Cantik Isterinya, Sayang Suami Tak Pandai Hargai, Isteri Badan Berisi Tu Lain Pula Ceritanya

Share

Jangan sesekali meletakkan CANTIK sebagai syarat bahagia. Hakikatnya, rupa paras itu bukan jaminan tenang jiwa dalam rumah tangga. Kisah isteri cantik dan isteri badan berisi ini ada pengajaran yang tersendiri.

Ini cerita benar yang dialami Cik Puan Ammy ketika menghadapi pelanggan yang datang ke tempatnya berjualan. Yang buatnya tersedar rupa paras itu bukanlah jaminan bahagia.

Isteri Badan Berisi Dan Suami Sasa

Sepintas lalu di hadapan mata saya. Sepasang suami isteri. Si isteri berbadan agak berisi. Lebih manis jika dipanggil bambam. Agak kurang menarik penampilannya, berbaju kuning raja, palazo jingga serta berkulit agak gelap sedikit namun manis orangnya kerana senyuman tidak lekang dibibir.

Suaminya pula agak menarik, berkulit cerah, berhidung tinggi dan bertubuh sasa sambil memimpin tangan si anak. Manakala di sebelah kiri pula mendukung seorang anak yang lain.

Si isteri tadi menjinjing pelbagai jenis makanan manakala sebelah tangan lagi memeluk erat lengan si suami. Berbual manja. Ada kedengaran ketawa kecil.

Senang hati saya melihatnya. Semoga mereka bahagia sampai ke syurga.

Beberapa jam kemudian, datang pula sepasang suami isteri yang lain.

Cantik Isterinya, Sayang Suami Tak Pandai Hargai

Salah seorang pelanggan saya. Kurus kecik comel molek. Cantik orangnya dan pandai bergaya. Mengenakan blaus merah, slack hitam dan bertumit tinggi.

Sedang memilih selipar untuk si anak manakala sebelah tangan lagi mengenakan ‘child harness‘ untuk memastikan anaknya tidak hilang. Kelihatan beberapa beg plastik mengandungi juadah makanan di letak di sisi untuk memudahkan lagi dia membelek – belek selipar yang tersusun di dalam kotak.

Manakala suaminya pula, sibuk bermain ‘handfone’. Mungkin sedang melayan ‘whatsap’ atau pun ‘facebook’ kerana adakalanya dia tersenyum sendirian dan adakalanya berganti dengan gelak – gelak kecil, geli hati agaknya.

Sedikit pun tidak membantu si isteri yang sedang gigih mencuba selipar di kaki anak – anak. Sebaliknya menjeling si isteri dengan bengis, mungkin agak lama dia memilih.

Saya faham, bukan mudah untuk melayan kerenah anak- anak. Apatah lagi anak – anak sekarang yang baru setahun jagung sudah pandai memilih ‘fasyennya’ sendiri.

Akhirnya saya dengar si suami bersuara “LAMANYA… NAK KE TAK NAK…TAK NAK SUDAH! JALAN! “

Nadanya agak kasar seolah – olah ada bau – bau kemarahan di situ. Hilang sudah senyum manisnya bersama ketawa – ketawa kecil tadi.

Kalau Handphone Lebih Indah Dari Isteri.. Inilah Jadinya

Saya hairan bagaimana perasaan seseorang boleh berubah sekelip mata sahaja dalam beberapa saat. Kenapa dia tidak kekalkan perasaan gembiranya di saat dia bermain ‘handfone’ tadi ketika menegur si isteri.

Si suami berlalu tanpa menoleh ke arah si isteri dan kembali melihat handfone, kembali senyum dan ketawa. Maka terkedek- kedek si isteri bangun untuk membayar, lantas saya ‘kalih’ pandangan saya ke arah pelanggan yang lain agar si isteri tidak berasa malu.

Mereka berjalan agak laju untuk mengejar si suami yang sudah jauh ke depan. Sambil menjinjing plastik makanan, memimpin tangan si kakak dan di sebelah lagi menarik si adik.

Semoga tuhan pelihara hubungan mereka dan kekal hingga ke syurga.

Agak meruntun jiwa saya bila melihat situasi tersebut.

Bantulah Isteri Yang Tengah Bersusah-susah Tu

Apalah salahnya jika si suami meluangkan masa sedikit bersama si isteri dan anak – anak daripada leka bermain handfone. Sekurang – kurangnya membantu si isteri menjinjing plastik makanan atau memimpin salah seorang daripada anak mereka.

Berbeza dengan pasang yang mula – mula menarik perhatian saya tadi. Benar…! Masing – masing penat bekerja. Dari jam 8 pagi hingga ke 5 petang. Ada juga yang sanggup bekerja lebih masa untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Tetapi jangan abaikan pasangan dan anak – anak seolah – olah mereka tidak wujud. Membiarkan mereka umpama mereka tiada perasaan.

Bohong kalau saya katakan bahawa suami saya tidak ‘bersosial’ di ‘handfone’. Betul, suami saya juga ada ‘whatsapp’ ada ‘facebook’ dan adakalanya dia akan duduk melayan mesej – mesej dan menjawab komen – komen di ‘facebook’ dalam masa yang agak lama.

Suami Bukan Mr Perfect, Tapi Dia Belajar Ke Arah Itu

Tetapi masa yang diambilnya itu bukanlah masa ketika kami berjalan – jalan atau ‘family time’. Di rumah pula, jika saya dan anak – anak memerlukan pertolongan dia, dia akan segera ‘menghulurkan tangannya’.

Bila tiap kali keluar bersama, samada berdua atau bersama anak – anak dia akan meluangkan sepenuhnya masa dengan keluarga dan tidak berkira untuk mendukung atau menolak ‘stroller’ si kecil.

Walaupun suami saya bukanlah ‘Mr Perfect’ sekurang – kurangnya dia belajar untuk menjadi ‘Perfect’ untuk keluarganya.

Saya mula berfikir. Bentuk badan dan paras rupa yang cantik sahaja bukanlah menjamin kebahagiaan rumah tangga. Jadi, saya sebagai WANITA perlu belajar lagi ilmu dalam rumah tangga demi membina sebuah keluarga yang bahagia dan diredhai ilahi.

Sumber/Foto : Cik Puan Ammy

Published by
Netty Ah Hiyer