Lelaki ini, Akhtar Syamir berkongsi panduan bagaimana mencipta peluang tambah simpanan emas dengan Ar Rahnu. Bahasa mudahnya, tempat untuk mak-ayah pajakkan emas secara Islam bagi mendapatkan pinjaman wang.
Macam mana melalui pajakan ini dapat menambahkan simpanan emas, lanjutkan bacaan untuk hadamkan info seterusnya.
Kelebihan Ar-Rahnu Mak Ayah Perlu Tahu
Ar-Rahnu adalah sistem pajak gadai Islam yang menawarkan pinjaman mikro diatas gadaian barang kemas. Tetapi jangan pandang perkataan pajak itu sahaja. Kerana kita boleh gunakan Ar Rahnu untuk menambah simpanan emas sedia ada.
1. Satu Tempat Selamat Untuk Simpan Emas
Sebelum saya teruskan, saya perlukan anda buang persepsi yang tidak baik terhadap pajakan atau Ar Rahnu. Tidak semua orang yang pergi Ar Rahnu ialah orang tidak mempunyai duit. Ada yang menggunakan Ar Rahnu untuk menyimpan emas dan menggandakan simpanan emas sedia ada.
Untuk simpanan emas dengan selamat, tak perlu pergi bank dan sewa peti besi, Ar Rahnu ialah tempat yang terbaik. Katakanlah anda mempunyai banyak emas atau terpaksa meninggalkan rumah dalam masa yang agak lama, simpanlah emas anda di Ar Rahnu. Sudah tentu selamat dan tidak perlu bimbang akan risiko kehilangan atau kecurian.
Ada banyak cawangan dan penyedia perkhidmatan Ar Rahnu yang menawarkan kadar yang berbeza-beza. Tetapi di dalam penulisan kali ini saya fokuskan kepada Ar Rahnu X’Change.
2. Peminjam Di Ar Rahnu X’Change Takkan Direkod CCRIS
Untuk makluman dan meleraikan kebimbangan, pajakan di Ar Rahnu X’Change TIDAK AKAN direkodkan dalam CCRIS. Hanya Ar Rahnu yang di BANK sahaja yang akan meninggalkan kesan di CCRIS. Ar Rahnu X’Change adalah seperti satu francais yang menggunakan sistem Ar Rahnu dari Bank Rakyat tetapi bukan sebahagian dari Bank Rakyat. Ada yang kata, X’Change juga ada yang di bawah Bank Rakyat. Jadi, kenalah tanya dahulu jika tidak mahu ada rekod CCRIS.
Tetapi kepada orang yang tidak pernah mempunyai rekod pinjaman bank dan bercadang untuk memohon pinjaman di masa hadapan, gunakanlah Ar Rahnu yang di bawah Bank untuk mewujudkan rekod pinjaman di dalam CCRIS.
Berbalik kepada Ar Rahnu X’Change, kadar pinjaman adalah setinggi 80% dari nilai emas yang dipajak dan tempoh masa gadaikan maksimum ialah selama 6 bulan. Namun begitu, selepas 6 bulan, anda boleh membayar upah simpan dan menyambung tempoh pajakan selama 6 bulan lagi jika mahu.
Penyambungan ini boleh diulang sehingga 2 kali. Jadi, maksimum 18 bulan barang kemas itu boleh dipajak sehingga ianya dilelong.
Ads
Kemudian kita kena ambil tahu berapakah nilai harga emas di Ar Rahnu X’Change. Pada saat dan ketika penulisan ini dibuat, harganya ialah RM 269 untuk 1 gram.
Jom kita bermain dengan matemarik supaya boleh nampak jelas berapa boleh dapat dan berapa upah yang perlu dibayar.
Katakanlah emas yang ingin kita pajakkan seberat 10 gram. Berat Emas X Harga Emas X 80% = Amaun tunai yang kita akan dapat. 10 g X RM269 X 80% = RM2152 Kos upah simpan untuk Ar Rahnu X’change ialah 0.65% hingga 0.75% dari nilai emas yang digadaikan. RM2690 X 0.75% = RM20.17 Jika dikalikan selama 6 bulan = RM121.02 Inilah jumlah kos upah untuk menyimpan emas di Ar Rahnu X’Change. Jika ingin menebus kembali emas yang sudah dipajak, hanya perlu campur jumlah pinjaman tambah dengan jumlah kos upah. RM2152 + RM121.02 = RM2273.02.
Jika ingin menyambung lagi tempoh masa gadaian, hanya perlu sediakan RM121.02 untuk penambahan lagi 6 bulan berikutnya. Ini boleh buat 2 kali.
Situasinya Begini..
Dari informasi ini, banyak situasi boleh kita kaitkan.
1. Jika anda perlukan duit segera dan anda ada 10 g emas, selepas digadaikan, anda akan dapat RM2152 tunai.
Mana lagi bagus? Gadai atau jual di kedai?
Pada waktu dan ketika penulisan ini ditulis, Kedai Emas seperti Gull Jewellery menawarkan pembelian emas setinggi RM225 1 gram.
Jadi, jika anda nak jual emas di kedai emas, anda akan dapat RM2250 berbanding RM2152 di Ar Rahnu. Tetapi perbezaannya ialah, di Ar Rahnu, anda masih memiliki itu anda dan jika jual di kedai, emas itu bukan lagi milik anda. Satu lagi perbezaan ialah di Ar Rahnu, anda ada kos upah yang perlu dibayar nanti.
2. Bagaimana pula jika kita gunakan duit yang dapat dari Ar Rahnu dan beli emas yang baru?
Dari RM2152, jika dibahagikan dengan RM267 1 gram di kedai emas, kita akan dapat membeli emas seberat 8.05 gram.
Cuba kita bandingkan pula dengan jika kita “trade in” (jual dan beli semula emas di kedai yang sama). Harga trade in di kedai seperti GULL Jewellery SHAH ALAM ialah setinggi RM228 1 gram.
RM228 X 10 g = RM2280. Dari ini, kita boleh dapat beli emas di kedai yang sama seberat RM8.53 gram.
Ads
Perbezaannya, di Ar Rahnu, emas masih lagi milik anda dan anda perlu bayar kos upah simpan manakala apabila “trade in”, emas sudah menjadi milik kedai tetapi anda akan dapat beli emas yang lebih berat.
3. Jika kita bercadang untuk menambah simpanan emas tetapi simpanan duit masih belum mencukupi dan anda ada emas yang anda sudah bosan pakai, boleh juga buat begini.
Pajakkan emas seberat 10g itu di Ar Rahnu dan kemudian beli emas yang baru. Anda akan dapat beli 8.05 gram emas yang baru seperti yang kita kira di atas.
Mungkin dalam masa 6 bulan lagi duit simpanan akan mencukupi, bolehlah tebus emas di Ar Rahnu untuk menjadikan jumlah emas yang anda ada sebanyak 18.05 gram. Jika 6 bulan tidak mencukupi, sediakan sahaja RM121.02 untuk menyambung lagi 6 bulan.
Apa yang anda akan dapat dengan cara ini? Emas telah bertambah dari 10 gram ke 18.05 gram. Anda boleh membeli harga emas pada harga sekarang, yang kebarangkaliannya lebih rendah dari masa akan datang, tanpa menunggu simpanan duit yang cukup.
Konsep mudah emas ialah beli dahulu dan tunggu, bukannya tunggu dan beli.
Cara ini juga boleh dibuat jika anda mahu rekaan terbaru tetapi sayang untuk melepaskan emas sedia ada dengan cara “trade in”.
Namun, “trade in” juga ada kelebihannya iaitu anda boleh dapat beli emas yang lebih berat berbanding cara simpan di Ar Rahnu tadi.
Sama juga dengan menjual emas di kedai emas. Anda akan dapat tunai yang lebih dan tidak tertakluk kepada hari dan waktu pembukaan Ar Rahnu X’Change yang selalunya tutup pada hari Sabtu dan Ahad.
Ads
Secara Ringkasnya..
1. Jika mahu tunai tanpa simpan, jual emas di kedai emas.
2. Jika mahu tunai dengan niat mahu simpan lagi emas sedia ada, pajakkan di Ar Rahnu.
3. Jika mahu rekaan emas terkini tanpa mahu menyimpan emas yang lama, “trade in” di kedai emas.
4. Jika mahu rekaan emas terkini dan masih sayang emas yang lama, pajakkan di Ar Rahnu.
5. Jika tidak mahu beri kesan kepada rekod CCRIS, pajaklah di Ar Rahnu yang bukan di bawah Bank. (Ar Rahnu X’Change) bukan di bawah bank, mereka hanya seperti francais yang menggunakan sistem Ar Rahnu Bank Rakyat.
6. Jika mahu wujudkan rekod pinjaman untuk pinjaman di masa hadapan, gadaikan emas di Ar Rahnu bank seperti di AgroBank dan lain-lain. Cuma pastikan pembayarannya juga cantik.
7. Batu permata tidak boleh dipajak. Ia akan dipisahkan dan hanya emas sahaja yang akan dinilai. Samalah juga dengan batu-batu dan warna enamel di beads atau dangle contohnya. Ia akan dipisahkan atau dibersihkan terlebih dahulu sebelum dinilai beratnya.
Simpan Emas, Duit Secara Paksa
8. Jadikan Ar Rahnu sebagai tempat simpanan emas dan simpanan duit secara paksa. Apabila duit Ar Rahnu digunakan untuk membeli emas, secara automatiknya kita kena mula menyimpan untuk menebus kembali emas yang dipajak. Ada pilihan simpan selama 6 bulan, 12 bulan atau 18 bulan.
9. Simpanan di Ar Rahnu tidak perlu bayar bulanan, hanya perlu bayar maksimum 6 bulan atau bergantung kepada bulan dan hari yang disimpan jika kurang dari 6 bulan.
10. Bila tebus, sediakan jumlah tunai yang dapat semasa pajak tambah dengan upah simpan.
11. Kadar pinjaman, nilai emas, tempoh pajakan berbeza di antara penyedia perkhidmatan Ar Rahnu. Ada yang bagi 70%, ada yang 80%, ada yang 6 bulan, ada yang 10 bulan, ada yang kos simpan mahal, ada yang mudah dan lain-lain. Carilah yang paling sesuai dengan anda.
12. Selalunya untuk kali pertama pajakan, anda akan dapat sebanyak RM65% dari nilai emas yang disimpan. Ia akan meningkat menjadi 70% atau 80% bergantung kepada penyedia perkhidmatan Ar Rahnu itu.
13. JANGAN PAJAK EMAS DI KEDAI BUKAN MUSLIM.
Emas Tak Tebus, Akan Dilelong
14. Di Ar Rahnu, hampir semua jenis emas 750 hingga ke 999 boleh dipajak.
15. Ada Ar Rahnu boleh terima kalau kita nak jual emas kita tu untuk ambil tunai. Kadarnya kurang sedikit dari harga pajak. Boleh tanya dan bandingkan dengan harga kedai.
16. Apabila emas tidak ditebus, ia akan dilelong mengikut harga emas semasa. Contohnya apabila anda gadai, pada waktu itu emas pada harga RM190 untuk 1 gram. 10 gram X RM190 X 80% = RM1520 Upah simpan selama 6 bulan : 10 gram X RM190 X 0.75% = RM14.25 sebulan atau RM85.50 selama 6 bulan.
Untuk tebus, anda perlu ada RM1520 + RM85.50 = RM1605.50
Selepas 6 bulan, katakanlah harga emas sudah naik ke RM267 dan anda tidak mampu untuk tebus. Ar Rahnu akan lelong dan katakanlah dapat dijual juga pada harga RM267.
10 gram X RM267 = RM2670. Setelah tolak apa yang sepatutnya Ar Rahnu dapat dari anda, bakinya anda akan dapat iaitu RM2670 – RM1605.50 = RM1064.50.
Hasilnya, yang tak mampu tebus pun akan dapat RM1064.50.
Nampak macam hebat kan? Ini sebenarnya hanya akan terjadi apabila harga emas naik mendadak di dalam masa 6 bulan. Suatu perkara yang tiada siapa mampu pastikan.
Itulah serba “sedikit” mengenai Ar Rahnu dan simpanan emas.
Harga Emas Naik, Perlu Ke Beli Atau Tunggu
Jadi, bagaimana sekarang? Harga emas naik mendadak. Beli sekarang atau tunggu? Pada pendapat saya secara peribadi, belilah emas sekarang. Kita tidak akan tahu masa hadapan. Emas ialah emas, tidak kira berapa lama anda simpan. Jika 916, 916 lah ia walaupun anda simpan 20 tahun sekalipun.
1. Simpan di Ar Rahnu dan beli emas yang baru. 2. Trade in emas lama dan beli emas yang baru.
Buat antara dua benda ini, anda takkan silap. Kerana kedua-duanya melibatkan pembelian emas yang baru.
Ingat, emas bukan sekadar hiasan semata-mata, tetapi ianya adalah pelaburan hidup yang anda boleh lihat, belek, tidur dan bawa ke mana-mana juga yang anda mahukan. Ia juga bukti kepada kecekalan anda menyimpan serta menabung.
Jadilah orang yang membeli emas pada harga RM267 pada tahun ini. Jangan jadi orang yang membeli emas pada harga lebih dari RM300 pada tahun hadapan.
Kongsikan jika anda rasa penulisan ini bermanfaat. Jika ada apa-apa pembetulan atau penambahan, sila maklumkan di komen.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa. Jom join Supergroup Telegram BroOhsem Fans di mana anda boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi. http://t.me/broohsemfansBroOhsem
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar parah perut tertusuk buluh, anak yatim kematian ibu dijaga datuk & nenek sejak usia 10 bulan. Gara-gara terlanggar sebuah pacuan empat roda yang sedang menjalankan kerja pembersihan bendera parti selepas pilihanraya, seorang remaja berusia 113 tahun parah apabila buluh sepanjang dua meter tertusuk ke perutnya.
Dalam kejadian malam tadi, Mohammad Ammar Hazriq Zuhan, 13, yang juga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara tertusuk buluh selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa muatan itu yang diparkir di Kilometer (KM) 29 Jalan Gua Musang-Jeli, di atas jambatan Pulau Setelu, 9.30 semalam.
Pelajar Parah Perut Tertusuk Buluh
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan untuk memancing dari rumahnya di Kampung Pulau Setelu.
“Mangsa telah dibawa oleh orang awam ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
Dalam pada itu, memetik laporan Harian Metro, Mohammad Ammar yang juga anak yatim kematian ibu pada usianya 10 bulan dan kini tinggal bersama datuk dan neneknya sedari kecil sudah selamat menjalani pembedahan bagi membuang buluh yang tertusuk di bahagian perutnya pagi tadi.
Pacuan empat roda yang diparkir yang dirempuh oleh remaja berkenaan. Sedang menjalankan kerja mencabut bendera parti yang teribat pilihanraya.
Buluh tajam itu tertusuk di perut pelajar berusia 13 tahun ini ketika dalam perjalanan pergi memancingRemaja ini dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan membuang buluh berkenaan pagi tadi di hospital.
