Saban tahun setiap kali menjelangnya Ramadan, meskipun banyak kes yang dilaporkan padah bermain mercun, namun masih ramai anak-anak yang tak serik-serik dengan akibatnya.Keseronokan yang hanya sekejap, namun azab sengsara terpaksa ditanggung seumur hidup!
Pasti luluh rasa hati seorang mak apabila anak yang dilahirkan cukup sifat dan sempurna tubuh badan, menjadi orang kurang upaya (OKU) gara-gara menjadi mangsa mercun. Jika selalu membaca berita anak orang lain yang cedera, tak sangka kali ini anak sendiri yang menjadi mangsa.
Seorang pelajar Tingkatan Dua buta mata kanan dan hancur lima jari kiri serta satu jari telunjuk kanan selepas belerang mercun bola diletakkan dalam botol kaca meletup atas bara api di Kampung Panji, Kota Bharu, Selasa lalu.
Kejadian 11 malam itu menjadikan Eiman Najwan Anwar Fuad, 14, mangsa mercun pertama di Kelantan ketika dia bermain bersama dua rakan berdekatan rumahnya.Serpihan letupan kaca itu turut terkena kaki seorang rakannya.
Ibunya, Rozita Zakaria, 41, berkata, kejadian berlaku ketika beliau sedang melipat kain di rumah.
“Saya terdengar bunyi letupan kuat dan terus berlari keluar melihat seorang budak lelaki jatuh bersujud dalam keadaan berlumuran darah.
“Saya terus memeluk budak lelaki itu dan pada masa itu, saya tidak tahu mangsa adalah anak sendiri. Saya terus pengsan kerana melihat terlalu banyak darah.
“Namun, selepas sedar baru saya tahu mangsa mercun yang parah itu anak sendiri sebelum saya dan suami membawanya ke unit kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di HUSM,semalam.
Rozita berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu terkena serpihan kaca yang meletup selepas diisi belerang mercun bola yang terjatuh ke atas bara api. Katanya, ketika itu, anaknya berada berdekatan bara api itu dan tidak sempat melarikan diri.
“Kejadian itu menyebabkan mata kanan anak tidak dapat diselamatkan, manakala lima jari tangan kiri serta satu jari telunjuk tangan kanan hancur.
“Sebelum kejadian, anak saya ada meminta wang RM1 untuk membeli air dan saya memberinya. Pada masa itu, rakan anak ada mengajaknya keluar dan anak menolaknya kerana mahu berada di rumah.
“Namun, saya tidak sangka kejadian ini terjadi kepada anak sendiri kerana sebelum ini, hanya membaca laporan anak orang lain cedera terkena mercun,” katanya.
Rozita berkata, anaknya kini stabil dan masih mendapatkan rawatan susulan.
Semoga mangsa kembali pulih seperti sedia kala. Buat mak ayah mohon lebih memantau pergerakan anak pada bulan Ramadan ini.Selalu ingatkan mereka bahaya bermain mercun ini dan tunjukkan akibatnya pada kejadian-kejadian yang pernah berlaku sebelum ini.Semoga anak-anak kita terhindar darpada malapetaka seperti ini.Ngeri!
Sumber: hmetro