Ingat ye, ada masalah cerita pada Allah bukan di media sosial. Selagi bernyawa, ujian tidak akan berhenti menyapa hidup kita. Ia bagaikan bayang-bayang, sentiasa hadir menguji iman kita. Tidak dinafikan, ramai yang melatah setiap kali ditimpa musibah atau masalah kerana tidak mampu menangani emosi yang menggila.
Malah ada yang meragut nyawa sendiri kerana tidak sanggup menempuh dugaan. Pahit, pedih dan menyakitkan, ini realiti yang berlaku dalam kehidupan kita. Ujian datang dalam pelbagai bentuk, ada yang diuji dengan kesakitan, pemergian orang tersayang, perceraian mahukan kehilangan punca pendapatan.
Semua ini benar-benar mendera emosi sehingga membuatkan kita menjadi lemah atau tidak berdaya. Saya yakin ramai di kalangan kita yang pernah berdepan dengan situasi ini. Sudah puas berusaha selesaikan masalah namun masih buntu.
Pada saat kita merasakan dunia ini gelap, kita menyerah diri kepada Allah. Kita letakkan sepenuh pengharapan dan penggantungan kepada Allah. Yakinlah, Allah sentiasa mendengar rintihan hamba-Nya.
Ujian tanda kasih sayang Allah. Barangkali ketika kita sedang bahagia, kita kurang bersyukur dan sering melupakan Allah. Lantaran, Allah jentik hati kita dengan dugaan agar kita kembali kepada-Nya.
Saya kongsikan kisah luar biasa yang berlaku kepada kenalan rapat saya. Sejak remaja, dia sering diejek oleh teman-teman kerana mempunyai saiz fikizal yang besar. Air mata menjadi teman setianya. Sokongan keluarga tidak mencukupi, dia kemudiannya menjalani sesi kaunseling untuk memulihkan semangatnya. Namun dia tidak berjaya, hatinya masih rapuh, fikirannya tetap negatif.
Sehinggalah suatu hari, dia berdoa kepada Allah agar diberi kekuatan untuk bangkit daripada kekecewaan tersebut. Dia memohon doa secara khusus, konsep doanya seperti bercerita kepada Allah. Segala kesedihan dan kesakitan diluahkan kepada Maha Pencipta.
Ads
Koma Sebulan
Hatinya lega, fikiran menjadi lapang. Allah tiupkan semangat, dia jalani hidup dengan positif. Sehingga bertemu jodoh dan disahkan hamil. Sekali lagi, dia diuji. Dek kerana beratnya mencecah 120 kg, dia mengalami komplikasi ketika melahirkan anak. Dia koma selama sebulan.
Doktor mengatakan harapannya untuk hidup sangat tipis, ahli keluarga dan teman-teman tidak putus melawatnya di hospital. Allah Maha Besar, dengan izinNya, teman saya sedar dari koma dan kesihatannya beransur pulih.
Setelah beberapa bulan, saya berpeluang bertanya ‘perjalanannya’ semasa koma. Rupanya sepanjang tidak sedarkan diri, wanita ini tidak berhenti berjuang demi sebuah kehidupan. Dia merintih kepada Allah agar memberinya peluang merasai nikmat menjadi ibu dan menjaga keluarganya.
Penawar Duka
Lapan tahun berlalu, wanita ini bahagia di samping keluarga. Saiz fizikalnya, tidak banyak berubah namun mental dan emosinya begitu kuat. Hari ini, dia mampu mengukir senyuman kepada siapa yang memanggilnya gemuk. Gelaran itu tidak sedikit pun menjejaskan emosinya.
Ads
Peluang kedua yang diberikan Allah dimanfaatkan sebaik mungkin, dia tekad tidak membenarkan orang luar mencacatkan keindahan hidupnya. Sehingga kini, dia tidak jemu bercerita kepada Allah. Itulah penawar duka hidupnya…
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Belum lagi reda covid-19 dan desas desus tentang HFMD, kini kita terdedah pula kepada penyakit cacar monyet (monkeypox). Dikatakan penyakit ini telah lama dan berjaya dilenyapkan. Tetapi, kini ia timbul kembali dan dikesan di Eropah dan Amerika.
