Cara Guna SANTAN Fresh, Kotak & Serbuk, Banyak Jenis Tujuan Berbeza!

Share

Boleh dikatakan penggunaan santan bagaikan satu keperluan mesti ada setiap kali beli barangan dapur. Ini kerana santan memang selalu digunakan dalam masakan harian. Tak kiralah jenis santan segar, kotak mahupun serbuk. Sebenarnya jenis santan-santan ini mempunyai rasa dan cara guna santan yang berbeza dalam masakan.

Untuk tahu lebih lanjut, fahamkan perkongsian daripada Puan Ummi Syuhada ini.

Tip Dan Penggunaan Santan Fresh, Kotak & Serbuk

Antara sebab kenapa rumah saya banyak jenis santan. Saya gunakan semua jenis dengan tujuan yang berbeza.

1. Cara Guna Santan Kara Pekat

Sesuai masakan berkuah sebab tekstur kental dan susah pecah minyak. Beginner yang belum mahir masakan berkuah santan sesuai guna ni sebab takde masalah santan pecah minyak dan berketul. Ayam brand dan M&S cair sikit, kena lebihkan kuantiti santan berbanding kara. Rasa tiga-tiga sedap.

Untuk rendang, Kara susah pecah minyak sebab pekat. Jadi, kena lebihkan air atau tumis dulu. Kalau guna daging yang berlemak tak perlu tumis sebab lemak tu akan keluar minyak.

Kalau nak guna Kara untuk pulut bersantan, kena cairkan dulu dengan air panas. Dia susah sebati masa nak gaul dengan pulut dan bergumpal. Ayam brand dan M&S ok, boleh terus gaul dan senang larut sebab lebih cair.

2. Cara Guna Santan Fresh

Santan segar selepas beli terus masuk dalam chiller atau freezer. Kalau kuantiti yang banyak dalam 1 pek, (contoh 1kg) ada juga kemungkinan basi kalau lama dalam chiller sebab bahagian tengah bungkusan lambat sejuk, yang sejuk dulu bahagian keliling plastik. Kena timing waktu penggunaan. Dan ambil kira juga berapa lama dia dah berada pada suhu luar. Jadi sebaiknya beli barang lain dulu sebelum santan.

Santan fresh yang dah beku, kalau nak guna untuk rendang dan nasi lemak, terus masuk je takyah tunggu cair semula.

Santan fresh yang beku kalau nak buat masakan berkuah, kena rendam dalam bekas berisi air dulu, dah cair baru guna. Kalau tak kuah jadi pecah minyak.

3. Cara Guna Santan Serbuk

Santan serbuk sedap buat puding, agar-agar bersantan, nasi lemak. Rasanya agak creamy. Yang ada perasa pandan sangat sedap untuk nasi lemak.

Santan serbuk adalah penyelamat masakan yang dah tercair. Tabur terus dalam kuah tapi api kena kecik, tabur setempat jangan merata nanti susah nak kacau bagi larut. Kalau tak yakin, cedok sikit kuah dalam bekas, masuk serbuk dan kacau sampai larut dulu baru tuang balik. Cucur jagung atau cucur durian yang dah tercair bancuhan, tabur terus serbuk.

Santan serbuk lebih murah. Lepas guna tak abis sepeket, baki boleh simpan lama. Gulung elok-elok ikat getah @ kepit klip simpan kat chiller.

4. Buat Santan Sendiri

Kalau rajin buat santan sendiri. Beli kelapa parut putih, blend, tapis dan bekukan dalam bekas kecik-kecik. Kalau kelapa parut yang tak putih semua, baki mendapan akan menyebabkan santan keruh sikit. Tapi bukan masalah besar untuk semua menu kecuali ketupat.

Bila masak pulut dengan santan, jangan tuang sampai habis santan yang keruh bahagian bawah, nanti rupa ketupat jadi lebih gelap dan berbintik hitam kat pulut.

Santan beku, nak cek cair ke tak. Tengok bahagian mendapan kat bawah. Kalau bahagian ais tu banyak, santan tu cair bila larut. Kalau nak santan yang pekat, bahagian ais beku tu lalukan bawah air paip, tinggalkan yang pati je.

Santan fresh kalau nak uji bertepung atau tak, cedok sikit letak dalam kuali, kalau cair jadi minyak tiada tepung. Kalau jadi lempeng, bakinya tambah garam terus melempeng sampai abis. Cepat-cepat buat gulai ayam hantar kat saya. Setakat ni dulu perkongsian saya.

Semua ni saya guna. Semua best.

Jenis Santan Ini Saya Guna

Pulut pelam. Mula-mula gaul dengan Kara, tak jadi. Pastu tukar santan fresh. Cantik berkilat. Tak jadi sebab silap teknik.

Lemang cawan. Mula-mula guna Kara. Rasanya mungkin silap teknik & perlu cairkan dulu santan dengan air panas. Pastu tukar Ayam brand.

Nasib baik guna 1 je Kara. Yang ni guna Ayam Brand. Cantik boleh terus tuang dalam beras. Hasilnya cun tapi gambar ni belum masak sepenuhnya.

Serunding basah. Santan M&S campur dengan Ayam Brand. Lebih cepat pecah minyak berbanding Kara, mungkin sebab lebih cair. Kaler juga lebih cantik. Kara kalau terlebih santan, tekstur rendang jadi tebal.Santan M&S dan Ayam Brand saya tak dapat bezakan lagi kualitinya, jadi demi kasih sayang saya beli dua-dua .

Freshly squeezed, tiada campuran air. Bila beku takde air batu terasing kat bawah. Kalau ada air batu, itu santan cair. Lalukan saja bahagian ais tu bawah pili kalau nak pati. Jangan marah penjual, sebab ada yang blend kelapa parut untuk jual santan beku, wajib le guna air. Bukan semua ada mesin perah kelapa tu.
*Biasanya resepi rendang 1kg daging dan 1kg santan, kalau guna pati ni cukup 1/2 kg je.

Rendam Santan Beku Sampai Cair

Untuk masakan tertentu, rendam sampai cair sebelum guna. Pek kecik ni kalau buat kari ikan guna sikit je. Kalau kari ayam/ daging kadang-kadang guna semua. Kuih-muih tradisional saya lebih suka santan asli macam roti jala, ketayap, bengkang, kuih cara, tepung talam dll.

Kara.Kalau masakan berkuah santan macam masak lemak cili padi ni, takde masalah takut terpecah minyak bila santan meruap. Lepas panaskan 2-3 kali lagi pekat lagi sedap.

Cucur durian.. kalau bancuhan tercair tabur je santan serbuk.

Kalau takde daun pandan, tuang je santan serbuk perasa pandan dalam nasi lemak. Gambar nasi lemak sebelah tu sebagai hiasan je.

Alamak..kena cepat-cepat topup stok M&S ni. Biasa guna selang seli. Masa ambik gambar tadi, ambik stok yang baru beli, tak perasan plak M&S habis langsung. Sekadar berkongsi pengalaman dari dapur sendiri je..

*Disclaimer : Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian penulis sahaja.

Baca Lagi Di Sini :
Agar-Agar Santan Pandan Cantik ‘Berlumut’, Biar Bancuhan Mendidih Dulu Baru Kacau!

CARA SIMPAN Kelapa Parut Agar Tahan Lama,Tabur Garam Kukus 15 Minit!

Mingguan Wanita : Semoga perkongsian tip santan ini bermanfaat. Jadi selepas ini kita tau nak gunakan santan fresh, kotak dan serbuk mengikut kesesuaian masakan nanti.

Sumber : Ummi Syuhada

 

Mingguan Wanita juga boleh diikuti di

YouTube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial

Telegram: https://t.me/bangkitwanitaMW

Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita

Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita

#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita

Published by
Suhaidah Abd Wahab