Anak Yatim Kematian Ibu Dijaga Datuk & Nenek Sejak Usia Usia 10 Bulan
Bapa saudara mangsa, Mohd Saiful Azman Jaafar, 29, berkata Mohammad Ammar kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan lebih dua jam.
Bagaimanapun, katanya, anak saudaranya itu perlu pemeriksaan secara berterusan kerana dibimbangi masih ada serpihan buluh pada perutnya.
“Waktu saya melawat pagi tadi, Mohammad Ammar masih tidur mungkin kesan ubat bius belum hilang.
“Mengikut kata doktor, Mohammad Ammar perlu menjalani pemeriksaan berkala kerana dibimbangi serpihan buluh masih berada di dalam perutnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, dia mengetahui kejadian menimpa anak saudaranya itu 9.50 malam.
“Ada orang datang rumah memaklumkan kejadian, saya bergegas ke tempat kejadian dan membawanya ke Hospital Gua Musang.
“Ketika dalam perjalanan dia mengadu sakit. Saya harap orang ramai dapat doakan kesembuhan anak saudara saya,” katanya.
Mohd Saiful berkata, Mohammad Ammar tinggal bersama datuk dan neneknya yang membesarkannya sejak kecil kerana dia kematian ibu ketika berusia 10 bulan.
Dalam pada itu, polis memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Dalam perkembangan lain, Choon Foo memberitahu pengguna jalan raya diingatkan supaya lebih berhati-hati semasa menjalankan kerja-kerja di laluan jalan raya dengan memberi isyarat secukupnya kepada pengguna yang lain.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi talian 099121222 019-9710976,” katanya.
Mingguan Wanita menemuramah usahawan ayam tanpa antibiotik, Muhammad Iqbal Noorul Huq, 53. Sekitar tahun 2013, beliau aktif membuat kajian termasuk di Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM).
“Saya juga mengikuti kursus veterinar sehingga ke Johor. Saya timba ilmu dan pengalaman demi sebuah perjuangan. Alhamdulillah, selepas melalui pelbagai ujian dan cabaran saya berjaya menghasilkan ‘ayam tanpa antibiotik’.
Kenapa ayam tanpa antibiotik ini begitu penting mak-mak? Dalam temubual ini, beliau berkongsi maklumat. Katanya, kebanyakan pengeluar yang kurang pengetahuan dan pengawalan akan menggunakan hormon-hormon pembesaran untuk mempercepatkan pembesaran ayam dalam masa yang singkat.
Maksudnya ayam akan mencapai berat yang dikehendaki contohnya 2 KG dalam masa yang singkat, mungkin di bawah 30 hari. Hormon-hormon yang tak dikawal ini akan berada di dalam ayam-ayam tersebut dan secara perlahan akan meresap ke dalam sistem tubuh badan samada ibu yang mengandung ataupun kanak-kanak dan mungkin remaja juga.
Secara perlahan hormon-hormon ini akan menganggu sistem pembesaran seseorang yang telah memakan ayam-ayam tersebut dan mungkin seorang dalam 1000 atau lebih akan mengalami masalah pembesaran yang tidak normal.
Lebih mengejutkan, hormon-hormon yang tidak dikawal ini juga pernah dijumpai DNAnya pada kaum Adam yang lembut.
Kawasan Aturan Ayam Untuk Disembelih
Tak Sangka Pengambilan Ayam Cetus Masalah Kesihatan
Akui beliau lagi, “Dalam usaha menurunkan berat badan, saya elakkan mengambil daging. Sebaliknya saya lebihkan ayam dalam menu harian. Namun saya tidak menyangka pengambilan ayam mencetus kepada masalah kesihatan lain.
“Tidak semena-mena saya hidapi ekzema gara-gara ayam. Perkara ini disahkan oleh doktor, kemungkinan saya alergik terhadap antibiotik yang terdapat di dalam kebanyakan ayam di pasaran. Keadaan saya ketika itu agak serius, ekzema berlaku pada hampir seluruh badan.
“Kejadian ini membuka mata saya tentang ayam yang menjadi antara sumber protein utama di negara kita. Saya berasa bertanggung jawab untuk menghasilkan produk ayam tanpa antibiotik. Saya tidak mahu masyarakat kita berdepan masalah kesihatan sebagaimana yang saya pernah lalui,” ujar Iqbal yang mendapat sokongan padu daripada isterinya, Sharina Mohamed Ibrahim, 48.
Ayam tanpa antibiotik ini dari baka ayam kampung Perancis yang dinamakan Sasso. “Di Perancis, baka ayam Sasso ini dipelihara ketulenannya. Mereka mempunyai baka pureline. Ayam Sasso adalah ayam yang diternak bebas dan kaedah penghasilan Ayam Yakin pula ayam ternakan ini dikawal di dalam reban-reban besar yang dijaring ruang tepinya agar unggas-unggas serta haiwan-haiwan lain tidak menganggu ayam yang diternak. Keadaan ini kami panggil Freedom Range.”
Demi menjaga kualiti ayam, Iqbal dan kakitangannya menghasilkan sendiri dedak yang diperbuat daripada bahan alami dan campuran makanan sunnah. Ia 100 peratus bijirin yang bebas bahan kimia.
“Dedak kami dihasilkan daripada jagung, kacang berprotein tinggi, gandum dan soya (muda) yang diadun bersama bahan-bahan terpilih. Kami berikan makanan berkhasiat untuk ayam agar kualitinya terjamin.
“Di pasaran, kebanyakan ayam diberi makan dedak campuran daging dan tulang (meat & bone) sebagai sumber kalsium. Bagi saya, ia melawan fitrah dan tidak bagus untuk pembesaran ayam. Saya berharap pengguna akan buka mata dan lebih peka memilih produk ayam,” katanya yang turut menggunakan teknologi pembekuan khas (blast freezing) bagi mengekalkan kesegaran ayam.
Reban Ayam Yakin Pekan Nenas, Johor
Ruang Susunan Ayam Yakin
Kerja-Kerja Pembersihan Kilang Setiap Jam (Berjadual)
9 Tip Membeli Ayam Di Pasaran
1. Tarikh Ayam Dihantar
Pastikan anda sentiasa mengajukan soalan mengenai tarikh ayam dihantar terutama di pasar pagi. Di pasar pagi, biasanya ayam hanya mampu bertahan selama tiga hari kerana cuaca di sini panas dan ayam akan mudah rosak.
2. Semak Warna Ayam
Ayam segar merah jambu. Jangan mengambil mana-mana ayam yang mempunyai daging berwarna kelabu, yang merupakan tanda bahawa ia telah berada di dalam peti sejuk pasaraya untuk seketika. Pastikan anda meneliti celah ayam, seperti di bawah sayap dan paha. Ia juga penting untuk memeriksa kulit ayam untuk sebarang daging terkoyak atau tanda-tanda pengendalian kasar. Kulit dan daging ‘rosak’ cenderung mengecil lebih cepat.
3. Periksa Pembungkusan Ayam
Ramai pasaraya menjual potongan ayam segar dalam dulang plastik yang dibalut. Plastik mestilah jelas, dan dibalut dengan selamat di pangkalan. Tinggalkan apa-apa bekas yang mempunyai plastik longgar. Ini bermakna pakej itu telah dikendalikan oleh ramai orang (petunjuk umur). Tambahan pula, mikrob boleh meresap ke dalam jurang dalam plastik.
4. Elakkan Ayam Berdarah
Ayam terbungkus yang mempunyai banyak darah adalah satu lagi tanda bahawa ia telah dikendalikan secara kasar oleh beberapa orang, yang meningkatkan risiko pencemaran bakteria. Atau, ini boleh bermakna bahawa ayam telah dibekukan dan dicairkan beberapa kali.
