
Isi Kandungan
ToggleFrozen food atau makanan sejuk beku memang antara makanan pilihan mak-mak yang sibuk. Ia memudahkan dan mempercepatkan masa mak di dapur. Rupanya ada cara yang betul nak pilih makanan sejuk beku di pasaraya. Pilihan yang tepat membantu mak-mak sediakan makanan selamat untuk keluarga dan anak-anak.
Consultant Dietitian, Nabeelah Azmi memaklumkan hal ini, ada 4 cara betul nak pilih makanan sejuk beku untuk disajikan pada anak-anak dan suami. Mudah saja rupanya tak berbelit-belit pun.
Kata Nabeelah, “Tipulah kan kalau ada orang cakap dia tak pernah makan makanan sejuk beku atau frozen food. Frozen food ni memang memudahkan kerja para ibu yang bekerja sebab ia sudah dimasak terlebih dahulu (pre-cooked) dengan cara goreng.
“Tapi, bila ia mudah dimasak, mudah juga untuk kita masuk ke hospital nanti kalau tak berjaga. Ok, jadi ini cara kalau anda nak pilih makanan sejuk beku dan baca label dengan betul.”
CARA PILIH & BACA LABEL MAKANAN SEJUK BEKU ‘FROZEN FOOD’
1. Lihat Label Bahan: Protein & Lemak
Kandungan protein WAJIB MELEBIHI lemak. Sebagai contoh gambar di bawah, Bella ada buat perbandingan A & B.
Gambar A menunjukkan kandungan protein lebih dari lemak untuk setiap hidangan: 12 g protein > 5g lemak. Jadi anda boleh lihat banyak isi ikan daripada lemak yang digunakan.
Gambar B protein kurang dari lemak jadi anda sudah tahu ia tidak sihat.
2. Pilih Bahan Dari Sayuran > Ikan > Ayam > Daging
Kalau terpaksa juga pilih makanan sejuk beku ni atas alasan tak sempat masak atau tiada makanan segar, pilih yang banyak menggunakan sayuran, atau ikan. Kurangkan ayam dan daging.

3. Bakar, Stim Atau Pan-Fried
Makanan sejuk beku ni dah digoreng sebelum dibekukan, jadi pilih cara masak yang lebih sihat seperti yang dicadangkan di atas.
4. Sekali Sebulan
Kurangkan kekerapan mengambil makanan sejuk beku. Sebab ia sejuk beku, masih ada bahan pengawet yang mungkin berbahaya untuk kesan masa panjang.
Sumber/Foto : NaBeelah Azmi
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Wanita Ini Kongsi Cara Sebenar Buat Pulut Kuning Agar Cantik Berkilat, Tidak Patah & Tahan Lama

Isi Kandungan
TogglePulut kuning memang sedap dimakan dengan rendang ayam atau daging, mahupun kuah kari.Selalunya pulut kuning disediakan pada majlis kenduri kendara, majlis hari lahir, khatam quran, kesyukuran dan sebagainya.
Menurut perkongsian Puan Unaizah Azhar, ada petua dan tip yang dia gunakan agar pulut kuning tang dihasilkan nampak cantik berkilat, tidak patah dan tahan lebih lama. Iaitu dengan cara memasukkan cuka ke dalam air rendaman beras pulut tersebut. Jadi buat mak-mak yang nak cuba buat pulut kuning sendiri bolehlah cuba resipi yang dikongsikan ini.
Bahan-Bahan:
1kg beras pulut
1 kg beras pulut
4-5 sudu makan cuka
1 sudu besar serbuk kunyit
Sedikit pewarna kuning jenama (Star Brand)
Air ( Anggaran 2 inci dari permukaan beras pulut)
Cara Membuat:
1.Basuh pulut hingga betul-betul bersih dan jernih airnya (untuk mengelakkan cepat basi)
2.Toskan airnya kemudian masukkan serbuk kunyit dan pewarna.
3.Gaul beras pulut tadi hingga warna kuning sekata.
4.Masukkan Air dan cuka kemudian kacau bagi rata cukanya.
5.Rendam semalaman.
Bahan-Bahan: (Untuk Mengukus)
300 gram santan pekat.
1/2 cawan air
1 sudu teh garam
Gula (bergantung pada citarasa masing-masing)
Cara Membuat:
1.Semua bahan diatas dimasak sekejap(jangan sampai mendidih)
Sejukkan Seketika.
2.Kukus Beras pulut lebih kurang 1/2 jam atau hingga masak.
3.Bila dah masak, masukkan dalam bekas dan curahkan santan yang dimasak tadi.
4.Gaul hingga rata dan kalau nak manis sikit boleh taburkan gula semasa proses ni.
5.Bila dah sekata santan tadi, biarkan lebih kurang 10 minit (untuk mesrakan santan dengan pulut).
6.Kemudian kukus balik pulut tadi hingga naik wap lebih kurang 1/2 jam juga.
Info Ekstra!
Tip Agar Pulut lebih cantik dan berkilat.

- Setelah rendam beras pulut lebih kurang 3 jam, kacau-kacau sikit beras tadi dan biarkan.Kalau rajin lebih kurang 2 jam selepas tu kacau-kacau lagi. Tujuannya nak bagi rata cuka dalam air.
- Pulut juga tak perlu bilas dengan air biasa semasa nak kukus.
Selamat Mencuba!
Sumber: Unaizah Azhar
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Gaya Sedondon Di Hari Raya, Tak Kisah Orang Nak Kata Kumpulan Nasyid Atau Boria…Janji Kami Happy!

Isi Kandungan
ToggleTinggal beberapa hari saja lagi, seluruh umat Islam bakal meraikan 1 Syawal. Dalam kegembiraan, terselit kesayuan mengenangkan Ramadan yang penuh keberkatan bakal berlalu pergi.
Semoga kita semua dikurniakan kesempatan dan usia untuk bertemu lagi Ramadan akan datang, insya-Allah.
Persiapan
Bab persiapan raya memang antara topik paling hangat kala ini. Pasti ada yang masih membuat persiapan saat-saat akhir. Bagi yang berkemampuan, pasti awal-awal lagi sudah pun membeli atau menempah baju raya, sama ada untuk diri sendiri mahu pun anak dan suami. Malah ramai yang memilih untuk bergaya sedondon satu keluarga. Lagi meriah katanya!
Kebiasaannya, bergaya sedondon untuk satu keluarga kecil tak jadi masalah, hanya melibatkan suami, isteri dan anak-anak saja. Tapi, kalau melibatkan keluarga besar yang masing-masing sudah berkeluarga, agak sukar sebenarnya.
Untuk penulis sendiri, lebih 14 tahun menggayakan pakaian sedondon untuk keluarga besar kami, keluarga Abu Bakar dan Rabiah.
Sepakat
Kami bertujuh beradik perempuan, jadi lebih mudah untuk sepakat dalam membuat sebarang keputusan. Masing-masing akan pastikan anak-anak dan suami akan menurut tema warna yang ditetapkan.
Tradisi berbaju sedondon ini bermula selepas kami mencari baju sedondon untuk majlis perkahwinan adik ketiga. Rasa seronok pula bergaya sedondon beramai-ramai. Akhirnya sejak itu, saban tahun, kami bergaya sedondon walau pun tahun itu giliran di rumah mentua masing-masing. Kecuali ada yang sedang mengandung, biasanya akan ‘simpan’ kain baju itu untuk ditempah selepas bersalin nanti.
Kami sudah terbiasa digelar kumpulan boria atau kumpulan nasyid bila menziarahi rumah saudara mara secara konvoi. Malah ada yang tertunggu tunggu tahun itu kumpulan boria kami pakai baju warna apa pulak. Bila ada kenduri saudara mara terdekat, kami akan berpakat untuk menggayakan mana-mana baju sedondon kami.

Disertakan tip sekiranya ingin bergaya sedondon:
1.Sangat Penting! Walau pun adik-beradik, tak semestinya kemampuan kewangan kita juga sama. Jadi berbincang dengan adik-beradik dahulu bajet masing-masing. Bila bajet dipersetujui, barulah boleh teruskan.
2.Rancang dari awal agar mudah mengatur bajet lebih-lebih lagi bagi yang ada anak ramai. Atau boleh juga buat sistem bayar berperingkat, ala-ala ‘kutu’ agar tak terbeban sangat.
3.Pilih salah seorang untuk ditugaskan survey seterusnya membeli/menempah baju dan duit boleh diberikan kepadanya.
4.Untuk jimat, boleh pilih baju siap yang banyak terjual di pasaran. Harga pun boleh pilih ikut suara ramai.
5.Ia bukan ‘wajib’ sekadar nak tambah kemeriahan di hari raya. Jadi, sekiranya ada yang tak mampu, jangan pula sampai timbul pertelingkahan!
Apa Kelebihan Pakai Sedondon?
- Gambar raya nampak lagi cantik sebab warna seragam.
- Bila ke mana-mana, akan jadi perhatian kerana pakai baju ‘sepapan’.
- Kalau anak ‘hilang’ bila berada di sebuah rumah yang ramai tetamu, senang nak tahu siapa mak ayahnya berdasarkan baju yang dipakai.
- Sekadar nak memeriahkan suasana sambutan raya, selain mengeratkan hubungan kekeluargaan. Setiap kali pakai baju itu, teringat pada adik beradik yang lain.
- Memudahkan bila ada kenduri kendara, boleh menggayakan pakaian sedondon yang sedia ada.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kerja Driver Lori Tak Glamor, Tapi Masyukk! Akak Ni Buktikan Wanita Pun Boleh Bawa lori Kontena!

Isi Kandungan
ToggleWanita ini pernah jadi viral gara-gara aksinya memandu lori kontena dengan berbaju kurung. Masyarakat terperanjat kerana ada orang perempuan yang memilih kerjaya yang cukup sinonim dengan lelaki. Apatah lagi kerjaya sebagai pemandu lori dikaitkan dengan kerja yang lasak, tak glamor dan tak sesuai dengan keperibadian wanita yang lemah lembut
Selesa Berbaju Kurung
Menurut Rokiah bt Salim, 52, atau mesra dengan panggilan Ekka, dia tidak pernah menyangka akan menjadi viral dan dikenali satu Malaysia. Yang pasti, dia cukup berbangga dengan kerjayanya sebagai pemandu lori kontena di Syarikat HL Super Sdn Bhd di Seberang Prai, Pulau Pinang.
“Saya tiba-tiba saja terkenal kerana aksi saya yang membawa lori dengan berpakaian baju kurung tersebar. Masyarakat memandangnya sebagai sesuatu yang pelik. Tapi secara peribadi, saya tak rasa pelik pun bila memandu lori dengan berbaju kurung. Pakaian tak pernah mengganggu saya melakukan kerja. Malah saya bangga dan selesa mengenakan pakaian itu kerana ia pakaian tradisi kita. Di bahagian dalam saya tetap mengenakan seluar jeans untuk menjaga aurat.
” Walau bagaimana pun saya gembira kerana kisah saya sedikit sebanyak dapat membuka mata masyarakat terutamanya wanita supaya lebih yakin untuk menceburi bidang yang di luar kebiasaan. Banyak cabang kerja yang boleh kita lakukan, asalkan rajin dan sanggup sahut cabaran. Jangan takut pilih kerja yang tak glamor, asalkan mampu beri pulangan yang lumayan. Malah saya bangga kerana dengan kerja ini, saya berjaya membesarkan dan menanggung pengajian dua anak saya hingga memperoleh ijazah di dalam bidang biotech dan pendidikan,” ujar wanita gemarkan aktiviti lasak ini.
Sahut Cabaran Rakan
Mengimbau keterlibatannya di dalam kerjaya ini, Ekka sebelum itu bekerja di sebuah kilang sehinggalah dia ditawarkan VSS.
” Selepas berhenti kerja dan ditawarkan VSS pada tahun 2014, saya tercari-cari pekerjaan untuk menyara dua anak lelaki saya memandangkan saya ibu tunggal. Ketika itu pula saya aktif di dalam dunia permotoran dan menyertai sebuah kelab motosikal. Rakan-rakan bikers yang menyarankan saya mencuba kerjaya sebagai pemandu lori. Lantas saya sahut saranan mereka itu. Lagi pun, saya banyak mengembara ke luar negara dan wanita yang bekerja sebagai pemandu lori bukan perkara yang asing di sana. Jadi, apa salahnya jika saya cuba kerjaya itu.
” Terus terang, pada mulanya banyak syarikat yang menolak permohonan saya. Sehingga akhirnya syarikat tempat saya bekerja sekarang, HL Super Sdn Bhd, membuka peluang pada saya. Sejak itu saya bekerja memandu lori kontena untuk dihantar ke pelabuhan Prai. Saya hanya buat local trip sahaja dan tidak minat untuk membuat long distance. Tempat kerja saya juga hanya 15 minit daripada rumah yang terletak di Tasik Gelugor.
“Dua anak lelaki saya sangat menyokong keputusan saya tetapi ada ahli keluarga saya yang menentang. Mereka beranggapan kerja itu susah dan tidak sesuai untuk wanita. Namun kini mereka dapat terima. Saya sedar mereka melarang sebab mereka sayangkan saya. Alhamdulillah, saya berjaya buktikan pilihan saya tepat. Namun sebenarnya kerja ini taklah begitu susah bagi saya. Hanya duduk di dalam lori dan pandu. Bukan kena angkat barang berat. Tapi, sudah tentu perkara pertama adalah mendapatkan lesen GDL bersendi untuk melayakkan saya memandu lori kontena,” tambah Ekka lagi.
Pecah Tradisi Kerjaya
Ujar Ekka, dia seronok berada dalam bidang yang dimonopoli oleh lelaki. ” Seronok dan bangga kerana kita melakukan kerja yang orang lelaki selalu buat. Tak ada masalah bergaul dengan rakan-rakan sekerja kerana mereka suka menolong,” jelas Ekka yang ingin menjadi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana agar tidak memilih kerja.
“Bagi anak-anak gadis, jangan terlalu memilih kerja. Konon nak bekerja di dalam pejabat saja, sedangkan masih banyak peluang yang ada. Kerjaya sebagai pemandu lori mendatangkan pendapatan yang lumayan. Cuma, kalau nak gaji lebih, kenalah kerja lebih masa. Semuanya terpulang pada diri sendiri.
” Anggaran pendapatan yang boleh diperoleh antara RM3000-RM5000 sebulan. Waktu kerja juga fleksibel. Saya bekerja antara jam 8.30 pagi hingga selewatnya 10.30 malam. Purata antara tujuh ke lapan trip sehari. Kalau nak pergi bercuti ke luar negara, saya akan buat target. Saya akan kerja lebih panjang dan kemudian akan ambil cuti panjang selepas itu. Saya pernah bercuti hingga 12- 20 hari. Yang penting, kena cukupkan 150 trip sebulan.
“Untuk ibu tunggal, kita perlu bangkit. Tiada gunanya bersedih terlalu lama. Fikir anak-anak tersayang dan jangan harapkan bantuan orang saja. Diri sendiri yang perlu berusaha.Peluang dan ruang ada, terpulang pada diri masing-masing. Walau bagaimana pun, saya ingin nasihatkan ibu-ibu tunggal di luar sana, perpisahan adalah di antara kita dan bekas suami. Jangan libatkan anak-anak. Jangan jadikan bekas suami musuh anda kerana dia tetap ayah kepada anak-anak anda selamanya,” nasihat Ekka.

