
Isi Kandungan
ToggleSetelah sekian lama anak-anak kita belajar secara PdPR, akhirnya bermula minggu depan mereka akan kembali ke sekolah dan belajar secara bersemuka. Ada mak ayah yang berusaha menyempurnakan kelengkapan dan persediaan untuk anak-anak ke sekolah. Antaranya termasuklah kena tampal lencana di baju mahupun tudung sekolah anak. Memang nampak senang tapi nak menjahitnya remeh. Sebab itu ramai yang rela hantar ke kedai jahit.
Namun kalau anak ramai, terasa juga walau caj menjahit satu lencana cuma RM2.00 dan lagi RM2 untuk jahit tag nama. Sudahnya kena bayar RM4. Bayangkan ada enam helai baju. Dah tentu banyak modalnya.
Untuk kurangkan pening kepala mak-mak, anda boleh ikut perkongsian daripada Puan Akmar Laily Omar yang sudi mengajar cara tampal lencana dan tag nama dengan cara paling mudah dan cepat.
Haaa… lepas ini tak perlu lagi hantar kedai jahit atau ambil masa lama untuk menjahit lencana. Ikut cara ni saja.
Bahan yang diperlukan:
Gam UHU
Kain kecil/ sapu tangan yang dibasahkan
Kertas tebal/cardboard/manila kad
Seterika
Langkah-langkah:
1. Letakkan kertas keras dalam poket atau untuk baju kurung dan tudung letak kertas ini di bahagian dalam bawah lencana . Ia bagi mengelakkan gam melekat pada kain.
2. Atur lencana pada kedudukan yang dikehendaki.
3. Sapukan gam pada bahagian belakang lencana atau tag nama.
4. Lekatkan lencana pada kedudukan yang telah ditetapkan.
5. Ambik kain basah tadi dan letak di atas lencana.
6. Seterika kain tadi pastikan ia mengenai lencana. Gosok beberapa kali. ketika ini seterika mungkin berasap tindak balas menggosok kain basah. Jangan bimbang tentang perkara itu.
7. Angkat kain dan alihkan kertas keras di bahagian dalam. Siap.
Nota:
Lencana ditampal dengan cara ini kelihatan kemas dan rapi. Masa untuk menyiapkan satu lencana lebih kurang tiga minit berbanding menjahit lencana yang mungkin mengambil masa 15 hingga 20 untuk satu lencana.
Lencana akan melekat lebih daripada 10 bulan walaupun dibasih dengan mesin basuh. Sekiranya tertanggal ulangi kaedah yang sama untuk menampalnya kembali.
Selamat mencuba!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Aku Dari Nenek Tua Yang Dia Urut Tempoh Hari’ Racau Jururawat Yang Tubuhnya Dihuni Saka

Isi Kandungan
TogglePernah dengarkan ’saka’ orang lama-lama yang mencari pewaris. Selagi belum bertemu, pemilik asal takkan dapat menghembuskan nafas terakhir dengan tenang. Macam-macam cara dilakukan untuk turunkan ’saka’ pada pewarisnya.
Ada yang beri melalui pemberian kain baju, ada juga yang dalam bentuk bersalaman. Waris takkan sedar, yang dirinya telah diwariskan sesuatu oleh pemilik tadi. Kisah mistik tapi nyata ini dialami oleh seorang jururawat yang berubat dengan Ustaz Mujahidin Al Banjari dari Pusat Perubatan Islam Al-Banjari.
Jururawat Alami Macam-macam Sakit Selepas Bersalam Dengan Nenek
Semenjak akhir-akhir ini ramai staff Nurse dan kakitangan hospital datang terima rawatan. Ada yang percaya ada juga yang tidak percaya. Cerita saya nak kongsi ni berlaku pada seorang Nurse yang berkerja di Hospital GH.
Beliau mengalami sakit seluruh badan, malam sukar tidur, kepala kerap sakit, kerap demam, cepat nak marah, kerap sakit belakang tengkuk belikat berat.
Bila malam badan rasa panas bahang sampai la subuh susah tidur gelisah. Bila siang kepala kerap sakit badan jadi sejuk menggeletar. Bila terlelap kerap bermimpi budak kecil, bermain dengan budak, menyusukan budak, orang bagi budak, jatuh tempat tinggi, mimpi dikejar orang, mimpi tempat kotor najis, mimpi dikejar binatang berbisa seperti ular, kala jengking, mimpi pasangan curang, mimpi pasangan kahwin lain, mimpi di rogol. Itulah yang berlaku pada staff nurse tesebut.
Sebelum beliau sakit beliau ada mengurut perut seorang nenek tua. Nenek ini kerap keluar masuk hospital ditahan di wad. Bila malam nenek ini tak boleh tidur mula cakap merapu yang bukan-bukan.
“Kebetulan malam tu waktu saya bekerja. Semasa saya lalu depan katil nenek tu. Nenek tu panggil saya.”
Dialog Dengan Nenek Tua
Nenek : Nak mari nak duduk sebelah nenek nak. Tolong tengok perut nenek. Nenek sakit perut nak.
Nurse : Nanti saya bagi ubat tahan sakit ya!
Nenek : Tak payah nak. Kamu ada minyak urut tak? Tolong urut perut nenek kejap jadi la. Nenek sakit nak.
Di sebabkan kasihan nurse ini pun cari minyak urut dan datang kembali pada nenek tersebut. Bila pesakit minta tolong memang tugas seorang nurse membantu mana yang mereka mampu buat.
Tanpa buang masa nurse ini pun urut perut nenek tua tadi. Nak dijadikan cerita, tengah urut tu tiba-tiba nenek tua pegang tangan nurse dengan kuat, sehingga terhenti urutan di perut nenek tu.
Tiba-tiba nenek tadi bersuara, “Nak selamatkan nek nak. Nak ambil ya Nak barang ini.”
Nurse kebingungan lalu bertanya, “Barang apa nek?“
Dengan nada yang sedih nenek tu merayu, “Ambil je la Nak. Selamatkan nek kesian nek Nak.”
Tanpa fikir apa Nurse itu pun kata “Ya la Nek saya ambil barang Nek.”
Tiba-tiba tangan yang nenek pegang tu terasa sesuatu yang amat sejuk masuk melalui tangan nurse tersebut. Bila terasa benda sejuk tu nurse tersebut tarik tangan.
Mimpi Susukan Bayi
Selepas esok harinya, sebaik balik rumah beliau tidur mimpi Nek tersebut datang bawa bayi comel sangat. Dalam mimpi itu Nek tersebut bagi pada nurse suruh menyusukan bayi yang dikendong.
Dalam mimpi, nurse tersebut pun ambil lalu menyusukan bayi tersebut. Sehinggalah dia tersedar dari tidur dan terasa seolah memberi susu betul-betul pada bayi tersebut walaupun dalam mimpi.
Bangun dari tidur habis seluruh sendi badan sakit, sakit kepala, sakit belikat belakang, tengkuk berat. Pergi jumpa doktor tekanan darah semua normal ok tiada masalah. Niat hati nak jumpa nenek tu semula, malangnya tak sempat jumpa. Sebab nenek itu sudah disahkan meninggal dunia pagi selepas nurse tersebut habis kerja.
Sejak dari itu, sakit Nurse tersebut macam-macam masalah, kitaran haid jadi tak menentu, jadi berpanjangan, kerap sakit belakang kepala, susah tidur malam. Kerja jadi kerap MC sebab selalu demam.
Di atas nasihat kawan-kawan suruh pergi dapatkan rawatan islam. Beliau datang berjumpa dengan saya.
Kali pertama saya berjumpa beliau saya melihat beliau. Ya Allah kurus cengkung, mata lebam nampak sangat orang yang menahan sakit.
Tanpa buang masa saya Ruqyah beliau. Semasa dI Ruqyah beliau tidak sedarkan diri. Bila di tanya dari mana kamu?
Dia menjawab dengan suara yang nyaring dan kuat. “Aku dari Nenek Tua yang dia urut tempoh hari. Dia setuju jaga aku, ambil aku dari nenek tua tersebut sebab itulah aku masuk dalam badan dia hahahahaha.” (ketawa mengilai)
Gangguan Saka Keturunan Dari Nenek Yang Dia Urut
Tanpa berlengah saya sambung ruqyah. Alhamdulillah atas izin Allah dapat saya keluarkan Jin tersebut dari tubuh nurse tadi. Selepas itu rawatan, Nurse muntah sehingga keluar darah.
Rupanya nurse tersebut terkena gangguan saka keturunan dari Nenek yang beliau urut tempoh hari. Nenek itu mencari waris untuk melepaskan sakanya. Pesan saya pada staff nurse jika ada yang minta tolong urut perut, urut tangan dan sebagainya urut macam biasa.
Sebelum urut :
Baca Surah al ikhlas 3x
Niat –> Ya Allah kau sembuhkanlah insan yang aku urut ini dan kau lindungilah aku dari sebarang gangguan makhluk halus. In shaa Allah orang yang kamu urut jika izin Allah dia akan sembuh dan jika ada gangguan makhluk halus dalam tubuhnya tidak akan memasuki dalam tubuh kita.
Buat dengan yakin ikhlas pasti Allah melindungi kita. Jika ada yang bercerita nak bagi barang ke, apa-apa la jangan di layan senyum bantu seperti biasa. Jadi macam nurse di atas di sebabkan nak jaga hati pesakit tak pasal-pasal beliau pula yang terkena.
Apa pun kerja Nurse bagi saya amat mulia. Banyak membantu insan yang memerlukan. Banyak lagi kisah di hospital. Cukup la kisah ini dulu dapat saya ceritakan in shaa Allah.
Jika ada nurse yang pengalaman nak kongsi cerita boleh kongsikan komen di bawah. Ia hanya sebagai pengetahuan untuk semua sahaja. Moga kita semua terhindar dari sebarang gangguan makhluk halus Aamiin Ya Allah
27 Tanda Gangguan Sihir, Saka, Santau
Di bawah saya senaraikan Tanda-Tanda Gangguan Sihir, #SihirPemisah #Saka #Santau
Tanda-tanda tersebut adalah:
1) Kerap sakit belakang, bahu tengkuk urat belikat kerap sakit
2) Kerap sesak nafas sakit dada ulu hati
3) kerap rasa resah gelisah berdebar-debar tanpa sebab terutama waktu asar ke atas
4) Kerap sakit kepala, makan ubat tetap sakit
5) Kerap kembung perut sedawa angin
6) Kerap rasa berdenyut-denyut, di bawah ari-ari, (wanita)
7) Kitaran haid tak normal
8) Lambat mendapat zuriat
9) Menjadi rimas lemas cepat nak marah bila berdepan suami@isteri
10) Kerap bergaduh besar walaupun perkara-perkara kecil
11) Ketika marah kerap meminta cerai
12) Tidak suka tidur bersama
13) Nafsu tiada terhadap suami@Isteri
14) Tercium bau badan busuk hahyir, nafas berbau pada tubuh suami@isteri
15) Suka bersendiri di dalam bilik
16) Tidak suka tempat-tempat yang bising
17) Sukar tidur malam
18) Kerap mimpi baby, menyusu dan bermain baby
19) Kerap mimpi ular, kala jengking dan binatang berbisa
20) Kerap mimpi pasangan kita curang
21) Perasaan curiga cemburu buta yang kuat
22) Kerap bermimpi tempat kotor busuk
23) Kerap terbau kemenyan, colok setanggi
24) Bila berjauhan dengan pasangan perasan rindu sayang amat-amat menebal
25) Kerap teringat merindui seseorang yang tidak dikenali dan di kenali
26) Menjadi resah gelisah terdengar azan dan ayat suci Al Quran
27) Kerap bermimpi bersetubuh dengan orang lain
Di atas adalah serba sedikit bagi orang yang terkena sihir dan gangguan makhluk halus. Sekiranya anda banyak tanda di atas dapatkanlah rawatan Islam berhampiran dengan anda. Jangan sampai terlambat boleh mengakibatkan kemusnahan rumahtangga anda.
Moga di jauhkan perkara di atas berlaku pada kita dan famili kita. Aamiin
Sumber/Foto : Pusat Perubatan Islam Al-Mujahidin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tidak Kisah Friends Or Haters, Permaisuri Agong Kirim Salam Pada Semua

Isi Kandungan
ToggleSelepas insiden Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menutup akaun twitter @cheminahsayang, bermacam kejadian pedih pilu terpaksa ditanggung rakyat yang mengikuti setiap posting di akaun berkenaan.
Kempen memujuk Tunku Azizah agar membuka kembali akaun twitter berkenaan masih terus berjalan. Dan terkini, dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo akan membuat kenyataan rasmi berkenaan insiden penutupan akaun twitter @cheminahsayang.
Netizen Bersalah Mohon Maaf Pada Raja Permaisuri Agong
Rentetan itu juga, pihak polis menjalankan siasatan lanjut memburu individu yang dikatakan memberikan komen negatif terhadap institusi beraja ini. Sehinggakan sebelumnya, tampil pemilik akaun twitter Firdaus Asraf membuat kenyataan permohonan maaf kepada baginda Raja Permaisuri Agong.
Bak kata orang lama-lama, nasi sudah menjadi bubur. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak komen ‘negatif’ di media sosial, screenshoot menjadi bukti. Malah, rata-rata peminat yang menyayangi Tunku Azizah seakan tidak dapat menerima permohonan maaf berkenaan.
Di sebalik kekecohan, kekalutan yang menyebalkan itu, ada satu posting yang buatkan hati kita tenang. Kembali merasai kehangatan baik budinya Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
Ini posting yang dikongsikan pengkarya/penulis/pelukis lulusan seni bina, Teme Abdullah. Individu yang dahulunya pernah menjual hasil seninya di jalanan, dan direzekikan akhirnya lukisannya diangkat sehingga memasuki Istana Negara.
Kongsinya di Twitter miliknya,
The King & Queen of Malaysia. Baginda tuanku boleh saja mengupah pelukis ternama bertaraf dunia untuk melakar wajah baginda menghiasi istana. Tetapi baginda berdua merendah diri, mencemar duli turun ke bawah & memilih lukisan seorang anak muda macam aku. Begitulah tuanku dengan rakyat.
Kita beruntung. Tatkala manusia berebut-rebut memperaga kuasa, kita punyai penaung negara yang turun bergaul dengan rakyat jelata, berusaha bersungguh-sungguh untuk berdamping di medan bersama rakyatnya.
Malangnya, ada segelintir yang tidak tahu berbudi & tidak mengenal jati diri. Baginda Tanku berdua sudah tidak perlukan publisiti. Wajah DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong & DYMM SPB Raja Permaisuri Agong sudah terpampang merata-rata di seluruh pelosok negeri.
Publisiti tidak langsung menjadi agenda. Kehadiran Duli Tuanku di social media hanyalah gerakan ihsan untuk rapat dengan rakyat. Tetapi rakyat belum matang untuk menghargai. Belum reti menyambut ihsan dengan budi.
Kalau Tiada Perkataan Baik Untuk Dikeluarkan, Diamlah
Kawan-kawan, kalau tiada perkataan yang baik untuk dikeluarkan, maka diamlah. Hati yang busuk sepatutnya disekang dalam-dalam. Janganlah sebarkan bau itu ke serata alam. Deria kami di sini tidak mampu menghadam. Cukuplah dengan jerebu di Malaysia.
Masyarakat nusantara terkenal dengan akhlak murni. Islam juga mengajar akhlak dan pekerti meskipun dalam berperang. Inikan pula berakhlak terhadap ketua negara. Maka, peliharalah nilai itu, pasakkan teguh di sanubari.
Adab menjadi sesuatu yang mahal pada zaman ini, walhal ia percuma. Maka jadikanlah diri kita dalam kalangan mereka-mereka yang beruntung masih punyai kemewahan adab dan budi dalam jiwa.
Akhir sekali… Our beloved Queen, DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ada kirimkan salam pada semua
Tidak kisah friends or haters.
And about the pictures, aku dah dapatkan perkenan keizinan Kebawah Duli Tuanku untuk berkongsi di social media aku. No worries
Nah… Buat yang rindu pada tuanku.
MW : Biar siapa pun kita, jangan sesekali timbul perasaan riak sehingga merasakan diri lebih bagus dari orang lain. Kerana kita tak pernah tahu mungkin orang yang kita pandang sebelah mata itu, tinggi darjatnya di sisi tuhan.
Sumber/Foto : Teme Abdullah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kisah Cinta Agung, Sehari Selepas Nikah Isterinya Dijemput Ilahi

Isi Kandungan
ToggleIndahnya sebuah kisah cinta agung, antara pasangan suami isteri bernama Muhammad Saiful Azam Azmi, 25 dan allahyarham Fatin Nur Syahirah Yusuf, 24. Isterinya meninggal dunia sehari selepas nikah.
Azam dan allahyarham isterinya diijabkabulkan pada Jumaat, 3 Ogos 2018 di rumah pengantin perempuan di Taman Mahsuri, Jitra, Kedah. Azam cuma dapat bergelar suami selama sehari apabila isterinya menghembuskan nafas yang terakhir disebabkan kanser tisu tahap tiga yang dihadapinya.
Catatan abang-abang allahyarham Fatin Nur Syahirah, Yusri Yusof dan Shukur Yusuf ini benar-benar meruntun hati. Dikongsikan dengan penuh tulus, tentang adiknya yang sentiasa bersemangat menyediakan kelengkapan perkahwinannya. Malah tidak merungut tentang sakit kanser yang dialaminya.

Kisah I : Kakak Tak Pernah Give Up – Yusri Yusof
Hari ini, adik perempuan, Fatin Nur Syahirah telah pulang menyahut panggilan Ilahi yang ternyata lebih sayang kepada arwah Syahirah atau dalam keluarga kami lebih mesra dipanggil kakak. Dia anak perempuan pertama dan adik beradik keempat dari lima beradik.
For most, people will say she lost her battle with cancer. Tapi ini bukan sebarang kanser, ini mesenchymal chondrosarcoma. Sejenis kanser yang rare, menyerang soft tissue dan cartilage. Tumor yang sangat agresif dan tiada belas kasihan untuk tubuh seorang gadis yang baru berumur awal 20-an.
Tapi bagi kami kakak won her battle with this cancer. Sejauh mana pun agresif kanser ini tapi dia tak pernah give up. Tak pernah menyerah kalah. Kakak sangat kuat dan tak pernah merungut. Dua major surgery Sep 2017 dan Feb 2018 dengan bukaan lebih panjang dari C-section. Kakak terus berjuang melawan mesenchymal chondrosarcoma, dan pada masa yang sama tetap positif dan jarang sekali mengalirkan air mata.
Kakak Lebih Kuat Sebab Ada Cinta Dari Anak Muda Bernama Azam
Kakak kuat sebab dia cinta Allah dan Rasul, kakak kuat sebab kami sekeluarga cintakan kakak. Tapi kakak lebih kuat sebab ada cinta dari anak muda bernama Azam. Azam yang sanggup menerima keadaan kakak dan ingin menjadikan Syahirah sebagai isterinya. June 2018, lepas Aidilfitri mereka bertunang dengan niat untuk bernikah pada 18 August ni sebelum Aidiladha.
Tapi apa kan daya kesihatan kakak merosot secara mendadak dalam tempoh seminggu ketika aku ada kat Korea. Lumpuh apabila kanser menyerang tulang belakang, pernafasan kakak pun amat terganggu. Tapi perancangan Allah Maha Hebat dan Dia izinkan majlis pernikahan mereka berdua. Akhirnya Azam dan Syahirah pun sah bergelar sebagai suami isteri setelah bernikah di rumah pada 3 Ogos 2018.
Dan hari ini kakak meninggalkan kami semua, selama-lamanya. Aku sembang-sembang dengan adik ipar baru, Azam dan dia dengan air mata bergenang ucap terima kasih kerana benarkan dia keluar dengan Syahirah sebelum-sebelum ni. Sambil air mata kami mengalir di pipi, aku cakap kat Azam “Takde apa lah benda kecik ja tu. Walaupun Syahirah dah takde, kita tetap adik beradik. Kalau nak datang rumah bila-bila mai ja Azam.”
Siapa sangka, aku dan adik ipar turun dalam liang lahad untuk sambut jenazah adik dan isteri yang diturunkan oleh ahli keluarga yang lain. Allahuakbar.
Al Fatihah buat kakak, Fatin Nur Syahirah
Kisah II : Coretan Buat Kakak – Shukur Yusuf
Kanser? Malas ambil pusing sebab tak kena batang hidung sendiri. Tahun 2017, di PPUM adikku yang kami panggil Kakak disahkan menghidap Kanser Sacorma (sejenis kanser tisu) pada tahap ke-3!
Sekeluarga tergamam. Mama terus menangis. Abah kelu tak terkata. Seakan tidak percaya akan diuji sehebat ini. Tetapi Kakak yang kami sayangi nampak cukup kuat. Kami sekeluarga terus positif yang mengatakan Kakak boleh sembuh. Hidup bertukar 360 darjah. Segala aktiviti dan perhatian kami dikhususkan untuk Kakak.
September 2017
Selesai pembedahan membuang kanser tersebut. Doktor memberi jaminan yang pembedahan berjaya dan insyaAllah kanser tidak akan menyerang lagi sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat. Cuma follow up seperti biasa. Leganya perasaan kami sekeluarga. Difikirkan berakhir di situ, tetapi tidak.
Disember 2017
Kakak diuji lagi. Kanser datang kali ini dengan lebih agresif. Doktor juga tidak dapat mengenalpasti mengapa kanser ini begitu cepat membesar. Kami sekeluarga terus memberi semangat. Terus yakin. Terus berusaha. Terus bertawakal. Hanya kami dapat memberikan kekuatan psikologi yang amat diperlukan Kakak.
Februari 2018
Mama dan Abah terus setia menunggu diluar bilik bedah. Pembedahan kedua yang memakan masa lebih 15 jam selesai jam 2 pagi. Usai solat Subuh, Mama, Abah dan saya dah terjegat di Cardiacthoracic Intensive Care Unit (CICU) menunggu ulasan doktor mengenai pembedahan tadi.
Doktor memaklumkan bahawa pembedahan tidak 100% berjaya. Sel kanser tak dapat dikeluarkan sepenuhnya disebabkan keadaan sudah terlalu rumit dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. Selesai mendengar ulasan doktor, kami keluar. Masing-masing diam membisu namun akhirnya kami sama-sama menangis. Tak kuat kami menahan air mata. Ya Allah! Sungguh hebat ujianMu kali ini…
Bermula daripada saat itu, kami sekeluarga mula menjadi doktor sendiri. Habis segala macam artikel berkaitan kanser kami baca. Habis segala petua kami cuba. Segala ceruk pelusuk negara kami teroka. Dengan hasrat mencari penawar buat Kakak tercinta. Kakak seperti biasa senyum tanpa luahkan sakit yang terseksa.
Hujung April 2018
Kami sekeluarga bersetuju dengan saranan doktor untuk Kakak menjalani sesi radioterapi. Maka berulang-aliklah kami setiap hari membawa Kakak ke PPUM. Selesai 30 sesi pada awal Jun 2018, hasil scan terbaru yang dijalankan, doktor memaklumkan yang tumor kanser sudah mengecut. Alhamdulillah. Leganya hati kami.
Namun, tiba-tiba doktor berkata lagi dalam nada yang cukup lembut.. “Tapi…., kanser tu dah merebak ke kawasan yang lain”. Saya dan kakak terbungkam! Pada ketika itulah pertama kali saya melihat Kakak menangis teresak-esak.