5. Tekan Menentang Ayam
Ayam segar mempunyai kulit yang ‘muncul kembali’ apabila anda menekannya. Sekiranya kulit tenggelam, atau terasa keras, daging telah lama berlalu. Anda juga perlu meneliti jika ayam merasakan ‘kembung’, tanda pasti bahawa ia telah disuntik dengan air untuk menjadikanny lebih berat daripada yang sebenarnya.
6. Bau Ayam
Ayam segar tidak mempunyai bau. Anda akan tahu ayam yang berbau ketika anda menhidunya, tetapi awas hidung anda dapat ‘dipadamkan’ apabila menghirup bau rempah-rempah (atau barang lain yang dijual di pasar raya atau pasar petani). Bagi mengelakkan perkara ini, beli ayam anda terlebih dahulu.
7. Simpan Ayam Segera
Sebaik sahaja anda pulang dari membeli-belah, segera letakkan ayam di dalam penyejuk beku. Jangan biarkan ia duduk di sinki dapur. Sekiranya anda membeli beberapa ayam atau kepingan ayam, bahagian ini akan dibahagikan kepada bahagian-bahagian yang anda akan gunakan untuk memasak. Simpan di dalam peti sejuk beku plastik dan label dengan tarikh pembelian dan bagaimana anda merancang untuk memasaknya (Contohnya, Drumstick ayam, goreng, 9 Okt). Ini untuk menggelakkan kekeliruan kemudiannya. Setelah dibekukan, semua kepingan ayam kelihatan sama!
8. Elakkan Kerosakan Makanan
Untuk nyah beku keluarkan ayam dari peti sejuk beku dan masukkan ke dalam peti sejuk, bukan kaunter dapur. Oleh kerana ini mengambil masa yang lebih lama, lakukan pada malam sebelum anda merancang untuk memasaknya. Anda juga boleh membuat gelombang mikro.
9. Tiada Lalat
Pastikan ayam yang hendak dibeli itu bersih dan tertutup (atau dibalut) dan tiada lalat yang menghingapinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Keluarga Azam Mahat ini bercuti ke Pantai Timur di Kelantan. Dalam perjalanan percutian itu berlaku kejadian yang sukar dilupakan mereka sekeluarga. Apabila mereka tersilap masuk ke rumah orang, yang disangkakan warung makan.
Sebaik menyedari kesilapan sendiri, mereka segera mahu beredar.. namun, ditahan oleh tuan rumah. Dan menjamu tetamunya dengan layanan yang baik. Dari situlah, dia sedar akan kebaikan orang Kelantan.
Kami Sangkakan Warung Makan, Sekali Rumah Orang
Hahahaha…makan beb, memang sedap masakannya…dalam hati memang malu sangat
Ya, Allah Malunya, kenangan yang tidak boleh dilupakan. Kami sangkakan warung makan, sekali.., Hahaha, orang Kelantan memang baik-baik.
Nak dijadikan cerita, baru-baru ni kami bercuti ke Pantai Timur. Setibanya kami di Kelantan, kami terus mencari lokasi Homestay yang telah ditempah. Dalam penjalanan ke Nazaihomestay di kawasan Pasir Pekan, Kelantan.
Dari dalam kereta, kami ternampaklah orang ramai beratur untuk mengambil makanan di sebuah ‘warung’ ni. Saya cakap kat isteri, “mesti makanan kat situ sedap-sedap, sampai ramai orang beratur nak makan, ESOK kita kena try makan kat situ.”
Saya terus sebut menu-menu sedap di Kelantan yang ingin dicuba pada ESOK hari. Dari jauh keadaan kat ‘warung’ tu memang nampak meriah dengan pelbagai jenis lauk terhidang, lepas tu nampak macam ramai pelangan pula.
Esoknya seperti yang telah dirancang, setelah pulang dari Pasar Siti Khadijah, terus kami ke warung semalam, “abang nak try makan nasi kerabu kat situlah.” Saya cakap kat isteri.
Sampai di hadapan ‘warung’, kami nampak ada 4 orang yang sedang minum. Dari bekas lauk yang terhidang, nampak dalam 5-6 menu yang terhidang, bekas nasi masih ada. ‘Ok lah tu, ada lagi ni makanan,’ fikir saya.
Keluar dari kereta, saya disapa mesra oleh salah seorang lelaki yang berada dalam warung, “Abe, nanti check tayar angin kereta tu, macam kurang ja.”
“Baik nak saya gi kedai, check.” Kebetulan angin kereta tu memang nampak macam kurang. Kami masuk ke warung tu, anak-anak saya terus duduk di meja, sambil saya jeling-jeling ke bekas lauk. ‘Wah, menu nampak sedap, ada ayam percik, kari kambing, sambal etok pun ada, fuh sedap ni.”
Kami duduk di meja yang belakang, berhampiran ‘pelangan’ tadi. Isteri tanya anak-anak nak minum air apa. Ketika itu, ‘makcik kedai pun menghampiri meja kami dengan membawa teh o satu jug, dan memaklumkan, “kalau nak air panas, nanti mokcik suruh pembantu rumah mokcik buatkan.”
Fuh!
Aku mula tak sedap hati, “tiba-tiba teringat kes orang yang makan kat rumah orang yang dia sangkakan kedai makan.”
“Ni bukan warung ke mokcik?” tanya aku.
“Bukan, ni rumah mokcik.”
Hahahaha malu weh… tak sangka ia betul-betul terjadi. Kami pun apa lagi, cepat-cepat mohon maaf dan nak beredar.
Mokcik dan pokcik tu tuan rumah, yang berdiri tu anak dia.
Pelanggan Sebenarnya Ahli Keluarga Tuan Rumah
Tapi diaorang halang, rupa-rupanya, yang kami sangkakan pelangan tadi tu ialah ahli keluarga pemilik rumah. “Make lah, ado rezeki, meme langkah kanan ni.” Kata pokcik pula… wei, perasaan masa tu tak tau nak cakap macam mana beb. Aku pandang isteri aku, dia pandang aku… malu oo.
Mokcik tu panggil anak-anak aku, dia cedokkan lauk. Aku asalnya tak nak makan sebab malu, tapi diaorang jemput juga makan.
Maka berbuallah kami. Diaorang kata, semalam yang ramai-ramai tu diaorang buat kenduri kesyukuran, jadi lepas solat Jumaat, siapa yang berkelapangan bolehlah singgah makan sebab nak pastikan orang ikut SOP. Sebab tu ada banyak meja, tu yang nampak macam kedai makan tu. Kebetulan meja-meja tak kemas lagi hari ni, diaorang pun makanlah anak beranak kat luar..
Nak dijadikan cerita memang diaorang tak gunakan khemah macam kenduri biasa tu, meja disusun dalam kawasan rumah, yang memang nampak sebijik macam warung-warung yang dibuat berhampiran rumah seperti kat tempat aku.
Apa-apa pun layanan diaorang memang terbaik, mokcik tu bahasakan diri dia sebagai Mama. Sebelum kami balik, dia siapkan bungkuskan kueh mueh untuk dibawa balik.
Sepanjang perjalanan pulang, kami asyik bercerita tentang hal ni, macam tak percaya ia betul-betul terjadi kat kami…isteri pula asyik memuji kebaikan hati orang Kelantan…sampai dia kata nak cari menantu orang Kelantan….erm….aku ingatkan ‘madu’ orang kelantan tadi.
Apa-apa pun orang kelantan memang Terbaik
…hahaha kenangan awal tahun 2021…
MW : Memang lucu betul pengalaman ni. Apa pun orang Malaysia memang terbaik budi bahasanya. Semangat sebegini yang indah untuk dikongsikan dengan generasi seterusnya.
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...