Dalam tempoh PKP ini, mak-mak terlebih rajin nampaknya. Ramai yang asyik mencari resipi baru untuk dicuba. Apa kata cuba resipi kaya karamel ini yang telah dikongsikan oleh Nur Adlina di laman fb miliknya (fb: https://www.facebook.com/nuradlina.badarudin.9
). Sangat mudah memasaknya malah bahannya gerenti ada di dapur rumah kita. Hanya empat bahan je!Kaya karamel ini sedap dimakan bersama roti, roti jala, lempeng dan roti canai. Malah menurutnya, ia juga sesuai dijadikan inti apam balik, apam Tokyo atau pau.
Kiranya kalau buat banyak sekali gus, boleh simpan di dalam peti sejuk dan keluarkan bila nak guna. Sukatan adunan ini menghasilkan lebih kurang 1.5 liter kaya karamel. Sekiranya ingin masak dalam kuantiti yang lebih sedikit, sukatan bahan-bahan boleh dibahagi dua ye.
10 biji telur
500 ml/gram gula pasir
500 ml/gram santan kotak
Secubit garam
1. Mula-mula masak gula di dalam kuali hingga cair. Ketepikan.
2. Bahan-bahan lain dicampurkan sekali, pukul sebati dan tapis.
3. Masukkan ke dalam kuali berisi gula karamel tadi dan masak menggunakan api yang kecil serta sentiasa kacau sehingga adunan agak pekat. Tutup api, tapi jangan berhenti mengacau sehingga adunan agak sejuk sedikit supaya tidak berketul.
4.Apabila sejuk, bolehlah disimpan di dalam bekas dan simpan di dalam peti ais. Sedap dimakan dengan roti. Selamat mencuba!