Cara Buat Air Mojito Halal, Sangat Sedap, Mudah & Murah Kosnya!

Share

Air koktail Mojito biasanya mempunyai kandungan bahan alkohol. Namun ada cara untuk membuat air mojito ini versi ‘halal’, sedap dan menyamankan anak tekak. Lebih-lebih lagi diminum ketika waktu cuaca tengah panas. Malah jika ada majlis makan-makan di rumah, mak-mak boleh buat air ni untuk kelainan agar lebih istimewa.

Boleh cuba cara buat Air Mojito versi halal perkongsian resipi Encik Muzairee Daud ini sebagai panduan;

“Petang minggu semalam cuacanya di Kuala Selangor ni panas yakmat. Makanya dalam perjalanan nak beli barang dapur tadi, cik puan isteri call minta belikan aiskrim. Memandangkan aiskrim yang dicari tak dijumpai, maka terus terlintas untuk buat air mojito. Lama dah tak buat ni.”

“Jadi, dah terlanjur tu saya kongsi kan cara-caranya. Sangat mudah dan murah kosnya pun! Satu jug ni kami buat kosnya dalam 5-6 riyal Malaysia je.”

“Mojito ni kalau dekat Cafe biasa-biasa pun dalam RM6 ke RM8 juga segelas. Kalau Cafe ada bintang bintang boleh jadi double harganya!”

Nah resepi ya :

Bahan-Bahan:

3-5 biji limau nipis
1 botol aiskrim soda
Secekak daun pudina
Pemanis macam gula, madu ( jika perlu)
Kiub Ais secukupnya

Cara Membuat:

1.Pudina tadi carik-carik kan dan masukkan dalam jug macam ni.

2.Kemudian perah kan limau. Tapis kalau tak nak gigit bijinya. Tips untuk jusnya banyak, gelek kan dulu sebelum perah ye!

3.Kalau nak manis, boleh tambahkan madu atau gula cecair lain. Kalau tak ada pun takpa sebab aiskrim soda tu pun dah manis.

4.Masukkan kiub ais sampai penuh jug.

5.Tuangkan aiskrim soda pun hingga penuh jug.

6.Kacau sebati dan sedia untuk diminum.

Selamat mencuba!

*ni asas mojito tapi bahan alkoholnya (rum), kita tak masukkan. Sebab itu, namanya Halal Mojito.

**mojito ni sebutan yang betul ialah mo-hi-to ya

Muzairee Daud
~Lega lepas dapat mojito!

MW: Menariknya resipi air mojito ni, bahan-bahan tak banyak nak buat pun mudah!. Minum waktu cuaca panas memang melegakan dan nyaman pada tekak. Mak-mak boleh cuba buat di rumah!

Sumber: Muzairee Daud

Published by
Suhaidah Abd Wahab