Apa yang dikatakan dengan penyakit cacar monyet ini? Ikuti penjelasan daripada Dr Erna Nadia dalam perkongsiannya.
Bagi sesiapa yang tak tahu, inilah dia penyakit cacar monyet ( Monkeypox).
Penyakit ini dah lama ada. Penemuan awal pasal penyakit ini adalah pada tahun 1958, dijumpai pada monyet.
First case detect pada manusia adalah pada tahun 1970 di Congo.
Masa tu jugalah saintis cipta vaksin khas untuk penyakit ini dan pada tahun 1977, penyakit ini telah berjaya di lenyapkan ( eradicate).
Tapi beberapa tahun ini, penyakit ini muncul kembali dan beberapa minggu ini, penyakit ini ada di kesan di Europe dan Amerika.
Apakah cacar monyet (monkeypox)?
Monkeypox pun datang dari genus Orthopoxvirus ( adik beradik smallpox) dan ianya bersifat zoonosis.
Zoonosis ni maksudnya jangkitan daripada haiwan kepada manusia.
Macam mana boleh merebak?
Daripada titisan air atau cecair badan haiwan yang dah terjangkit dengan virus ini berpindah kepada manusia.
Boleh jadi sama ada melalui batuk bersin haiwan tu, daripada permukaan yang dia dah sentuh, daripada manusia yang makan haiwan tu ( tak dicuci bersih atau tak dimasak dengan betul).
Manusia yang dijangkiti virus ini boleh menjangkiti orang lain pula melalui rembesan dari hidung, batuk dan air liur. Termasuklah dari permukaan yang dia dah sentuh.
Ada teori mengatakan ianya boleh berjangkit dari aktiviti seksual juga.
Pada saya logik sebab bila orang yang dijangkiti tu ada simptom dan ‘bersama’ pasangan, virus ini boleh sahaja merebak.
Binatang tu monyet ke?
Tidak.
Ia boleh jadi monyet dan keluarga dia, tupai, tikus dan haiwan hutan lain.
Simptom-simptom
1. Demam panas melebihi 38.5 ke atas. 2. Sakit kepala 3. Sakit badan/sengal badan 4. Bengkak kelenjar limfa ( ini simptom paling common untuk penyakit ini) 5. Lemah tidak bermaya ( asthenia) 6. Tumbuh ruam
Ruam biasa akan tumbuh selepas demam 1-3 hari ( atau lebih) bermula dari muka dan merebak ke seluruh badan. Bermula dengan ruam biasa yang berwarna merah kemudian menjadi berair dan bernanah dan membesar sehinggalah berkeruping yang akhirnya akan jatuh sendiri dari badan manusia.
Tempoh inkubasi biasanya 7-14 hari dan masa sembuh biasanya selama 2-4 minggu.
.
Tidak Bahaya Tapi Berisiko
Adakah ianya merbahaya?
Secara umumnya tidak begitu berbahaya namun dia boleh sebabkan kadar kematian sehingga 10% terutama bagi golongan berisiko tinggi macam baby, kanak kanak, orang tua dan orang yang ada imuniti lemah seperti orang yang ada sakit kronik seperti kanser.
Risiko jangkitan tidaklah terlampau tinggi namun masih tetap perlu berhati hati.
Bagaimana nak elak?
1. Kebersihan paling utama. 2. Makanlah makanan yang di masak elok. 3. Janganlah makan haiwan yang pelik pelik. 4. Jika tak sihat, please duduk rumah. 5. Cuci tangan dengan betul setiap kali sebelum dan selepas makan atau sentuh apa apa. 6. Cuci semua pakaian dengan betul 7. Jika ada haiwan tak sihat, tolong cuci semua peralatan dan tempat tidur dia dengan baik. 8. Pakai PPE yang betul apabila merawat atau berjumpa dengan orang atau haiwan yang sakit.
