Ceritera 4 Beradik Melvin Dari Layar Seni Ke Dunia Bisnes

Share

Siapa yang tidak kenal dengan adik beradik popular ini. Bukan sahaja cantik tetapi turut mempunyai pengikut yang ramai di media sosial. Bahkan, mereka bijak dalam mencorak kehidupan masing-masing dan peminat sentiasa ingin tahu tentang perkembangan semasa mereka.

Keakraban adik beradik ini tidak dapat dinafikan dan mereka umpama pasangan kembar, sukar untuk membezakan antara satu sama lain. Lebih teruja apabila sama-sama terlibat dan berkongsi rezeki dalam mengeluarkan produk kecantikan, Kekasih By The Melvins yang baru setahun jagung berada di pasaran.

Mingguan Wanita berpeluang menyelami cerita tentang adik beradik yang cantik ini; Datin Seri Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin, 30 tahun, Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 29 tahun, Siti Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, 26 tahun dan Siti Nur Syida Amirol Melvin, 23 tahun.

Boleh dikatakan sepanjang penggambaran yang diadakan di kediaman Syafiqa di Glenmarie, gamat dan meriah dengan kehadiran anak Syatilla dan Syafiqa. Manakala Syida pula sedang menunggu hari untuk bersalin dan Syifa masih lagi solo buat masa ini.

“Sentiasa Ingatkan Adik-adik, Jangan Lalai…” Datin Seri Siti Nur Syafiqa

Mungkin ramai yang hampir lupa atau tidak tahu, Datin Seri Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin, 30 tahun, adalah juara bagi program realiti Gadis Melayu musim kedua pada tahun 2009. Di kalangan ahli keluarga, beliau adalah orang pertama yang mula-mula berkecimpung dalam dunia hiburan.

“Selepas program tersebut, saya sempat menjadi pengacara dalam program ‘Bersamamu’. Kemudian, saya menyambung pelajaran dalam jurusan Sarjana Muda Sains Mikrobiologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).”

“Sebelum Syatilla terlibat dalam bidang seni, saya sudah rasai dahulu. Cuma, selepas tamat pengajian, saya mula memperlahan rentak dalam dunia hiburan ditambah bila sudah berkahwin, fokus saya adalah pada rumah tangga,” katanya yang pernah terlibat dalam perniagaan pakaian pada tahun 2013.

Tambahnya, walaupun fokus pada keluarga dan perniagaan pakaian, beliau turut menjual produk kecantikan orang lain. Melalui pengalaman itulah, beliau tahu sedikit sebanyak selok belok perniagaan dan barulah mereka adik beradik berbincang untuk mengeluarkan produk sendiri.

Ditanya pendapat tentang produk yang dikeluarkan ini sebagai batu loncatan di atas populariti mereka adik-beradik, wanita anggun ini tenang mengatur bicara.

Katanya perniagaan yang dijalankan ini bukanlah bersandarkan kepada rupa atau populariti. Sebaliknya, jika tidak ada ilmu perniagaan, tidak akan ke mana-mana.

“Orang luar hanya tengok keindahan menjalankan perniagaan bersama adik beradik tetapi sebenarnya ada cabarannya tersendiri. Setiap orang kena tahu apa yang perlu dibuat dan tugas masing-masing.

“Selalunya, saya sentiasa ingatkan mereka, jangan fikirkan tentang glamor, perniagaan kita berjaya tetapi kita kena belajar dan jangan berhenti belajar. Kekayaan, kemewahan dan populariti tidak ke mana. Jangan kita lalai dengan semua itu,” katanya yang sentiasa tegas dalam membuat sebarang keputusan.

Dahulu Dua kali Seminggu, Sekarang Setiap Hari

Walaupun masing-masing mempunyai kehidupan sendiri tetapi boleh dikatakan mereka kerap bersama dan ada sahaja cerita yang ingin dikongsikan.

Kata Datin Sri Syafiqa, sejak mempunyai perniagaan bersama adik beradik, kekerapan berjumpa adalah setiap hari. Berbanding sebelum ini, mereka biasanya berjumpa dua kali seminggu. Malah, kediamannya menjadi tempat utama untuk sebarang pertemuan selain di pejabat.

“Sekarang ini, Syatilla menetap di Ampang, Syifa di Glenmarie dan Syida pula di Damansara. Bila ada perniagaan ini, mereka membeli rumah di kawasan ini untuk memudahkan kami bertemu dan berbincang. Lagi pun, bila ibu dan ayah datang dari Ipoh, rumah sayalah yang akan jadi tumpuan,” katanya. Melvina, adik bongsu mereka turut tinggal bersamanya.

Dalam kesibukan dan menjadi anchor dalam perniagaan adik beradik, itu tidak bermakna beliau menyerahkan sepenuhnya menjaga anak kepada pembantu rumah.

“Oleh kerana, anak-anak sudah mula bersekolah, tugas saya setiap pagi mengurus dan menghantar anak ke sekolah.

“Selepas itu, barulah saya mulakan kerja di pejabat. Setakat ini, saya dan anak-anak tidak pernah berenggang atau mereka tidak pernah ditinggal terlalu lama,” kata balu kepada Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang meninggal dunia pada tahun 2018 akibat kanser darah.

Berehat Dalam Dunia Hiburan – Syatilla Melvin

Dalam adik beradiknya, Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 29 tahun, atau lebih mesra dipanggil Syatilla paling menonjol. Sementelah selepas berkahwin dengan pelakon terkenal, Shaheizy Sam dan memperolehi dua cahaya mata, Syeriv Samheizy, 4 tahun dan Sarima Samheizy, 9 bulan.

Namun sejak kebelakangan ini, dia jarang muncul dalam mana-mana stesen televisyen. Katanya, buat masa sekarang dia lebih fokuskan pada anak-anak dan perniagaan bersama adik beradiknya.

“Buat masa ini, saya berehat sementara waktu dalam dunia seni. Saya juga terpaksa menolak beberapa tawaran kerana ingin fokus kepada Kekasih dan lebih-lebih lagi pada anak-anak yang sedang membesar,” katanya yang merupakan salah seorang finalis Dewi Remaja 2009/2010.

Adik Beradik Satu Kepala

Bertanya lebih lanjut tentang hubungannya bersama adik beradik yang lain. Syatilla tidak menafikan bahawa mereka sangat rapat. Apatah lagi semuanya perempuan, banyak yang mereka dapat berkongsi bersama.

“Sebenarnya, apabila berkumpul, baik adik beradik lelaki atau perempuan sama sahaja. Tetapi saya beruntung kerana kami saling memahami lawak dan karenah masing-masing. Syoknya, satu kepala dan boleh berkongsi pakaian, kasut dan minat yang sama.

“Bergaduh adik beradik memang lumrah, cuma tidaklah ambil masa yang lama dan tidak pernah ambil serius,” katanya yang menafikan tidak pernah bermasam muka antara satu sama lain.

Dari mata kasar kelihatan Syatilla berperwatakan kasar, malah ia diakui sendiri olehnya tetapi kena tahu membezakan.

“Saya memang seorang yang agak kasar, baik dengan keluarga atau suami. Cuma saya kena bezakan dan penyampaian itu pun berlainan. Cara dan perwatakan kasar itu memang tidak boleh dibuang tetapi hormat tetap hormat,” katanya lagi.

Suami Kawan Baik

Begitu juga apabila Syatilla dengan suaminya. Dia sendiri merasakan antaranya dengan Sam umpama langit dan bumi kerana Syatilla seorang yang suka menyakat dan jika ada masalah dia tidak suka tunjukkan.

“Selama 10 tahun bersama Sam, saya rasakan hubungan kami sangat istimewa, bukan sekadar suami isteri tetapi lebih kepada kawan baik. Dialah kawan baik saya. Contohnya, gelagat kami dalam video di media sosial, itulah hakikat kami sebenar,” katanya yang merasakan tidak perlu sorok tentang perangai masing-masing.

Bagaimana pula Syatilla menghabiskan masa bersama keluarga kerana menyedari Sam, seorang yang aktif berlakon dan baru sahaja menghabiskan penggambaran filem Polis Evo 3. Bagi Syatilla, dia lebih suka lakukan kejutan untuk Sam.

“Oleh kerana Sam sibuk di set penggambaran dan bila keluar pagi, malam baru dia balik. Jadi, dia tidak sempat untuk berjumpa dengan anak. Apa yang saya buat adalah memberi kejutan di lokasi. Pernah saya bawa anak-anak ke Sarawak semata untuk berjumpa dengannya,” katanya yang lebih rapat dengan anak-anak.

“Doakan Saya Jumpa Jodoh…” – Syifa Melvin

Siti Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, 26 tahun, anak ketiga yang dikatakan mempunyai wajah mirip dengan Syatilla. Sehinggakan ada peminat yang keliru dengan mereka berdua.

Dia memulakan kerjaya sebagai instafamous solekan, bidang modelling dan selepas itu mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan. Baru mencipta nama dalam dunia hiburan tetapi terpaksa mengorbankan minatnya semata-mata ingin fokus kepada perniagaan yang dijalankan bersama adik beradiknya.

“Tahun lepas, saya telah menolak tiga tawaran berlakon kerana ingin serius dalam perniagaan kami. Maklum sahaja, bila kita berlakon, ia memerlukan komitmen yang sangat tinggi. Jadi, saya tidak mahu ada pembahagian fokus dan lebih baik tumpukan pada satu perkara sahaja,” katanya yang ditugaskan untuk menguruskan bahagian pejabat dan sumber manusia.

Sesuai dengan dirinya sebagai instafamous yang banyak review tentang produk orang. Jadi, tibalah masanya untuk dia melangkah ke satu lagi fasa dengan membuka perniagaan bersama ahli keluarganya.

“Pada mulanya agak risau sebab kami tidak pernah lakukan dan baru mencuba. Selepas berbincang dengan yang lain dan galakan daripada kawan-kawan, kami memberanikan diri,” katanya yang tidak menyangka akan mendapat sambutan yang baik.

Ada Rezeki Lain

Menceritakan tentang hubungan adik beradik, Syifa memberitahu, mereka dibesarkan dari keluarga sederhana dan kesemuanya perempuan. Kiranya, dia yang belum mendirikan rumah tangga selain adik bongsunya yang baru berusia 15 tahun.

Dalam usia begini, agak sesuai untuk dia mendirikan rumah tangga. Jawapan Syifa cukup mudah.

“Pernah semasa berusia 23 tahun, saya agak stres bila bercakap tentang perkahwinan. Tetapi, sekarang saya sudah tidak kisah. Jika ada jodoh, adalah. Mungkin rezeki kahwin saya lambat tetapi saya diberi rezeki lain pula,” katanya yang keluarga pun tidak pernah mendesak untuk dia cepat kahwin.

Tahun 2020, tiada yang diharapkan oleh Syifa selain untuk lebih berkembang maju, baik dari segi personaliti dan perniagaan yang dijalankan. Dengan perniagaan ini boleh membantu ramai orang untuk mengubah hidup. Harap saya akan bertemu jodoh pada tahun ini,” katanya sambil tersenyum.

Bakal Bergelar Ibu Muda – Syida Melvin

Siti Nur Syida Amirol Melvin, 23 tahun, anak keempat daripada lima adik beradik ini, agak pendiam berbanding dengan yang lain. Semasa penggambaran ini dilakukan, dia hanya menunggu hari untuk melahirkan anak sulung, hasil perkahwinan bersama Mohamad Syafiq Azim Shaheen pada tahun 2019.

“Alhamdulillah, dari hari ke hari, perasaan berkobar-kobar untuk menanti kehadiran orang baru dalam keluarga kami. Sekarang ini pun, masih ada lagi membuat persiapan di saat-saat akhir,” ujarnya yang bakal melahirkan anak perempuan.

Dia juga baru sahaja menghabiskan pelajaran di MSU, Shah Alam. Pada tempoh belajar dan masa yang sama ‘membawa’ perut ke kelas. Semua ini tidak langsung memutuskan semangatnya.

“Mulanya, saya agak malu sebab saya ‘bawa perut’ untuk masuk kelas, sedangkan pelajar lain masih belum kahwin,” katanya yang mengambil berjaya menamatkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Visual Communication and Marketing.Mengakui akan cuba berpantang secara tradisional dan percaya ia sangat membantu kemudian hari.

“Saya seorang yang tidak suka berjalan dan lebih suka duduk di rumah. Jadi, tiada masalah untuk saya betul-betul berpantang. Tambahan pula, agak takut juga bila ada mengatakan jika tidak melakukan pantang dengan betul, ia boleh memberi kesan pada esok hari,” kata Syida yang akan mengambil khidmat orang untuk menjaganya sepanjang tempoh berpantang.

Suami Penyokong Kuat

Berkahwin dalam usia muda dengan jarak usia dengan suami lebih kurang lapan tahun. Semua itu tidak langsung membuatkan dia menyesal. Malahan, dia percaya dengan jodoh yang telah diaturkan.

Tanggungjawab yang cukup besar. Buka sahaja sebagai isteri tetapi juga pelajar dan perniagaan yang dijalankan memerlukan dia bijak dalam menguruskan masa. Malah, semua ini tidak menghalang Syida untuk berjaya.

“Agak berat pada saya, namun mujurlah kakak-kakak banyak bertolak ansur dan suami sangat memahami. Dialah penyokong kuat dan pemberi semangat untuk saya lakukan semua ini,” jelas Syida yang ditugaskan untuk menguruskan bahagian kewangan.

Kekasih by The Melvins diasaskan oleh Syafiqa, Syatilla, Syifa dan Syida yang memperkenalkan rangkaian produk krim bedak asas dan matte bibir.

Setakat ini lebih daripada 1000 ejen dan stokis di seluruh negara dan setelah 9 bulan berada di pasaran, produk ini telah terjual lebih daripada 200,000 unit. Matlamatnya adalah untuk membantu menaikkan taraf hidup dan melahirkan ramai jutawan dalam perniagaan ini.

************************************************************

Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh adik beradik popular ini. Ingin ketahui lebih lanjut, baca sambungannya di dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Mac, volume 1 yang kini telah pun berada di pasaran.

Penyelaras & Teks: Norhayati Othman
Foto: Ahmad Shahir Osman
Solekan: Kelrina (Syatilla), Saidatulnisa (Syida), Mimie Romyza (Syifa), El Manda Zuhairy (Syafiqa)Penata Gaya: @Hashtagsrihartamas | Busana & Tudung: The Hashtag (@Hashtagsrihartamas);
Blancheur (@Blancheur_co); Radiusite Shah Alam (@Radiusiteshahalam)

Published by
Suhaidah Abd Wahab