Minat Aktiviti Lasak
Wanita bertubuh kecil molek ini sememangnya berjiwa kental dan minat dengan aktiviti lasak seperti mendaki gunung, camping dan maraton. Sebelum ini, dia terlibat di dalam dunia permotoran namun setelah kehilangan motosikal CBR hilang pada tahun 2008, dia mula beralih ke aktiviti mendaki gunung.
” Saya seorang yang aktif dan lasak. Saya gemar mendakI, kebanyakan gunung di Malaysia ini sudah saya tawan. Selain itu, saya sanggup ke luar negara untuk mendaki. Antara puncak yang pernah saya jejaki ialah Anapurna Base Champ dan Everest Base Champ. Di Filipina saya pernah mendaki Mount Pulag dan lebih banyak mendaki gunung-gunung di Indonesia. MisalnyaGunung Rinjani, Gunung Selamet, Gunung Sibayak dan banyak lagi.
“Selain mendaki, saya juga gemar bercuti ke luar negara untuk menimba pengalaman di tempat orang. Paling jauh saya pernah ke Rusia. Hujung tahun ini pula, saya akan ke Mongolia bersama anak sulung untuk melawat tempat-tempat menarik di sana. Anak sulung saya itu juga berkongsi minat mendaki dengan saya manakala si bongsu sebaliknya,” ulasnya lagi.
Walau pun berkerjaya lasak, namun sebagai wanita, dia tetap menitik berat soal kecantikan dan penampilan diri. Buktinya, walau pun bekerja sebagai pemandu lori kontena, Ekka tetap mampu kelihatan cantik.
“Siapa kata kerjaya sebagai pemandu lori kontena tak membolehkan kita kelihatan cantik? Saya tetap menjaga kecantikan dan penampilan diri sebagai seorang wanita. Bahkan terus terang, saya sangat mengambil berat soal pemakanan. Mungkin ada wanita yang takut hendak ceburi kerjaya sebagai pemandu lori kerana takut tak boleh jaga kecantikan. Itu tak betul. Terpulang pada diri sendiri. Sekarang ini di tempat kerja saya sudah ada lima pemandu lori wanita dan saya tumpang bangga kerana kerjaya itu mula diterima masyarakat. Cuma kami tidak lagi dibenarkan memakai baju kurung ketika memandu lori,” akhirinya yang akan mendaki gunung sekurang-kurangnya sekali seminggu.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI