Cantiklah Untuk Suami Supaya Tak Ada Ruang Lelaki Lain Nak Goda

Share

Sebelum kahwin, masa dating cantik bukan main lagi. Maklumlah akan berjumpa dengan buah hati. Tup-tup, selepas kahwin, segalanya berubah. Tidak sempat untuk berhias, kononnya sibuk uruskan anak dan hanya sempat berhias untuk pergi ke tempat kerja sahaja.

Jangan pandang sebelah mata, cantik atau tidak bukan persoalan kerana semuanya datang dari hati. Jika cantik semata-mata untuk pikat orang lain atau untuk orang lain menilai kecantikan, semua itu sudah salah.

Malah, lebih teruk lagi bila isteri mula main kayu tiga. Biasa kita hanya dengar suami yang ada skandal lain. Tapi, lain pula jadinya bila isteri sanggup menduakan suami. Bukan untuk niat bercerai berai tetapi untuk keseronokan sahaja.

Prof Madya Ts Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) turut memberi pencerahan tentang perkara ini.

Beza Dan Tujuan

Fitrah manusia, tidak pernah cukup dengan apa yang ada dan selalu impikan sesuatu yang baru. Tapi, antara suami dan isteri, sebab dan tujuan ‘main kayu tiga’ ada perbezaan.

Biasanya, suami mudah curang atau bermain kayu tiga apabila isteri mulai tidak hormat, suka mengungkit dan memberontak dengan pelbagai cara, tidak mengendahkan kecantikan di rumah, tidak lagi bergantung kepadanya. Sebaliknya, lebih banyak bercerita tentang kekagumannya kepada bos contohnya, pudar ‘keseksian’ dan sebagainya.

Bagi isteri pula berbeza, biasanya timbul untuk mencari orang ketiga apabila suami tidak lagi romantik, ambil berat, tiada masa untuk bersama bercakap atau bergurau senda tentang kasih sayang, tidak lagi memujinya atau sebagainya yang menepati fitrah kewanitaan seorang isteri.

Apabila terjumpa seseorang yang sudi bersama mendengar, ambil berat dan bercakap bahasa yang manis, barangkali mudah hati seorang isteri terbuka dan berbunga menagih perhatian dan menghilangkan kesunyiannya.

Hanya Suka-suka

Semuanya tentu sekali untuk memecah kesunyian, mengisi kekosongan tuntutan naluri atau sekadar untuk berseronok. Bila hubungan yang dimulai hanya untuk berseronok dan menghilangkan kesunyian, kita akan terperangkap Jangan kita lupa, pasangan ‘curang’ kita mungkin serius dan bukannya menghadapi masalah yang sama dengan kita.

Suami Ketahuan

Hubungan dengan pasangan anda adalah bergantung pada anda. Tidak dinafikan, ia perlu bersama saling membahagiakan, tetapi mulakan dengan diri anda.

Sebagai suami,

  • Elakkan komunikasi menggunakan logik, sebaliknya ketepikan ego anda dan bercakap dengan emosi kasih sayang yang menyentuh hati isteri. Agak sukar, tetapi kesannya lebih efektif.
  • Memujuk, sweet talk, memuji atau mengingati nostalgia indah bersamanya lebih mudah untuk membantu isteri kita ketepikan stres dan kembali menghormati kita.
  • Kita perlu bersaing memenuhi kehendak fitrah isteri kita agar orang ketiga yang hadir dalam hidupnya tidak lagi diperlukan.
  • Romantik, banyakkan masa untuknya, bercakap tentang kasih sayang dan tumpukan masa khas untuknya akan menjadikannya rasa istimewa dan dihargai.

Cara ini, keperluan kepada ‘kayu tiga’ dengan sendirinya hilang disinari oleh kebahagiaan hidup bersama.

Buat Isteri…

  • Cuba muhasabah beberapa perkara dalam perhubungan anda. Fitrah suami anda yang perlukan penghormatan, sukakan anda cantik, lebih dominan kepada tarikan seksual dan kebiasaannya suami anda agak rasional dan logik.
  • Mana-mana lelaki sekalipun, jika bertemu dengan wanita yang menghormatinya apalagi mengaguminya, cantik, seksi dan mudah memahami maksud kata-katanya, pasti akan cair dan mudah jatuh cinta.
  • Sebagai isteri, elakkan bercakap dengan emosi dan mengharapkan suami faham, sebaliknya dengar betul-betul apa yang suami perkatakan dan ikut. Walaupun kadang kala agak remeh dan kurang sesuai, tetapi ia lebih menunjukkan anda hormat pada suami.
  • Cantiklah di rumah bersama suami, seksilah untuk suami kerana itu fitrah ciptaaNya. Cara ini membuatkan suami akan lebih tenang dan bahagia dengan anda, tidak ada ruang untuk diganti dengan yang kedua mahupun ketiga.

Kukuhkan Hubungan Suami Isteri

  • Kita tidak boleh mengharapkan pasangan kita berubah untuk kita. Sebaliknya, kita yang perlu berubah dengan memahami fitrah dan penuhi keperluannya, selagi tidak bercanggah dengan hukum agama.
  • Ketepikan ego, elakkan sikap untuk menangkan diri sendiri tetapi utamakan untuk memenangi hubungan.
  • Cuba sedaya upaya memenuhi keperluannya agar tidak terbuka ruang untuk menggantikan kekosongan dalam hidupnya.
  • Kita tidak akan sempurna, tetapi dengan kesungguhan yang kita tunjukkan untuk mengetepikan ego dan meraikan kehendaknya juga mampu membahagiakan.
  • Pasangan kita juga akan mudah berkorban membahagiakan kita pula.
  • Usah salahkan orang ketiga andainya kita yang tidak bijak mengurus serta membahagiakan pasangan kita.
  • Baik suami atau isteri, maafkanlah kesilapan pasangan yang lalu dan sentiasa perbaiki diri untuk membahagiakan pasangan kita.

 

 

Published by
Nora