Saya sendiri menangis sambil cuba memberikan kata-kata positif buat adikku ini. Tidak lagi peduli pandangan orang disekitar ruang menunggu PPUM. Hanya kami merasai peritnya dugaan ini. Allah….
17 Jun 2018
Kakak dipinang seorang anak muda yang cukup ikhlas menerima Kakak seadanya. Keluarga pihak lelaki juga banyak membantu dalam proses mencari penawar buat Kakak daripada awal hingga sekarang. Mama dan Abah sangat bersyukur disebabkan keluarga pihak lelaki yang begitu bersungguh menerima Kakak walaupun dalam keadaan Kanser sekarang sudahpun di tahap 4.
Julai 2018
Kakak lumpuh daripada paras pinggang ke bawah. Sekeluarga terkejut. Tidak kami sangka akan secepat ini. Kakak seperti biasa lebih banyak berdiam diri tentang sakitnya. Namun segala yang Kakak pinta, kami akan cuba usaha untuk jadikan kenyataan.
Selang seminggu kemudian, kesihatan Kakak semakin merosot. Kakak mula sesak nafas. Kanser sudah menyerang paru-paru Kakak. Pihak hospital telah memberitahu tiada rawatan lagi untuk tahap ini. Yang ada hanyalah “Comfort Patient”. Fahamlah kami dengan maksud Doktor itu. Lantas Mama terus menangis. Abah cuba memendam rasa biarpun air mata sudah berlinang. Hanya Allah yang mengetahui perasaan kami…
Ogos 2018
Semangat baru buat Kakak. Azzam bersungguh untuk menerima Kakak sebagai isteri. Ikhlas hati Azzam hanya Allah yang tahu. Dalam keadaan Kakak seperti ini, tetap menerima Kakak seadanya. Keluarga Azzam juga begitu. Menyokong penuh hasrat Azzam. Telah menganggap Kakak seperti keluarga sendiri. Alhamdulillah. Allah hantarkan sebuah keluarga yang cukup bersih hatinya yang sedia menerima Kakak dan berusaha bersama-sama mencari penawar dan memberi semangat.
Pagi 3 Ogos 2018
Kakak dan Azzam selamat diijabkabulkan. Tiada majlis warna warni, tiada baju pengantin menambah seri. Tiada pelamin tanda raja sehari. Yang ada hanyalah pihak keluarga perempuan, pihak keluarga lelaki, tok kadi bersama saksi. Ketika akad sedang dilafaz, esakan tangisan keluarga menjadi muzik latar, menyaksikan penyatuan dua hati murni ini. Alhamdulillah. Allah permudahkan.
Semoga atas pernikahan ini, Allah kurniakan rahmat dan keberkatan serta kebahagiaan dunia akhirat buat Kakak dan Azzam.
Namun, saat gembira itu tidak lama. Petangnya selepas solat Jumaat, Kakak terus dimasukkan ke hospital. Pernafasan Kakak semakin merosot. Mama terus menjadi peneman setia. Disamping Abah yang terus berusaha serta keluarga yang terus mendoakan kesembuhan Kakak.
Namun Allah lebih sayangkan Kakak dan Saat itu tiba juga.
Kakak pergi meninggalkan kami pada waktu Subuh 4 Ogos 2018. Alhamdulillah ditemani Mama, Abah, Suaminya, Mak Besah serta Saya.
Disaat ini, keluarga redha dengan ketentuan. Buat Azzam dan keluarganya, terima kasih atas segala pengorbanan serta kasih sayang yang diberikan untuk Kakak, serta menunaikan impian Kakak biarpun cuma untuk seketika. Alhamdulillah, Kakak nampak berseri masa hari pernikahannya. Hanya Allah yang dapat membalasnya budi baik Azzam dan keluarganya.
Semoga Kakak ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Aamiin.
Fatin Nursyahirah Binti Yusuf
1994-2018
Al-Fatihah
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞امين
Sumber/Foto : Yusri Yusof , Shukur Yusuf
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI