Wajahnya manis dan cukup ayu, pemilik nama sebenar Siti Zaleha Mohd Zin, 36 sudah 11 tahun bergelar seorang guru. Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini mengakui kerjaya sebagai seorang guru ini merupakan pilihan ibu bapanya. Namun selepas bergelumang dalam bidang ini, dia terus jatuh cinta.
“Pada mulanya, kerjaya ini adalah pilihan ibu bapa saya. Sejujurnya, sebelum menceburi bidang ini, saya pernah meraih pengalaman bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Hotel dan Katering UiTM Dungun, Terengganu selama setahun sebaik sahaja menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Muda dan selepas itu mendapat tawaran dan bertugas pula sebagai Eksekutif Pemasaran di Affin Bank Berhad Kota Bharu juga selama setahun.
“Ketika itu, seorang rakan membantu saya untuk membuat permohonan menyambung pengajian dalam bidang pendidikan. Saya masih ingat, saya menjawab ujian sambil lewa dan saya tidak sangka saya dipanggil pula untuk sesi temuduga. Saya hadir ke sesi temuduga tanpa apa-apa persediaan.
“Tapi takdir Allah, memang rezeki saya, kerjaya saya sehingga ke hari ini bergelar cikgu. Saya telah jatuh cinta dengan kerjaya ini kerana pengalaman mendampingi pelbagai latar belakang dan kerenah pelajar dan saya amat menyayangi pelajar-pelajar saya tanpa mengira kaum dan agama. Lebih-lebih lagi pelajar yang tinggi nilai budi bahasanya. Selalu saya ingatkan pelajar, tiada yang lebih bernilai dalam diri seseorang itu melainkan nilai agama dan budi pekerti yang baik, bukan pencapaian akademik, bukan pangkat dan kekayaan. Pencapaian akademik bukan semata-mata yang menjadi tali ukur bagi nilai diri setiap pelajar,” ungkap guru yang memiliki Diploma Pengurusan Perkhidmatan Makanan, UiTM, Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Perkhidmatan Makanan UiTM dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (Opsyen Kemahiran Hidup) UPSI ini mulai bicara.
Guru Displin
Ibu kepada tiga orang anak ini telah berpengalaman mengajar di empat buat sekolah sepanjang 11 tahun berkhidmat.
“Saya mengajar bermula di SMK Serendah, Hulu Selangor, SMK Lembah Keramat, SMK Pusat Bandar Puchong dan kini sedang mengajar di SMK Engku Husain, Semenyih.
Opsyen saya ialah kemahiran hidup semasa menyambung pelajaran di peringkat Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah. Namun, setelah mendapat penempatan pertama, saya diminta untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kemahiran Hidup. Tetapi sepanjang berkhidmat sebagai guru, saya ada juga diminta oleh pihak pentadbir untuk mengajar mata pelajaran lain seperti Pendidikan Jasmani, Sejarah dan Pendidikan Seni Visual bagi menampung kekurangan guru.
“Tahun pertama berkhidmat sebagai guru, saya terus mendapat amanat memegang jawatan sebagai salah seorang dari guru disiplin. Waktu itu, saya juga hairan kenapa saya dipilih. Bila difikirkan semula, saya rasa saya tahu jawapannya, mungkin kerana hari pertama bertugas, saya di dorong oleh semangat membara dan darah muda, saya masuk ke kelas hujung bagi tingkatan 2.
Bingit dan hingar bingar suasananya sehinggakan tiada seorangpun yang hiraukan kehadiran saya. Saya beri salam, tidak dipedulikan mereka. Akhirnya saya terpaksa mengumpul kekuatan untuk menyaingi suara para pelajar. Namun begitu, masih ada beberapa orang yang masih tidak mendengar arahan, saya arahkan supaya terus berdiri. Masih ada lagi yang membuat bising, saya arahkan kelompok itu berdiri di atas kerusi. Masih ada lagi yang tidak patuhi arahan, saya suruh berdiri di atas meja.
“Kebetulan Penolong Kanan nampak, beliau terus memanggil saya dan meminta saya menyuruh pelajar-pelajar tersebut duduk. Ini kerana, denda sebegitu adalah dilarang sama sekali. Mungkin dari situ pihak pentadbir terus bersetuju untuk memasukkan nama saya ke dalam lembaga disiplin sekolah. Itu antara satu dari berjuta kenangan pahit dan manis sepanjang saya bergelar guru setakat ini,” cerita Ziti Zaleha yang akui masih ramai lagi dalam kalangan pelajar hari ini yang mempunyai sifat tinggi sahsiah diri dan budi pekerti. Sentiasa ada sahaja pelajar yang menawarkan bantuan apabila melihat guru memerlukannya.
Lebih Kreatif Tawan Pelajar
Ditanya cabaran mengajar pada hari ini, Siti Zaleha akui bukan mudah untuk menarik perhatian pelajar memandangkan perkembangan media sosial terlalu pesat.
“Zaman kini bagi saya cabaran utama bagi guru adalah merencana aktiviti pembelajaran sebaik mungkin untuk menarik minat pelajar agar lebih fokus dan suka untuk belajar. Ini kerana, pelajar zaman sekarang telah terdedah dengan pelbagai kecanggihan peralatan teknologi. Segala maklumat cepat diperolehi melalui internet. Jadi kami harus menyaingi teknologi dengan menghidangkan kepada para pelajar aktiviti-aktiviti pembelajaran yang menarik dan tidak membosankan,” sambung Siti Zaleha.
Sepanjang bergelar guru, paling istimewa bagi diri Siti Zaleha setiap kali sambutan hari guru adalah saat beramai-ramai menyanyikan lagu “kami guru malaysia”.
“Memang saat itu yang saya nantikan dan ianya amat menyentuh perasaan. Pengalaman paling istimewa pula semasa menyambutnya di SMK Pusat Bandar Puchong 1, ketika itu. Tema yang dipersetujui adalah “back to school”. Kami menjadi pelajar semula, memakai uniform lengkap pelajar dan kami membuat persembahan lakonan serta nyanyian untuk tontonan para pelajar dan guru.
“Selain itu saya juga sering menerima hadiah daripada pelajar tapi sebenarnya, saya percaya tiada seorangpun guru yang mengharapkan hadiah daripada pelajar. Namun, penghargaan yang diberikan oleh pelajar dalam bentuk ucapan mahupun sebatang pen atau sekeping nota ringkas sentiasa membuatkan saya terharu,” akhirinya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI