Cerai Isteri Ketika Hamil, Ini Peritnya Alahan, Bersalin, Berpantang ‘Ex’ Kena Hadam

Share

Ketika dilanda konflik rumah tangga kronik dengan isteri yang sedang hamil, wahai suami.. ingatlah bahawa hormon isteri anda ketika itu tidaklah stabil. Amatlah peritnya jika suami cerai isteri dalam keadaan isterinya hamil.

Kerana itu, anda sebagai ketua keluarga seharusnya bertindak wajar, lebih bijak dan perhalusi semula niat untuk melepaskannya. Biarpun, hukumnya harus lafaz cerai yang dilepaskan pada isteri mengandung dan jatuh talaknya, namun dimanakah kewajaran bagi seorang suami.

Apatah lagi, ketika itu isteri sedang mengandungkan zuriat suami dan terpaksa berdepan keletihan malah tekanan perasaan lagi-lagi melibatkan bayi dalam kandungannya.

Lelaki ini, BroOhsem, Akhtar Syamir berkongsi gambaran benar yang isteri hamil lalui. Sungguh prosesnya tak mudah, malah memeritkan.

 

 

Ini Sebab Cerai Isteri Ketika Hamil Tak Bertanggungjawab

Cerai isteri ketika hamil. Ini adalah satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab yang boleh dilakukan oleh seorang lelaki.

Apa bezanya waktu lain dan semasa hamil? Kalau anda tak nampak perbezaan ini, maknanya hati dan mata anda sebenarnya telah buta. Sama ada buta ditusuk cinta dan sayang orang yang baru atau sememangnya dilahirkan tidak mengambil berat mengenai isteri.

Ini Yang Jadi Sebaik Isteri Tahu Dirinya Hamil

Proses kehamilan itu bukan sekadar hamil sahaja. Ianya bermula dengan sebelum terjadinya hamil itu. Sebelum hamil itu berdua. Kalau seorang sahaja memang tak jadi. Jadi, selalunya di tahap ini, indah dan seronok.

Kemudian tibalah tahap di mana isteri itu disahkan hamil. Segala hormon di dalam badan isteri berkecamuk umpama kapal yang sedang terbalik. Percayalah pada ketika ini, isteri sangat memerlukan suami.

Makan itu tak boleh, bau ini nak muntah. Kepala sentiasa pening, mood selalu tidak baik. Apabila makan pun tidak terurus, tenaga pun akan berkurangan ditambah pula dengan muntah yang berlarutan.

Di sini datangnya keperluan seorang suami untuk membantu isteri menjalani kehidupan yang normal dengan keadaan sebegitu. Isteri sangat memerlukan sokongan moral kerana pada masa inilah jiwanya terganggu.

Sewaktu Alahan Teruk, Nak Bangun Dari Katil Pun Susah..

Dari segi fizikal pula, si isteri yang mengalami alahan yang teruk tidak akan cukup nutrisi dan zat di dalam badan. Ini kerana isteri tidak berhenti muntah sehingga tidak terkira berapa kali sehari. Suamilah yang patut bantu masak atau menyediakan makanan.

Dari segi pakaian, dari segi kebersihan juga perlu dibantu. Ada kalanya nak bangun dari katil pun satu perkara yang sukar untuk dilakukan seorang diri. Inikan pula mandi. Suami yang prihatin, pasti akan mandikan isterinya.

Waktu Pemeriksaan Kehamilan, Isteri Perlu Sokongan Suami

Kehamilan tidak dapat lari dari kunjungan ke klinik kesihatan. Nampak seperti satu perkara yang mudah. Pergi klinik dan jumpa Doktor. Apa yang susahnya? Jika anda berfikiran sebegini, malanglah isteri anda.

Ini kerana proses pemeriksaan di klinik kesihatan adalah antara perkara yang paling menyusahkan dan memenatkan wanita yang sedang hamil. Dari masa pergi, daftar, menunggu, menunggu dan menunggu hinggalah akhirnya semua proses itu selesai berjam-jam selepas itu.

Itu belum campur jika ada keperluan lain seperti buat BSP yang pastinya memberi lebih tekanan kepada bakal ibu. Tanpa suami, terkontang-kantinglah isteri seorang diri menguruskan semuanya. Jika ada anak kecil pula, pastinya lebih teruk.

Proses menunggu waktu bersalin juga adalah fasa yang memenatkan. Jika tidak sakit, hati pasti akan sentiasa risau dan gundah gulana. Ada pula yang sentiasa rasa sakit tetapi badan tidak bersedia. Pada waktu ini, suamilah yang menjadi tempat mengadu dan menenangkan jiwa. Risau, takut dan ada yang kecewa kerana lebih dari tarikh yang sepatutnya sangat memberi tekanan.

Dalam Dewan Bersalin, Nyawa Isteri Bagi Dihujung Tanduk

Apabila sudah masuk di dalam dewan bersalin. Isteri akan ditinggalkan keseorangan memikir seribu persoalan di dalam kepala. Adakah semuanya akan selamat?

Bagaimanakah anak aku nanti? Pada waktu itu, sangat penting bakal ibu ditenangkan oleh suami.

Saya sendiri luka di tangan akibat digenggam dengan kuat oleh isteri. Biar dia luka, biar saya sakit. Saya tahu itu hanya secebis sahaja kesakitan yang isteri sedang alami.

Saat meneran juga antara saat yang terpenting dalam proses kelahiran. Nyawa isteri berada di hujung tanduk. Kekuatan bukan datang dari diri sendiri lagi kerana semuanya telah habis digunakan.

Kesakitan yang dialami tiada tolok bandingnya. Jika semua suami boleh merasai kesakitan itu, saya jamin tidak akan ada yang tergamak melayan isteri dengan buruk. Cuba bayangkan anda digunting dan dijahit tanpa bius. Bayangkanlah.

Selepas Bersalin, Luka Jahitan Ambil Masa Nak Sembuh

Selesai bersalin, masa pemulihan pun bermula. Jahitan akibat digunting perlu ambil masa untuk pulih. Si ibu akan sibuk menguruskan bayi. Jalannya tidak teratur. Langkahnya singkat. Perlu sentiasa berhati-hati kerana jika kesannya amat buruk jika tersilap langkah.

Jika ada anak lain pula yang perlu diuruskan, sememangnya satu tugas yang perit. Mungkin ada yang boleh buat semuanya, tetapi ramai yang benar-benar tidak mampu. Mana nak jaga diri, mana nak jaga anak lagi.

Masa Berpantanglah, Risiko Meroyan Boleh Terjadi

Faktor gangguan emosi juga sering terjadi selepas bersalin. Terlalu banyak kes depresi yang terjadi. Ada yang terlalu teruk sehingga timbul perasaan untuk mencederakan anak. Allahuakbar. Jika tiada peneman, tiada yang menenangkan, akibatnya amatlah buruk.

Begitulah serba sedikit perjalanan dari awal sehingga selepas hamil. Ini hanya sedikit gambaran kasar. Hanya yang melaluinya sahaja tahu betapa sukarnya mengandung dan melahirkan anak.

Manusia biasa pasti tidak tergamak membiarkan isteri melalui semua itu seorang diri. Manusia yang berakal akan cuba membantu sebaik mungkin untuk memudahkan segala urusannya. Perlu ingat, mereka jadi seperti ini disebabkan suami juga. Jadi, bertanggungjawablah atas perbuatan itu.

 

 

Kejamnya Lelaki Yang Menceraikan Isteri Semasa Hamil

Inilah sebabnya kenapa saya kata, lelaki yang menceraikan isterinya semasa hamil adalah lelaki yang sangat tidak bertanggungjawab. Tidak kiralah anda siapa. Anda seorang yang kejam.

Tidak kira perpisahan itu atas sebab apa. Sebagai seorang suami yang bersama-sama semasa proses bermulanya kehamilan, ianya perlu diteruskan sehingga selesai kesemua proses itu. Bukan ditinggalkan begitu sahaja.

Semoga kita dijauhkan dari keadaan seperti ini. Hargailah isteri anda. Tiada siapa yang boleh melahirkan zuriat sendiri selain isteri. Jadilah manusia yang bertanggungjawab.

Kongsikan penulisan ini buat pedoman semua. Ini bukan soal menyibuk hal rumah tangga orang lain. Ini soal memberi kesedaran. Jika tiada siapa yang beritahu, tidak semua akan faham apa yang isteri lalui.

MW : Jangan ingat wanita hamil ini semua kuat, mungkin hatinya kata kuat. Tapi siapa tahu apa yang ‘baby’ dalam perut itu sedang alami. Fikirlah sedalamnya sebelum buat keputusan mahu cerai isteri semasa hamil.

Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa.

Jom join Supergroup Telegram BroOhsem Fans di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Published by
NETTY AH HIYER