Cerita Pada ALLAH Bukan Di Media Sosial

Share

Ingat ye, ada masalah cerita pada Allah bukan di media sosial. Selagi bernyawa, ujian tidak akan berhenti menyapa hidup kita. Ia bagaikan bayang-bayang, sentiasa hadir menguji iman kita. Tidak dinafikan, ramai yang melatah setiap kali ditimpa musibah atau masalah kerana tidak mampu menangani emosi yang menggila.

Malah ada yang meragut nyawa sendiri kerana tidak sanggup menempuh dugaan. Pahit, pedih dan menyakitkan, ini realiti yang berlaku dalam kehidupan kita. Ujian datang dalam pelbagai bentuk, ada yang diuji dengan kesakitan, pemergian orang tersayang, perceraian mahukan kehilangan punca pendapatan.

Semua ini benar-benar mendera emosi sehingga membuatkan kita menjadi lemah atau tidak berdaya. Saya yakin ramai di kalangan kita yang pernah berdepan dengan situasi ini. Sudah puas berusaha selesaikan masalah namun masih buntu.

Baca sini

https://www.mingguanwanita.my/syukur-penawar-hati-tamak/

https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en

Cerita Masalah Pada Allah Tutup Aib Diri

Pada saat kita merasakan dunia ini gelap, kita menyerah diri kepada Allah. Kita letakkan sepenuh pengharapan dan penggantungan kepada Allah. Yakinlah, Allah sentiasa mendengar rintihan hamba-Nya.

Ujian tanda kasih sayang Allah. Barangkali ketika kita sedang bahagia, kita kurang bersyukur dan sering melupakan Allah. Lantaran, Allah jentik hati kita dengan dugaan agar kita kembali kepada-Nya.

Saya kongsikan kisah luar biasa yang berlaku kepada kenalan rapat saya. Sejak remaja, dia sering diejek oleh teman-teman kerana mempunyai saiz fikizal yang besar. Air mata menjadi teman setianya. Sokongan keluarga tidak mencukupi, dia kemudiannya menjalani sesi kaunseling untuk memulihkan semangatnya. Namun dia tidak berjaya, hatinya masih rapuh, fikirannya tetap negatif.

Sehinggalah suatu hari, dia berdoa kepada Allah agar diberi kekuatan untuk bangkit daripada kekecewaan tersebut. Dia memohon doa secara khusus, konsep doanya seperti bercerita kepada Allah. Segala kesedihan dan kesakitan diluahkan kepada Maha Pencipta.

Koma Sebulan

Hatinya lega, fikiran menjadi lapang. Allah tiupkan semangat, dia jalani hidup dengan positif. Sehingga bertemu jodoh dan disahkan hamil. Sekali lagi, dia diuji. Dek kerana beratnya mencecah 120 kg, dia mengalami komplikasi ketika melahirkan anak. Dia koma selama sebulan.

Doktor mengatakan harapannya untuk hidup sangat tipis, ahli keluarga dan teman-teman tidak putus melawatnya di hospital. Allah Maha Besar, dengan izinNya, teman saya sedar dari koma dan kesihatannya beransur pulih.

Setelah beberapa bulan, saya berpeluang bertanya ‘perjalanannya’ semasa koma. Rupanya sepanjang tidak sedarkan diri, wanita ini tidak berhenti berjuang demi sebuah kehidupan. Dia merintih kepada Allah agar memberinya peluang merasai nikmat menjadi ibu dan menjaga keluarganya.

Penawar Duka

Lapan tahun berlalu, wanita ini bahagia di samping keluarga. Saiz fizikalnya, tidak banyak berubah namun mental dan emosinya begitu kuat. Hari ini, dia mampu mengukir senyuman kepada siapa yang memanggilnya gemuk. Gelaran itu tidak sedikit pun menjejaskan emosinya.

Peluang kedua yang diberikan Allah dimanfaatkan sebaik mungkin, dia tekad tidak membenarkan orang luar mencacatkan keindahan hidupnya. Sehingga kini, dia tidak jemu bercerita kepada Allah. Itulah penawar duka hidupnya…

Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.

 

 

 

 

Published by
intan rohaizat