Nasihat yang sama macam kita nak elak kena Covid19 tapi masih orang abaikan.
HFMD dan Monkeypox pula datang.
Tapi patutnya kita dah tahu apa tanggungjawab yang kita perlu buat.
Hati-Hati Penggemar Makanan Pelik
Bagi yang suka makan makanan atau haiwan pelik pelik ni, mohon berhenti la ya. Covid-19 haritu pun first detect kat pasar haiwan eksotik di China.
Makan sajalah ayam lembu kambing ikan makanan laut biasa biasa dan pastikan kebersihan di jaga.
Sebab itu agama sangat sarankan kita menjaga kebersihan dengan baik: baik zahir baik batin serta kata kata.
Rawatan antiviral untuk penyakit ini belum ada di negara kita.
Vaksin untuk cacar ini pernah ada dulu dulu tapi sebab dulu dulu dah berjaya hapus, vaksin tu tak ada lagi dah. Vaksin yang baru belum ada sepenuhnya lagi.
Mingguan Wanita : Sekarang ni macam-macam penyakit yang muncul. Minta dijauhkan
Adibah bebas tuduhan nusyuz, “syukur nama dibersihkan & bukti bukan isteri derhaka. Pasti ramai mengingati kes Adibah Abd Mutalib yang difailkan nusyuz oleh bekas suaminya, Rosland Othman selepas lelaki tersebut mengahwini pelakon Miera Liyana.
Walau pada awalnya Adibah enggan diceraikan kerana sudah mendirikan rumahtangga selama 28 tahun namun akhirnya pasangan ini bercerai jua.
Adibah Bebas Tuduhan Nusyuz
Dalam pada itu, Adibah juga berhadapan dengan tuduhan nusyuz dibuat oleh Rosland dan terbukti semalam, pihak mahkamah menolak tuntutan kes nusyuz dibuat bekas suaminya, Rosland Othman.
Memetik laporan Harian Metro, “saya rasa bersyukur kerana keputusan mahkamah hari ini, dapat membersihkan nama saya,”.
Demikian kata bekas madu pelakon Miera Leyana, Adibah Abd Mutalib, 51, selepas Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, mengumumkan keputusan tuntutan kes nusyuz dibuat bekas suaminya, Rosland Othman.
Adibah ketika ditemui di perkarangan mahkamah berkata, dia bersyukur kerana dapat meneruskan kehidupannya tanpa perlu dilabel sebagai isteri nusyuz.
“Dua tahun kes ini berjalan. Alhamdulillah, sangat bersyukur kepada Allah sebab keputusan berpihak kepada kita. Tak tahu nak cakap apa. Rasa syukur dapat bersihkan nama saya dan teruskan dengan proses tuntutan lain. Insya-Allah.
“Yang penting, tak ada label nusyuz. Sebab orang tak faham. Sekarang kita boleh teruskan kehidupan,” katanya.
“Syukur Nama Dibersihkan & Bukti Bukan Isteri Derhaka…”
Peguam yang mewakili Adibah, Junid Ramali, berkata, pihaknya dapat meyakinkan mahkamah sekali gus membuktikan dakwaan yang mengatakan anak guamnya itu seorang isteri nusyuz adalah tidak benar.
“Alhamdulillah, untuk keputusan hari ini memihak kepada Adibah, di mana dia dibebaskan daripada tuduhan nusyuz. Sabitan nusyuz yang dibuat oleh pihak plaintif, ditolak oleh mahkamah.
“Jadi, mahkamah menerima hujahan kita, di mana kita beritahu bahawa plaintif sebenarnya tidak bersungguh untuk memperbaiki hubungan rumah tangga dan nak buat tuntutan nusyus hanya untuk menganiaya defendan (ketika itu sebagai isteri) atau nak menunjukkan bahawa hanya defendan yang bersalah serta menyebabkan keruntuhan rumah tangga.
“Alhamdulillah, kita berjaya meyakinkan mahkamah bahawa, defendah sudah cuba dengan sedaya upaya dan pelbagai usaha untuk memperbaiki rumah tangga. Namun, pihak plaintif sendiri yang sudah menceraikan pihak defendan,” katanya.
Tambah Junid, label sebagai isteri nusyuz adalah satu tanggapan negatif yang berat dan terpaksa ditanggung anak guamnya.
“Tanggapan masyarakat terhadap label nusyuz ini sangat berat. Orang di luar sana yang tak faham apa yang berlaku, tapi, bila seorang isteri diisytiharkan nusyuz, ia memberi tanggapan buruk.
“Jadi, dengan keputusan mahkamah hari ini, setidaknya Adibah dapat meneruskan kehidupan seperti biasa dan tiada tanggapan negatif terhadapnya oleh mana-mana pihak.
“Kita dah cuba berbincang dengan baik untuk hak bekas isteri sebab dengan 28 tahun perkahwinan, Adibah ada haknya. Jadi, kalau tidak boleh diselesaikan dengan baik, kita akan cuba ketengahkan untuk tuntut haknya,” katanya.
Harian Metro cuba mendapatkan komen daripada Rosland dan peguamnya, Nurul Balqis Nordin, namun, kedua-duanya enggan memberikan sebarang komen.
“Maaf, anak guam saya belum bersedia,” kata peguamnya.
Rosland, 51, hadir ditemani ibu mentuanya iaitu ibu Miera, Aisah Abdullah, 62.
Terdahulu, Adibah sah bercerai dengan talak satu selepas Rosland melafazkan talak di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 3 Ogos 2023.
Penceraian itu juga menamatkan ikatan rumah tangga mereka selama 28 tahun yang turut dikurnikan lima cahaya mata. Rosland berkahwin kali kedua dengan Miera pada Julai 2020 dan memiliki seorang anak perempuan.
Mendapat perkhabaran gembira bahawa diri kini hamil adalah suatu yang cukup indah buat Rosmani Abdullah, 45 dan pasangan, Faizol Anizam Saad. Meskipun ini bukan kelahiran pertama buat Rosmani, tapi buat pasangan ini yang masing-masing berjodohan setelah perkahwinan terdahulu tidak berjaya, anak yang bakal dilahirkan adalah zuriat pertama hasil perkongsian hidup berdua setelah hampir tiga tahun hidup bersama.
Hamil di lewat usia, Rosmani sendiri tahu apa risiko yang bakal ditempuhi. Tapi semuanya diserahkan kepada Yang Maha Esa kerana rezeki yang hadir jua datangnya dari Allah SWT. Kehamilan kali ini tidak seperti terdahulu. Kalau dahulu setiap kali hamil pasti alahan yang dialami agak teruk, tapi kali ini bagaikan semuanya dipermudahkan. Rasa syukur itu hadir buat ibu kepada lapan orang cahaya mata ini.
Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Selepas berpindah ke rumah sewa baru yang terletak di Puchong, Selangor, Rosmani membuat pemeriksaan berkala untuk ibu hamil di klinik kesihatan berdekatan. Ketika itu usia kandungan sudah mencapai tujuh bulan. Setelah pemeriksaan dibuat, jururawat dan doktor bertugas menyatakan ada sesuatu yang tidak kena dengan bayi yang dikandung. Lantas Rosmani dirujuk ke Hospital Shah Alam supaya dapat melakukan pemeriksaan menyeluruh.
Ternyata kehamilan kali ini tidak selancar yang disangka. Daripada imbasan yang dibuat janin dalam kandungan punya masalah kesihatan. Apa yang dimaklumkan oleh doktor, bayi yang bakal dilahirkan Rosmani akan mempunyai masalah jantung, bibir sumbing dan tangan tidak akan terbuka.
