Lihat dalam rumah kita mak-mak, pasti ada di antara anak-anak yang had pembelajarannya biasa-biasa saja. Tak sama dengan abang, mahupun kakak.
Puaslah mak ayah ajar, tak juga mahu lekat pelajaran dalam kepala si anak. Tak cemerlang akademi meletakkan anak-anak ini di kelas hujung.
Mendidik anak-anak kelas hujung juga bukan budak. Mereka tak cemerlang akademik, namun tuhan bekalkan mereka dengan anugerah kemahiran.
Dan inilah yang diterapkan oleh Sofuan Saadon, guru di SMK Matu, Sarawak ini. Pelajar kelas hujung, mereka special. Pendekatan pembelajaran mereka juga berbeza.
Fahamkan pesanan guru ini. Yang mana, semua ini akhirnya dapat disedari selepas 4 tahun mendidik anak-anak kelas hujung.
Angka-angka ini merupakan jumlah markah peperiksaan Bahasa Melayu bagi satu kelas tingkatan 1. Tak banyak yang berubah ketika mula aku mengajar kelas ini sejak awal tahun lalu.
Sebagai seorang guru, aku belajar banyak perkara dalam masa empat tahun ini. Setiap tahun, aku akan dapat mengajar kelas belakang.
Kelas belakang ini biasanya diisi oleh pelajar-pelajar yang mempunyai masalah dalam akademik dan pelajaran.
Ramai juga yang tidak bersetuju dengan cara susunan pelajar mengikut kategori seperti ini tetapi aku fikir inilah susunan yang terbaik untuk negara kita buat masa ini.
Kita boleh bandingkan dengan negara luar tetapi tak semua kita dapat ikut pendekatan yang mereka gunakan.
Pada tahun pertama aku mengajar dan melihat keputusan pelajar seperti ini, aku rasa begitu kecewa dan sedih. Macam-macam persoalan bermain dalam fikiran aku.
“Aku ni tak pandai mengajar ke?”
“Kenapa depa ni tak faham apa aku ajar?”
“Selama ini aku syok sendiri saja ke?”
“Kenapa satu kelas lagi boleh dapat markah tinggi?”
Apabila mengedarkan kertas jawapan kepada mereka, aku sebutkan markah setiap orang. Aku luahkan segala kekecewaan aku pada mereka.
Tidak cukup dengan itu, aku hukum semua pelajar yang gagal ini. Mereka tidak melawan. Semua ikut apa yang aku suruh.
Pada waktu itu, aku yakin mereka sedar sebab aku memberikan hukuman tersebut.
Tetapi…
Aku mulai sedar dan faham. Mungkin betul ada pendekatan yang aku gunakan tidak sesuai untuk mereka. Namun, ada satu hal yang lebih penting.
Sebagai guru, aku kena sedar bahawa kemampuan setiap pelajar di dalam kelas itu tidak sama. Sudahlah mereka di kelas hujung, malah tahap pemikiran dan penerimaan mereka juga tidak sama antara satu sama lain.
Ada pelajar-pelajar kita ini yang memang tak boleh faham apa yang kita ajar.
Memang setakat itu saja tahap mereka. Malah, ada anak-anak kita ini sepatutnya dihantar ke sekolah khas tetapi atas sebab-sebab tertentu, terus balajar di sekolah biasa dan mengikut segala sukatan yang telah ditetapkan.
Namun, adakah kita sebagai guru atau ibu bapa patut kecewa dan membiarkan saja mereka terus rendah diri dengan kelemahan itu? Tidak sama sekali.
Kita perlu memainkan peranan masing-masing dengan berkesan. Cikgu di sekolah dan ibu bapa di rumah.
Walaupun pelajar ini mempunyai masalah dalam akademik, itu tidak bermaksud mereka tiada juga kelebihan lain. Setiap pelajar itu ada kekuatan tersendiri yang kita perlu terokai dan gilap.
Setelah aku menyedarinya, aku telah mengubah cara pengajaran aku.
Aku mengajar ikut sukatan dan rancangan yang telah ditetapkan. Itupun hanya untuk makluman dan pengetahuan mereka. Aku kongsikan juga kepentingan pendidikan sebagai motivasi buat mereka.
Aku lebih banyak mencipta keseronokan bersama mereka. Biasanya pelajar kelas hujung ini mempunyai masalah dengan kehadiran juga. Aku tak nak itu berlaku pada kelas aku.
Aku nak mereka seronok belajar walaupun mereka mengambil masa panjang untuk memahami dan menerima pengajaran itu sebaiknya.
Aku mula pilih topik yang aku rasakan sesuai dengan tahap kemampuan mereka. Aku nak walau apa pun terjadi, mereka tetap mahu datang ke sekolah.
Aku sedih bila ada pelajar yang lemah akademik ini tidak hadir banyak hari ke sekolah dan akhirnya dibuang sekolah.
Rugi. Sekurangnya jika mereka datang, mereka boleh belajar bersosial dengan kawan-kawan serta guru, tidak terlalu pasif dan belajar kemahiran-kemahiran lain yang ditawarkan.
Namun, ini terpakai untuk pelajar yang lemah akademik dan mempunyai sahsiah yang baik. Jika pelajar itu tak pandai akademik dan buruk pula perangai, memang elok saja berhenti terus daripada mempengaruhi pelajar lain pula.
Jadi kepada cikgu dan ibu bapa semua, boleh mengajar seperti biasa tetapi jangan ingat semua pelajar itu boleh faham setiap pengajaran itu seperti yang kita harapkan.
Kita boleh ajar dia tapi jangan rasa kecewa atau marah kalau dia tak dapat juga atau mengambil masa yang terlalu lama.
Dan jangan lupa bahawa yang tak pandai dalam satu-satu perkara itu sebenarnya mempunyai kemahiran-kemahiran lain yang kita sendiri tak tahu.
“Tak adil jika kita mengadili ikan, monyet serta burung dalam keputusan Pertandingan Berenang.”
“Pelajar boleh lupa apa yang kita ajar mereka, tetapi mereka tak akan lupa apa yang kita buat mereka rasa.” – Cikgu Onizuka GTO.
#SetiapMuridAdalahPermata #AnakKitaTanggungjawabKita
Sumber/Foto : Sofuan Saadon