Setiap insan mengharapkan hanya yang terbaik dalam kehidupan. Namun siapalah kita untuk menolak ujian dari Allah SWT. Di sinilah tahap keimanan diukur bagi menentukan sejauh mana ikhlasnya mulut mengatakan redha dengan dugaan.
Kunjungan penulis ke kediaman Azman Lokmat, 53 tahun di Klang tidak lama dahulu benar-benar menyentak hati.
Begitu dalamnya kasih Azman terhadap isteri, Raja Zarifah Raja Ramli. Langsung tidak berbelah bahagi meskipun si isteri sudah tidak seperti dahulu. Hampir sepanjang masa, Raja Zarifah menghabiskan harinya di kerusi roda yang menjadi ‘kaki keduanya’.
Dia kini bergelar Orang kelainan Upaya (OKU) setelah lumpuh separuh badan. Fizikalnya kian susut malah ubat–ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital sudah menjadi makanan rutin.
Walau bagaimanapun keadaan si isteri, Azman tidak pernah sekalipun merungut. Dia tegar melaksanakan tanggungjawab sebagai suami meskipun sedikit lelah untuk mengurus keluarga dan keluar mencari rezeki.
“Asalnya dahulu, isteri sihat walafiat dan boleh bekerja bagi membantu kami sekeluarga. Tetapi, ketika mengandungkan anak kedua (tahun 1999), berlaku satu keadaan di mana kaki isteri tiba-tiba lemah
.“Macam menggeletar seperti terkena penyakit Parkinson. Masalah itu berlarutan hinggalah anak kami dilahirkan. Sekarang, isteri disahkan lumpuh dari pinggang ke bawah. Langsung tak boleh berjalan. Kata doktor, saraf isteri bermasalah.
“Suami manalah yang sanggup lihat isteri yang dinikahi sempurna, kini menderita kesakitan. Pada awalnya, emosi saya sedikit terganggu. Dia adalah tulang belakang keluarga.
“Bila dia macam ni, seluruh isi rumah merasa kesannya. Sejak itu, saya belajar untuk ambil alih semua tugas-tugasnya malah setiap hari, sebelum pergi kerja, saya akan siapkan isteri terlebih dahulu.
“Mandikan dia, siapkan makanannya dan beri ubat. Selepas itu, saya akan bawa isteri ke rumah mak. Maksudnya, sepanjang saya keluar bekerja maka mak lah yang diharapkan untuk tengok-tengokkan isteri. Risau juga lah hati ini jika hendak biarkan dia seorang diri di rumah.
“Selain mendapatkan rawatan di hospital, saya tak putus harap untuk mencuba rawatan tradisional. Ada masanya saya akan panggil tukang urut datang ke rumah. Minta urutkan isteri dan betulkan urat sarafnya.
“Alhamdulillah, sekarang dah nampak sedikit perubahan. Isteri dah boleh berdiri tetapi masih perlu berpaut kerana kakinya belum kuat seperti dahulu. Pastinya, saya rasa amat gembira dan bersyukur.
“Sekalipun tidak secara drastik perubahan yang berlaku ke atas dirinya namun semangat dan kesungguhan isteri untuk sembuh membuatkan saya betul-betul kagum.” cerita Azman dengan wajah yang gembira.
Ujar Azman, sebelum ini dia tidak tahu langsung tentang ‘bantuan’ yang boleh diminta dari PERKESO. Namun, kuasa Tuhan yang mempertemukan Azman dengan tukang urut isterinya.
Dialah yang bertanggungjawab memaklumkan masalah tersebut ke pihak PERKESO. Walaupun tidak semewah mana namun, bantuan kerusi roda serta wang pencen minima sedikit sebanyak telah meringankan beban keluarga ini.
“Bayangkan sahaja, lebih kurang 19 tahun isteri ‘diserang’ penyakit ini. Selama itulah kami kerap ulang alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan serta ubat-ubatan.
“Dahulu, kaki isteri kerap menggeletar dan lemah. Bagi mengatasi masalah tersebut, doktor mencadangkan agar isteri dimasukkan ke dalam wad dua minggu sekali bagi mendapatkan ubatan dan rawatan yang sepatutnya.
“Sekarang, isteri dah tak perlu masuk wad lagi sebab doktor sudah pun menjumpai ubat yang sesuai untuknya biarpun anggaran harga bagi ubat tersebut mencecah RM4,000 lebih. Mujurlah, kos tersebut ditanggung oleh kerajaan. Jika tidak, tak tahulah mana saya hendak cari wang sebanyak itu.
“Insya-Allah, jika tiada apa-apa masalah, isteri saya akan jalani ujian imbasan MRI di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 22 Januari ini. Harap-harap semuanya baik-baik sahaja.
“Jujur dikatakan, tiada yang lebih menggembirakan hati saya selain dari senyuman yang terukir di wajahnya. Saya tahu dia kuat dan tentunya dia seorang wanita yang hebat kerana mampu bertarung dengan penyakit yang dihidapi. Moga Allah beri rahmat kesihatan dan keimanan pada kami untuk terus jalani ujian yang mendatang ini,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata dengan suara yang penuh harapan.
Melihatkan ketabahan pasangan ini, hati penulis seakan dijentik untuk bermuhasabah. Sesungguhnya Allah mendatangkan ujian kepada hamba-hambaNya yang benar-benar bersedia.
Betapa polosnya wajah si suami, menjaga dan memanjakan si isteri biarpun sulit untuknya mengambil alih seluruh tugas-tugas di rumah. Memasak, membasuh, menjaga hal kebajikan isteri, anak-anak. Ah, bukan mudah! Namun, inilah keajaiban yang Allah berikan. Selama mana dia ikhlas dengan apa yang dilakukan maka selama itulah Allah memudahkan setiap urusan.
Usai perjumpaan kami pada petang itu, Azman mohon untuk keluar bekerja. Seperti biasa, isterinya akan diletakkan sementara di rumah emaknya. Kelebihan bekerja dalam bidang pemasaran seakan bonus baginya untuk memperuntukkan sedikit masa bersama isteri.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada syarikat kerana memberi sedikit kelonggaran pada saya untuk mengurus isteri. Tak tahulah macam mana hendak balas jasa baik mereka.
“Benarlah kata orang, di saat susahlah baru kita tahu siapakah yang layak digelar sahabat. Alhamdulillah, anak-anak pun dah besar panjang. Mereka pun dah pandai berdikari jadi fokus saya hanya pada isteri sahaja.
“Moga Allah perkenankan doa kami agar isteri kembali sihat biarpun tidak mampu berjalan sepenuhnya, memadailah jika dia betah mengurus diri sendiri. Namun yang pasti, cinta dan kasih saya padanya tidak pernah berbelah bahagi.” Akhiri Azman bersungguh-sungguh.
Penulis : Nazwa Selamat
Foto : Nurul Akmar Azimi
Terima Kasih kepada En Samson dari PERKESO Klang