Kandungan Bermasalah
Mendengar perkhabaran sedemikian rupa, hati ibu manalah yang tidak akan sedih dan sayu. Anak yang dikandung bakal lahir dengan segala macam penyakit yang serius, tapi Rosmani percaya dengan ketentuan Ilahi bahawa semua yang terjadi ada hikmahnya. Dia dan suami perlu reda dan kuat untuk bayi yang bakal dilahirkan kelak.
“Dapat berita hamil kali ini saya dan suami cukup gembira, maklumlah anak pertama untuk kami berdua setelah berkahwin tiga tahun yang lalu. Ini adalah perkahwinan kedua buat kami. Jadi keterujaannya agak lain. Sementelah pula setelah membuat imbasan anak yang bakal dilahirkan adalah anak perempuan. Untuk suami ini adalah anak perempuan pertama dalam hidupnya yang mempunyai dua orang anak lelaki sebelum ini. Saya sendiri sudah ada tujuh orang anak, lima perempuan dan dua lelaki.
“Awal kehamilan memang tiada apa masalah sehinggalah usia kandungan masuk lapan bulan. Bila saya buat pemeriksaan di klinik kesihatan, air ketuban banyak dan mereka minta saya untuk rujuk ke Hospital Shah Alam. Setelah dibuat pemeriksaan menyeluruh dengan kandungan saya, menurut doktor janin dalam perut ada masalah kesihatan.
Aulia sedang menunggu pembedahan jantung dalam waktu terdekat, bila keadaan kesihatan sudah stabil, anak kecil ini akan melalui beberapa siri pembedahan lain untuk bibir dan lelangitnya pula
“Hari yang dinanti bakal tiba. Saya dimasukkan ke hospital lebih awal dari tarikh jangkaan kerana masalah kandungan. Tiga kali saya induce tapi masih lagi tiada tanda-tanda untuk bersalin. Doktor beri kata dua jika masih tidak bersalin saya akan bersalin melalui kaedah pembedahan. Pada mulanya saya enggan tapi memandangkan risiko yang bakal saya dan anak yang akan dilahirkan saya pasrah dengan saranan doktor berikan. Tak putus saya berdoa dan positifkan diri, akhirnya alhamdullilah saya lahirkan bayi kami dengan keadah bersalin normal,” ujar Rosmini.
Lahir Dengan Masalah Jantung Berlubang, Injap Paru-paru Bocor dan Klef Bibir dan Lelangit
Tanggal 13 Mac 2019 lahirlah seorang bayi perempuan yang diberi nama Aulia Ayesya. Syukur tidak semua yang doktor jangkakan berlaku, Aulia dilahirkan dengan masalah jantung berlubang, injap paru-paru bocor dan juga klef bibir dan lelangit. Walaupun begitu, tidak tegar rasanya melihat anak yang sekecil itu terpaksa menanggung sakit yang begitu serius. Namun sudah dari awal ibunya bersedia dan reda dengan apa yang berlaku.
Dengan keadaan sebegitu, sejurus dilahirkan, Aulia ditahan di Neonatal Intensive Care Unit (NICU) selama dua bulan setengah untuk dipantau tahap kesihatannya sebelum dibenarkan pulang.
“Selepas dilahirkan lama juga Aulia berada di NICU, lebih kurang dua bulan lebih. Sepanjang tempoh tersebut saya memang berulang alik ke hospital untuk menjenguknya setiap hari. Ketika musim perayaan hari itu, Aulia dibenarkan balik ke rumah. Ahli keluarga di kampung ramai yang ingin melihat saya dan bayi, melihatkan keadaan Aulia yang sudah agak kuat, saya tawakal kepada Allah dan bawa Aulia pulang ke kampung yang terletak di Kelantan.
