Cederakan Kepala Dan Melupuskan Mayat Adam Rayqal, Pengasuh Tetap Mengaku Tak Bersalah

Share

Apabila imbas kembali perbuatan pengasuh Adam Rayqal Mohd Sufi, bayi berusia lima bulan yang ditemui mati di dalam peti sejuk, hati mak-mak mesti rasa macam disiat-siat.

Apa lagi kalau mak-mak itu memang keluar bekerja seperti ibu si mangsa, yang terpaksa meletakkan anak di bawah jagaan orang lain. Pasti ada secebis kerisauan membalut di hati walau sudah biasa letak rumah pengasuh.

Hari ini Noor Aqilah Abd Rahman, 33, yang didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan kepala dan melupuskan mayat mangsa.

Pengasuh Mengaku Tidak Bersalah

Namun apa yang mengejutkan dia tetap mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Noor Aqilah sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, lima bulan, didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di kepala kanak-kanak berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia turut dituduh melupus mayat Adam Rayqal dengan niat menyembunyikan kematian mangsa dan menyebabkannya terlepas daripada hukuman dan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda.

Info: Berita Harian

Published by
Nadia