Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memasuki fasa ketiga, bermakna telah hampir 5 minggu pergerakan terbatas dan berada di rumah. Namun demikian, ada juga yang terkandas di kampung halaman masing-masing dan meninggalkan rumah sendiri dalam jangka masa yang lama. Tidak kurang juga pasangan suami isteri dan anak-anak terpisah kerana pelaksanaan PKP ini.
Berita yang baru diumumkan oleh kerajaan siang tadi, rakyat yang berada di kampung dan ingin pulang ke kediaman masing-masing perlu membuat permohonan dan pendaftaran kepada polis bermula 25 April ini. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata permohonan itu boleh dibuat melalui dalam talian atau di balai polis berhampiran.
Bagaimanapun, kebenaran untuk membenarkan mereka pulang masih di peringkat kajian dengan nasihat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mereka boleh mula melaporkan kepada polis melalui online, iaitu melalui aplikasi Gerak Malaysia yang mana ini kolaborasi antara polis dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mulai 25 April nanti.
“Bagi mereka yang tiada kemudahan telefon pintar dan sebagainya, permohonan boleh dibuat di balai polis berhampiran namun perlu membuat temu janji terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan di balai polis,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri berkata, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu setiap permohonan dan jika dibenarkan, pergerakan dijangka bermula 1 Mei ini.Katanya, setiap keluarga wajib mendaftar dan membuat permohonan bagi membolehkan pihak berkuasa membuat perancangan.
“Mereka yang mendaftar perlu mengemukakan nama, berapa jumlah ahli keluarga dan lokasi tempat untuk ditujui, dari kampung mana, zon merah atau hijau dan sebagainya,” katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pihaknya sedia maklum ada kalangan rakyat yang berada di kampung berhasrat pulang ke kediaman masing-masing di bandar termasuk Kuala Lumpur kerana sudah terlalu lama meninggalkan rumah.
“Seperti yang saya sebutkan, sebelum PKP ramai dalam kalangan rakyat kita berebut untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Mereka sudah berada di kampung lebih sebulan.
“Ramai yang mengadu tiada pakaian nak pakai kerana berada terlalu lama di kampung. Kita faham keinginan mereka untuk pulang ke tempat kerja. Ada yang bimbang rumah mereka dipecah masuk.
“Sesetengah mereka pulang bersendirian dan anak ditinggalkan di rumah di Kuala Lumpur dan terpisah daripada keluarga selama sebulan ini,” katanya.
Ismail Sabri berkata, berbanding pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang sudah diketahui jumlahnya, kerajaan tiada maklumat berhubung angka mereka yang pulang ke kampung.
Sementara itu, enam kriteria utama perlu diambil kira untuk menentukan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambung atau tidak. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagaimanapun pihaknya hanya memberi pandangan, sumber diperlukan dan data kepada Perdana Menteri sebelum PKP diputuskan bersambung atau tidak.
“Kriteria pertama ialah kawalan sempadan yang penting untuk mengelakkan kes import berlaku dan perkara ini kita belajar daripada negara lain.
“Kriteria kedua, kawalan pergerakan untuk memastikan tiada rakyat tempatan dijangkiti dan pentingnya untuk rakyat berada di rumah.
“Kriteria ketiga pula adalah berkenaan peningkatan fasiliti kesihatan, manakala kriteria keempat
ialah keperluan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya (OKU),” katanya.Dr Noor Hisham berkata lagi, kriteria kelima pula adalah mengenai mengadaptasi normal baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul, tidak bersalam, penjarakan sosial dan memakai pelindung muka yang perlu dilakukan masyarakat hari ini.
“Kriteria keenam ialah pemerkasaan komuniti yang penting untuk menjaga kawasan yang tidak dijangkiti seperti zon hijau serta mengamalkan aktiviti normal baharu,” katanya.
MW: Jadi buat yang terkandas di kampung masing-masing dan ingin kembali ke rumah sendiri, bolehlah membuat permohonan dan pendaftaran kepada polis bermula 25 April ini.
Sumber: Bharian