“Ketika di kampung, kesihatan Aulia agak merosot kerana tiubnya yang tercabut dan saya perlu ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Sebaik sahaja sampai ke rumah di Puchong, keesokkan harinya saya bawa Aulia ke Hospital Shah Alam. Sekali lagi Aulia ditahan dan sehingga sekarang kesihatan Aulia tidak stabil dan masih di rawat di hospital.
“Sejak dimasukkan ke hospital pada Jun lalu sehingga kini saya berulang alik ke hospital setiap hari. Keadaan dia memang tak stabil. Sekejap dia demam, sekejap dia ok. Begitulah keadaan Aulia. walaupun begitu, perkembangannya seperti juga bayi yang lain, dia tetap respon bila diagah dan diajak bercakap. Suka bila orang melayan dia bercakap. Kadang memang tak sampai hati melihat anak sekecil itu penuh dengan wayar dan dicucuk sana sini. Hanya doa dan harapan yang saya ada untuk melihat anak saya Aulia sihat seperti kanak-kanak yang lain,” ujar Rosmani lagi.
Kos Rawatan Semakin Bertambah
Sejak bulan Jun yang lalu, si kecil Aulia berada di wad. Benarlah demi kasih sayang kepada seorang anak, ibu dan ayah sanggup lakukan apa sahaja. Selama itulah Rosmani dan suami berulang alik ke hospital yang kini sudah masuk hampir tiga bulan. pastinya banyak kos yang diperlukan buat menanggung bukan sahaja kos rawatan, kos susu malah kos pengangkutan dan juga lain-lain.
Aulia bergantung kepada susu khas dan suplimen atas saranan doktor
Akur dengan dugaan yang menimpa, kepada Allah tempat keduanya memohon segala kesulitan. Reda dan pasrah dengan qada dan qadar yang telah ditetapkan untuk mereka berdua. Hanya doa dan usaha serta tawakal yang menguatkan mereka berdua bagi membesarkan si kecil yang menderita dengan penyakit yang tiada kesudahan ini.
“Dengan keadaan anak yang begini memang membutuhkan semangat yang kuat dari saya dan suami. Apa yang kami lakukan adalah memohon kepada Yang Maha Kuasa agar terus permudahkan urusan kami dan berikan kekuatan untuk menghadapi semua ini. Saya yakin akan ada keajaiban buat anak saya suatu hari nanti.
“Saya tak nafikan memang kos rawatan yang diperlukan untuk Aulia memang tinggi. Aulia bergantung kepada susu khas sebagai sumber makanan kerana keadaannya itu. Malah rawatan untuknya juga mencecah sehingga hampir RM4,000 setiap bulan. Dengan saya yang tidak bekerja dan suami hanya bekerja sendiri sebagai pemandu teksi, itu semua kadang merungsingkan saya.
“Tak lama Aulia akan berusia enam bulan, kos rawatan juga akan bertambah. Bukan tiada bantuan yang saya dapat, bantuan daripada kariah surau tempat saya tinggal, Zakat dan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sedikit sebanyak dapat ringankan perbelanjaan untuk Aulia. Tapi ya lah dengan pendapatan suami yang tak menentu dan kos rawatan yang semakin bertambah. Dengan masalah jantung berlubang, kini Aulia sedang menunggu pembedahan jantung dalam waktu terdekat dan semestinya itu semua memerlukan kos yang banyak. Tapi saya percaya pasti ada rezeki untuk Aulia. Jika ada yang sudi untuk membantu memang saya alu-alukan, paling tidak pun doakan kesihatan Aulia dan semoga Allah permudahkan pembedahan dan urusan rawatan yang bakal dilaluinya nanti. Doa saya juga anak saya akan sihat seperti kanak-kanak lain,” ujarnya penuh harapan.
Bagi yang ingin membantu dan meringankan beban keluarga Rosmani dan anaknya Aulia bolehlah menyalurkan bantuan ke akaun CIMB Rosmani Abdullah bernombor 7612948217 atau Bank Simpanan Nasional bernombor 0320029838526355.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...