui WhatsApp, Facebook dan Twitter.

“Adalah diingatkan bahawa KWSP hanya membuat makluman kepada ahli melalui laman sesawang dan saluran media sosial rasmi sahaja,” katanya.

Fasiliti Pengeluaran i-Lestari Akaun 2 KWSP

A. Kemudahan pengeluaran i-Lestari:

a.Fasiliti pengeluaran dari Akaun 2 ahli
b.Sehingga jumlah maksimum RM500 sebulan
c.Amaun pengeluaran akan dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula Mei 2020
d.Untuk tempoh maksimum 12 bulan

B. Pendaftaran:

a.Bermula dari 1 April 2020 secara emel dan pos
b.Bermula dari 1 Mei 2020 secara dalam talian

C. Permohonan Pengeluaran

a.Disarankan untuk membuat permohonan secara dalam talian kerana proses yang mudah dan cepat (dalam masa 3 hari)

b.Permohonan secara manual akan mengambil masa kerana proses pengesahan akan dilaksanakan secara manual

D. Butiran selanjutnya akan dipaparkan di laman sesawang, Facebook dan Twitter KWSP dalam masa terdekat.

E. Ahli KWSP diingatkan untuk sentiasa berwaspada akan sebarang skim penipuan dan hanya berurusan secara terus dengan pihak KWSP.

Baca Lagi Di Sini:
COVID-19: Pencarum Bawah Usia 55, Boleh Keluarkan Caruman KWSP RM500 Sebulan!

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Bagi pencarum yang ingin membuat pengeluaran wang caruman, bolehlah buat permohonan pengeluaran i-Lestari daripada Akaun 2 bermula 1 April 2020 nanti. Jangan mudah tertipu, pastikan hanya mendapatkan maklumat yang tepat dari laman sesawang dan saluran media sosial rasmi KWSP sendiri.

Sumber: KWSP , Sinar harian

Published by
Suhaidah Abd Wahab