Ada mak-mak yang belum direzekikan pasang kabinet dapur. Fahamkan masalah bila tiada kabinet dapur ini, jadi payah nak susun atur barang dapur. Nur Diyana berkongsi idea menyusun, mengatur kemas barangan dapur tanpa kabinet sehingga hasilnya wow! di pandangan mata.
Walau rumah sewa, deko dapur tetap dihias cantik bak kediaman sendiri. Sungguh menginspirasikan.
“Sebelum ini, saya ada berkongsi susun atur backyard kitchen di rumah ibu. Harini saya nak kongsikan pula susun atur di dapur rumah sewa saya sendiri – dapur tanpa kitchen cabinet & table top. Saya gunakan loose item sahaja.
Masa mula mula masuk yang ada cumalah sinki dan ini hasilnya lepas tiga bulan kami berkahwin. Di setiap gambar saya masukkan penerangan jadi harap kawan kawan sudilah baca. Semoga bermanfaat dan dapat memberi idea pada kawan kawan terutama yang masih menyewa juga.”
Semasa suami pindah ke rumah sewa ini, keadaan dapur beginilah – langsung kosong, yang ada cuma sinki. Tuan rumah ada offer pada kami untuk buat table top & kitchen cabinet tapi bila kami survey rate semasa pada tukang, rata rata harganya sekitar RM 1.5K-2K, tanpa pintu pula tu.
Sejujurnya jumlahnya agak besar pada kami memandangkan kami perlu lakukan persiapan untuk kahwin waktu itu. Saya mula cari idea lain, saya cadangkan pada suami (ketika itu tunang) “apa kata kalau kita beli sahaja loose item yang perlu ikut keperluan dapur?’’ – saya mulakan lakaran dan apa yang saya perlu cumalah tempat memasak, preparation area & unit penstoran.
Orang lain waktu ini mungkin sibuk fikirkan barang hantaran tapi itu semua kami sudah selesaikan awal, apa yang kami perlu fikirkan adalah keadaan dapur yang berfungsi penuh selepas kahwin.
Dengan kawalan bajet yang ketat, saya yakin saya mampu siapkan keperluan dapur ini dengan bajet kurang dari RM 500 ! “Biar betul ko ni dik bajet RM 500 satu dapur ni ?’’- mungkin itu lah yang ada di dalam fikiran acik acik dan akak akak sekalian. Sungguh, itulah anggaran yang hangus untuk peralatan utama yang saya gunakan :
Jadi misi perbelanjaan barangan asas saya berjaya !
*Tambahan lain seperti keperluan untuk membeli balang makanan di dapur, hiasan dinding, troli, para, skirting, kuali & periuk serta pinggan mangkuk berbeza bagi setiap isi rumah jadi, jadi bajet tambahan itu terpulang pada anda.
Inilah hasil dapur kami setelah kami berkahwin tiga bulan yang lepas (ketika status dimuat naik pada 6 Februari). Saya cuba manfaatkan ruang dengan sebaiknya. Hasilnya, saya boleh katakan dapur ini hampir lengkap, saya ada :
Bahkan beberapa perincian ringkas bagi menghidupkan mood “farmhouse’’ di dapur. Meskipun tidaklah mewah, saya sudah cukup gembira dengan keadaan ruang dapur saya sekarang. Segala keperluan mencukupi dan terlihat sempurna bagi keperluan kami berdua.
Keadaan semasa | Kitchen stove rack ini saya gunakan dua set dan diletakkan bersebelahan, satu saya jadikan tempat memasak dan satu lagi saya jadikan preparation area. Meskipun harganya cuma RM 70.00 satu, di bawahnya ada jaring yang membolehkan susunan periuk, kuali, kitchen utensils dan stok makanan kering yang belum dibuka.
Tutupkan dengan skirting jadi semuanya akan nampak kemas dan teratur. Kain skirting pula hanya membaluti ruangan depan dan tepi rak, tidak di bahagian belakang bagi memudahkan kerja pembersihan.
Kain ini dibeli pada harga yang sangat murah tidak sampai RM 50.00 pun kerana ianya kain “reject’’ dari kilang tapi saya beli dan lihatlah hasilnya setelah siap dijahit. Upah jahit kain skirting begini pula dikira menggunakan kiraan kaki jadi harganya tidak sampai RM 100.00. Sungguh berbaloi pada saya.
Untuk hidupkan lagi konsep ala ala “farmhouse’’ kononnya, saya tampal kepingan vinyl dari Eco Shop sahaja di atas table top supaya ada finishing rustic looks seakan kayu. Gam extra diperlukan agar kepingan vinyl tak lekang kerana air dan haba.
Setakat yang saya guna, ianya tidak licin dan mesti dibersihkan terus selepas memasak.Option ini terpulang pada pilihan masing-masing, kalau nak plain besi sahaja tak ada masalah. Rug tebal di lantai pula saya beli di lambakan bundle Pasar Rabu Ayer Hitam Johor, harganya cuma RM 40.00 dan sangat sesuai dengan tema dapur saya. Kainnya yang tebal, tidak licin dan saiznya juga besar (tetapi tidak digunakan secara harian, saya nyatakan sebab di gambar terakhir).
Gunakan anti slippery pad tambahan sekiranya perlu pada bahagian bawah supaya rug setiasa kemas dan terletak elok, sentiasa pilih material yang tepat bagi mengelakkan risiko kemalangan & kecederaan di dapur.
Bersebelahan dapur memasak disediakan troli beroda tiga tingkat dengan setiap satunya mempunyai fungsi tersendiri. Aras 1 diletakkan bekas bagi “food garnishing’’—senang lepas masak boleh terus tabur, aras 2 bahagian plastik sampah dan aras 3 dimuatkan roll tisu dapur.
Penggunaan wallpaper jenis PVC berwarna putih di dapur adalah disengajakan kerana saya mahu backsplash ala rumah mat salleh.
“Tak susah ke nak bersihkan?’’—Sejujurnya tak ada masalah pun. Material PVC menjadikan semua kesan memasak senang dibersihkan, selepas siap kemaskan sahaja menggunakan kitchen wipes.
Saya juga alert dengan post yang dimuatnaik oleh Public Health Malaysia yang menyatakan penggunaan wallpaper di dapur adalah tidak disarankan lebih-lebih lagi apabila peralatan elektrik dibalut. Saya secara individu bersetuju dengan fakta ini kerana ianya melibatkan keselamatan seisi rumah.
Suka saya suggestkan pada Tuan/Puan, pemilihan wallpaper yang lebih sesuai digunakan di bahagian backsplash biarlah sekurang-kurangnya dari material jenis PVC kerana ianya bersifat waterproof, oilproof dan heat resistance.
Sekiranya mempunyai budget lebih dan masih mahu menggunakan wallpaper kerana tertarik dengan coraknya yang pelbagai, ada pilihan tempered glass di pasaran yang boleh dipasang pada backsplash namun kerja pemasangannya agak rumit dan memerlukan alatan khas seperti silicone glass sealent. Apa pun akhirnya,terpulanglah pada bajet dan pemikiran rasional anda.
Ketiadaan gas hood tidak menjadikan dapur saya berbau hapak kerana pengudaraanya baik. Tambahan pokok indoor jenis ‘Spider Plants’ (chlorophytum) di kawasan memasak pula sangat baik bagi “air circulation’’ sesuatu ruang. Oleh itu, ianya sengaja disangkut sebagai “air cleanser’’ semulajadi di dapur. Pasu tembikar berukir ringkas siap dengan tali yang menampung tumbuhan semuladi ini saya beli di Bundle Serbaneka, harganya hanya RM 10.00. Berbaloi kan?
Barangan wajib ketika masak yang disusun dalam radar mudah capai bersebelahan dapur gas -garam, gula, serbuk kunyit dan minyak masak. Bekas kedap udara ini saya beli di Daiso.Harganya Cuma RM 5.90 satu.
Tak ada almari dapur untuk simpan barang ? – Tak ada masalah ! Disebabkan tiada ruang penstoran, saya gunakan empat buah rak Hyllis bersaiz besar dari Ikea yang harganya RM49.90 satu. Saya ciptakan ruang seperti open pantry. Semua alatan memasak dan barangan kering seperti tepung,botol sos, kicap, beras serta rempah ratus saya susun mengikut kategori di situ.
“Elehh ko belum ada anak kecik boleh la dik, kalau anak akak habis terbalik dikerjakannya nanti’’—taip Kak A bukan nama sebenar pada ruangan komen. Mari saya beritahu, sebelum saya beli, saya akan study material ni kukuh ke tidak, di mana saya akan letak andai kata saya berpindah ke rumah sendiri nanti?
Untuk makluman Tuan/Puan, Hyllis ni ketahanannya boleh menampung sehingga 25 KG setiap unit.Direka khas untuk kegunaan dalam dan luar rumah pula. Material jenis galvanized steel yang digunakan memang berkualiti dari review dalam dan luar Negara yang saya baca. Di belakang Hyllis juga terdapat lubang kecil yang katanya boleh di drill pada dinding tapi saya kurang pasti dengan yang ini sebab saya hanya sandarkan saja pada dinding.
Kak B pun menambah di ruangan komen, katanya : “Macam mana kalau budak budak selongkar barang tu, kan dah berterabur ?’’— jangan risau, Ikea datangkan juga Hyllis ni dengan sarung (seakan baju) yang boleh dibeli berasingan sekiranya dirasakan perlu. Fuh penat explain. Okay mulai hari ini saya mohon semua undi saya sebagai jurucakap baru pada produk Ikea hahaha.
“Eh rak ini bercahaya ke?”- Ya benar, mari saya ceritakan. Walaupun saya promote rak Ikea dan Shoppe di hampir setiap caption, saya takkan lupakan Eco Shop di mana segala-galanya idea deko kita sebagai rakyat marhaen boleh direalisasikan.
Di setiap tingkat rak Hyllis ini saya tambahkan lampu viral yang harganya cuma RM 2.10. Ianya akan melekat kukuh kerana ada alat penggantung (magnet& double sided pelekat Velcro) di belakang lampu.
Beginilah keadaan rak di open pantry saya apabila semua lampu ditutup pada waktu malam. Terang bukan ? Ini satu idea yang pasti memudahkan kebanyakkan ibu-ibu di rumah. Meskipun tidak ada built in cabinet downlight, kita tak perlu lagi berdepan dengan masalah gelap dalam dalam kabinet bila malam.
Unit yang menempatkan segala jenis pasta dan aneka tepung. Bekas ini dari Eco Shop namun saya berikan sedikit sentuhan pada penutup bekas dengan lilitan tali jute, bekas ini saya lihat praktikal kerana ianya bersaiz tinggi dan kedap udara.
Setiap sticker label pula ditempah khas hanya apabila semua barang telah lengkap – saya tidak gunakan sticker ready made kerana bukan semua barang dicetak pada sticker sheet ada di dapur saya, maklumlah kami baru mulakan hidup.
Geng Bawang dan rakan rakan diletakkan secara bertingkat di dalam bekas empat segi berpenutup namun masih mempunyai lubang untuk pengudaraan. Bekas ini dibeli di Eco Shop.
Unit yang menempatkan beras & makanan kering. Mungkin ada makcik ke akak akak ke yang gatal je tangan tu nak taip “banyaknya stok mi segera’’. Ni awal awal nak cakap,kami baru balik dari honeymoon kat Siam masa gambar ni diambil, tu susun sekotak terus nak bagi orang ke, nak buat kerabu ke, senng dah ada stock. Lagipun bukan dibuat makan hari hari, jangan terlalu prihatin ya.
Bekas isian segala jenis botol sos, kicap dan perasa masakan.
Pelbagai rempah & serbuk masakan berlabel. Bekas ini dibeli di Kaison (RM 2.00+ tapi tak ingat berapa harga sebenar)
Bahan masakan yang diletakkan di dalam bekas bersaiz sederhana besar dan kedap udara supaya lebih praktikal. Bekas ini dibeli di Kaison (RM 7.50)
Pelbagai rempah ratus. Bekas ini dibeli di Ikea dan rak bertingkat rempah ratus ini pula dibeli di Pasaraya Cowboy (RM 12.00).
Di atas preparation area saya gantungkan pula para Ikea Burhult dengan pendakap berharga RM 14.90 sekadar untuk menampung stock tuala dapur,tuala tangan dan hiasan ringkas.
Sebagai seorang yang bergraduat dalam bidang pemakanan dan kesihatan komuniti dari universiti, tugas saya adalah untuk menyampaikan pada orang awam betapa isu keselamatan makanan tidak boleh dipandang mudah.
Sudah menjadi satu trend bagi kaki deko/ibu ibu/suri rumah yang suka dengan keseragaman balang rempah ratus/stok makanan kering di dapur. Dari bekas kaca sehinggalah ke dalam tupperware/tipuware, stok bahan kering seragam tersusun.
Namun timbul satu isu keselamatan makanan bagi saya sebagai seorang community nutritionist apabila ada yang bertanya “macam mana nak tahu barang tu dah expired bila simpan dalam balang macam ni?”– itu adalah satu soalan yang perlu dipandang serious.
Seperti yang kita sedia maklum, tarikh luput makanan adalah salah satu elemen penting yang perlu dilihat pada pembungkus makanan. Walaupun rempah ratus dan bahan kering kebiasaanya mempunyai tarikh luput yang panjang, kita tidak boleh sesekali mengambil mudah untuk membuang terus tarikh luput tersebut. Antara yang saya lakukan pada botol rempah ratus saya adalah :
√ Gunting tarikh luput pada pembungkus makanan dan tampalkan semula
pada bahagian bawah balang dengan salotep jernih kalis air.√ Amalkan prinsip FIFO (First In,First Out) di dapur, selagi serbuk rempah ratus atau stok makanan kering sedia ada di dalam balang belum habis, jangan sesekali melakukan isian semula(refill) balang berkenaan kerana ini akan menyebabkan makanan yang berbeza tarikh luput bercampur di dalam bekas yang sama. Ini sangat tidak digalakkan.
PS: Selain tarikh luput, sila baca semua perkara penting yang ada pada label pembungkusan makanan seperti :arahan penyimpanan yang betul, fungsi produk, label kelulusan seperti tanda halal, label alergi, kandungan serta fakta nutrisi sebelum menukar makanan anda ke dalam bekas lain. Harus diingatkan ya, keselamatan makanan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang mudah walaupun dalam mood “berdeko”
Unit yang menempatkan kegunaan harian – pinggan mangkuk, mug, periuk tiga beradik dan periuk nasi. “Dik, lawo la pinggan tu, lawo la periuk tu,beli mana?” Untuk makluman Tuan/Puan, ini juga ruangan mempamerkan hadiah kahwin.
Nenek saya yang hadiahkan set periuk 3 beradik, periuk nasi pula macam dah janji je sebab warnanya senada periuk,kawan sekolah pula hadiahkan set pinggan mangkuk dan kebetulan ibu pun hadiahkan set pinggan yang sama ! Terus saya ada complete set…memang jimat banyak sebab saya dah save budget di sini.
Pintu pula sengaja dibiarkan begitu tanpa ada keperluan untuk cat baru, saya suka dengan kesan “lama’’ yang ada pada pintu, seolah olah bergabung dengan konsep dapur saya.
Penataan hiasan dinding yang digunakan menghidupkan konsep farmhouse (atau setidak tidaknya cukuplah di mata saya).
Frame dan jam dibeli di Romantika (maaf saya dah tak ingat harga), faux garlic & ground nuts itu dari Eco Shop, raga dengan daun bulat itu saya DIY sendiri hasil gabungan raga Eco Shop & daun Daiso.
Hiasan ringkas seperti kaki lilin dibeli pada harga RM 1.00-2.00 manakala bekas kayu berharga RM 2.00-RM 5.00 yang dipamerkan itu di bundle serbaneka sahaja.
Bahagian atas rak Hyllis dialas dengan langsir Jepun rona senada yang dipotong dua. Saya beli di bundle harganya cuma RM 8.00, ianya cukup untuk menutup keempat empat rak Hyllis.
Bahagian atas ini diletakkan hiasan ringkas dari kayu terpakai dan ranting pokok kering bagi memberi kesan rustic, memadai bekas simpanan roti dan bakul buah sahaja yang terpamer di sini.
Keadaan sebelum ruangan sinki yang tersumbat teruk. Habis banjir dapur setiap kali digunakan / hujan lebat. Langsir pula bila pegang je terus berdebu reput.
Selepas | Ini ruangan sinki saya. Awas ! Sebelum taip apa apa, baca dulu ni dan buka minda anda ya. Kawasan sinki saya TIDAKLAH DIHIAS DENGAN JAMBANGAN BUNGA sebegitu pada hari biasa. Inilah yang kita namakan – for Instagram purpose hahaha.
Selepas dah ambil gambar dan memberi effect farmhouse sink versi bajet yang saya inginkan, saya terus sun dried jambangan ini di luar rumah bagi kegunaan projek deko seterusnya iaitu di bilik tetamu. Saya beritahu awal awal, bimbang akak-akak semua tak faham apa motif bunga sejambak di situ, menimbulkan pertanyaan lalu meninggalkan komentar kurang enak untuk dibaca kemudian account anda akan di block oleh saya. Hahaha.
Baiklah, balik kepada cerita asal, kalau kawan kawan perhatikan dengan teliti, padanan rug di lantai saya samaratakan dengan warna langsir yang dibeli di Daiso sebanyak tiga helai, jadi harganya hanya RM 17.70.Di belakangnya ada dua keping day curtain yang dibeli di jualan longgok bundle berharga RM 2.00 sahaja.
Jadilah tu tingkap ala-ala farmhouse versi bajet ciput. Pastikan juga langsir yang digunakan di dapur tidak dekat dengan kawasan memasak (sumber api), membolehkan pengudaraan serta pencahayaan yang baik dengan menggunakan material yang betul bahkan dilaraskan dengan labuh yang sesuai.
PS : Sekiranya ada bajet lebih/tinggal di rumah sendiri, pemilihan “blind curtain” lebih praktikal berbanding kain langsir untuk digunakan di dapur.
Memandangkan sinki di dapur rumah sewa ini hanya single unit, saya cuma letakkan dish soap dispenser dan bekas span di sudut sinki. Besi pemegang bersadur itu tidak berkarat, ianya berbentuk tiga segi dan boleh didapati di Daiso.
Saya gamkan supaya ianya kukuh melekat dan mampu menampung berat isian sabun. Pengunaan besi ini saya akui menjimatkan ruang jadi saya tidak perlu letakkan span dan sabun pencuci di atas para sinki.
Saya juga sediakan alat khas bagi memegang papan pemotong dan pisau bersebelahan sinki yang dibeli di Daiso. Penyusunan pisau & papan pemotong di dapur saya sekalikan kerana pada saya: its serve the purpose.
Perkakasan dapur seperti papan pemotong dan kain pengelap adalah dua item yang sangat mudah menjadi “rumah” bagi pembiakan bakteria. Untuk memastikan keselamatan makanan terjaga, saya bercadang untuk menukar papan pemotong jenis buluh seperti yang saya gunakan sekarang kepada papan jenis plastik tebal kerana risiko pembiakan bakteria lebih tinggi pada papan pemotong jenis kayu/buluh.
Berdasarkan kajian, papan pemotong kayu mahupun buluh ada keperluan penjagaan seperti bilasan air panas, cucian dengan antiseptik dan perlu sesekali diselenggara dengan minyak khas. Ini agak merumitkan.
Sekiranya berkemampuan, sediakan beberapa jenis papan pemotong yang dibahagiakan mengikut jenis : bahan mentah, bahan tenusu seperti keju, bahan yang sudah dimasak, sayuran dan buahan. Ada di sesetengah negara, papan pemotong mempunyai kod warna bagi kawalan keselamatan makanan. Tukarlah papan pemotong di rumah yang telah calar balar & berkulat kerana ianya sangat membahayakan.
Ruangan di belakang pintu dapur dimanfaatkan untuk mengantung kuali yang baru dibasuh & kotak tisu dapur sahaja. Saya sukakan kekemasan jadi sebolehnya saya elakkan periuk , kuali mahupan pan dibiarkan tergantung lama di dinding.
Di sini adalah tempat yang sesuai untuk mengantung peralatan yang masih basah namun tidak menganggu pandangan mata. Ambil kira juga dimana tempat yang sesuai untuk meletakkan peti pertolongan cemas dan alat pemadam api di rumah. Pastikan aksesnya mudah.
Bahagian bawah sinki menjadi ruang penstoran bagi alat cucian dan toiletries. Saya Cuma gunakan rak Hyllis size kecil yang telah saya nyatakan di atas. Setiap alatan disusun di dalam “rumah’’ masing masing jadi secara tidak langsung saya peka dengan stok barangan yang masih ada ataupun yang perlu dibeli.
Setelah dicuci dan dibiarkan kering, periuk, kuali,pan serta kitchen utensils seperti bekas untuk menggaul ikan dan bekas cucian sayur akan diletakkan di bahagian bawah stove rack.
Bahagian bawah preparation area menempatkan stok makanan kering yang belum dibuka. Saya hack juga dengan meletakkan lampu viral yang dibeli di Eco Shop. Buka bila nak cari barang- Barulah tak bergelap.
Ruangan kosong kecil di antara pengetus pinggan di para sinki dan preparation area saya dirikan Hyllis kecil juga. Ia menjadi tempat untuk saya letakkan segala sudip, senduk, pisau, sudu dan garfu serta kitchen appliances seperti blender dan toaster.
Pada saya, rak “easy access’’ pada semua peralatan ini adalah perlu kerana saya tidak gemar kawasan table top di tempat memasak dan preparation area saya dipenuhi barang dapur. Saya juga tidak perlu risau dengan air dari pengetus pinggan akan membasahi ruangan ini kerana para sinki berlekuk agak dalam, maka tiada air akan jatuh terus ke bawah.
Peti ais pula tidak berada di kawasan dapur tetapi di ruangan ruang tamu kedua. Tidaklah menyusahkan bagi saya kerana saya selalu keluarkan terus bahan masakan dan dibawa ke dapur sebelum memulakan kerja memasak. Semua bahan untuk buat “rumah” di dalam peti ais ini saya beli di Eco Shop sahaja dan susun ikut apa yang ada…
Saya hack magazine holder RM 2.10 sebanyak 4 buah untuk dijadikan ruang isian makanan mengikut keperluan dapur saya. Bekas penstoran berpenutup yang bertangkai dibeli pada harga RM 2.10 pun saya gunakan untuk simpanan cili boh dan peeled garlic supaya baunya yang kuat tidak mencemari keseluruhan peti ais.
Slim tray pula dari Eco Shop juga saya hack sebagai tempat simpanan produk tenusu atau soya seperti tempeh,tauhu dan sebagainya. Bekas tersebut boleh didirikan / dibaringkan mengikut kesesuaian ruang yang ada. Kesemua label sticker pun dibeli dari Eco Shop (satu pack ada 30 jenis sticker label kosong) pun berharga RM 2.10. Total yang perlu keluar bagi susunan yang teratur ? RM 16.80…kurang dari RM 20.00.
Sayuran hijau dalam tray di bawah saya alaskan dengan drawer sheet jenis kalis air jadi tak merumitkan kerja pembersihan sekiranya ada sayur berakar/mejadi rosak sebelum penggunaan. Bila semuanya teratur, kerja memasak pun akan jadi lebih cepat.
PS: Pastikan canned products seperti susu pekat manis ditukar ke dalam bekas lain (disarankan kaca) yang berpenutup immediately after opening sebelum disimpan ke dalam peti ais
Ini untuk mengelakkan simptom keracunan makanan (Foodborne Botulism:keadaan di mana toksin dari bakteria Clostridium botulinum terhasil dalam situasi kekurangan oksigen yang tinggi potensi untuk terjadi pada makanan bertin that were improperly sealed)…Begitu juga dengan telur, sekiranya ada ruang yang luas, telur yang telah diskrub, dibasuh dan dilap sehingga bersih boleh disimpan dalam egg tray pada belah dalam peti ais,bukan di bahagian pintu kerana suhu sejuk disitu lebih konsisten dari seberang perubahan.
Selalu ambil inisiatif untuk membaca dan tahu tentang keselamatan makanan kerana semuanya bermula dari dapur rumah kita sendiri.
Susunan ringkas bahan basah di dalam bekas berpenutup dengan label di ruangan sejuk beku. Meskipun ruang ini agak terhad, susunan begini mampu memuatkan seekor ayam, sebekas isi ayam, pelbagai bekas dengan isi haiwan laut seperti udang dan sotong, paru lembu, dua bekas ais krim berperisa dan daun masakan yang disejukbekukan.
Sampai di sini saja perkongsian saya | Penggunaan carpet rug di dapur hanyalah sekali sekala – bila ada tetamu yang datang berkunjung misalnya. Hampir 25 tahun lamanya saya dibesarkan oleh ibu yang sangat tegas dengan kebersihan rumah… masa zaman saya sekolah, ibu akan gunakan baju kelawar lama yang dijadikan kain buruk untuk lap lantai rumah setiap hari, kami sangat jarang gunakan mop…begitu juga dengan lantai dapur, hari hari lepas masak lantai mesti dibasuh (dapur rumah ada floor trap).
Bila saya dah ada rumah sewa sendiri, ini dah jadi rutin harian saya. Sambil masak, saya akan mula basuh apa yang ada dalam sinki. Tak perlu tunggu, kalau tunggu nanti bertimbun jadinya. Lepas siap masak, saya akan gunakan kitchen cleaner spray untuk bahagian gas stove, backsplash dan preparation area. Segala kesan bakar / sambal saya akan lap dengan segera sebelum menjadi kerak.
Bila dah siap, saya mulakan kerja pembersihan lantai dengan :
1. Menyapu dapur sambil tunggu seperiuk air mendidih.
2. Tuang air itu ke dalam baldi, letakkan pencuci lantai dan cuka beberapa titik.
3. Curahkan semuanya ke lantai dan sental menggunakan penyapu sehingga berbuih.
4. Bilas dengan air paip biasa sehingga buih hilang dan tolak air keluar melalui pintu/floor trap di dapur.
5. Akhir sekali, saya akan gunakan antiseptik yang dibancuh untuk cucian lantai sebelum dibilas dengan air panas dan dikeringkan lagi.
Lepas dah buat semua cara ini, memang tak akan ada lagi kesan minyak/sisa makanan yang tinggal di dapur.
Baca juga : Dapur rumah sewa tiada kabinet, asalkan barang tersusun terus nampak kemas.
Mungkin pengetahuan yang saya pelajari semasa di universiti serba sedikit mempengaruhi saya untuk sangat menitikberatkan kebersihan zon penyediaan makanan bermula dari rumah sendiri.
PS : Bila dapur sentiasa bersih dan wangi, kawalan haiwan perosak makanan seperti LILATI (Lipas, lalat & tikus) juga dapat dimaksimumkan. Namun, bukan semua jenis perabot dapur/keadaan isi rumah sesuai dengan cucian begini secara harian. Saya dah fikirkan semua ini sebelum pembelian perabot & perkakasan dapur jadi tidak ada satu pun barang di dapur saya diletakkan terus di atas lantai kerana semua kabinet mesti mempunyai ruang kosong di bawah.
Ini membolehkan kerja mencuci dapur menjadi lebih praktikal dan senang… Pada kawan kawan yang kesuntukan masa untuk melakukan kerja pembersihan begini setiap hari, saya sarankan : beli saja steam mop.
Terima kasih sudi baca sampai sini. Harap bermanfaat
Sumber/Foto : Nur Diyana