Busuk Sampah Dikatakan Bau Badan Suami!

Share

Bau sampah dikatakan bau badan suami! Masa bercinta kentut bau wangi…Marah pun nampak comel. Walaupun ada yang menjuihkan bibir tapi inilah hakikatnya. Ramai yang dibuai perasaan indah ketika hangat bercinta. Yang buruk semua tidak nampak. Pasangan dilihat sempurna.

Tapi lepas kahwin, lain pula ceritanya. Bau busuk sampah dikatakan bau badan suami! Semua serba tidak kena, ada sahaja kekurangan suami atau isteri yang dikesan. Ini baru alam realiti, masa bercinta banyaknya fantasi dan berangan!

Soalan yang kita mesti jawab dengan jujur…Sepanjang mendirikan rumah tangga, sejauh mana kita kenal pasangan? True colour suami atau isteri. Ada pasangan yang sudah sedekad berkongsi bantal tapi makanan kegemaran isteri atau warna kegemaran suami pun tidak tahu. Itu baru perkara remeh. Belum lagi berbicara mengenai isu sensitif yang pasangan tidak suka.

Sejauh Mana Tahu True Colour Pasangan

Bagi saya, kaunselor perkahwinan atau pakar motivasi boleh membantu kita dengan perkongsian ilmu. Tetapi untuk memastikan rumah tangga kekal bahagia adalah usaha kita sendiri. Adakah kita benar-benar redha dan berlapang dada menerima kekurangan pasangan?

Jika kita rasa pasangan banyak kelemahan, kita juga patut sedar kita bukan manusia sempurna. Adakah pasangan boleh terima kekurangan kita? Jangan hanya persoalkan apa yang kita tidak suka tetapi tanya juga pada diri apa kekurangan diri kita yang pasangan tidak suka. Baru adil dan saksama.

Mengenal hati budi pasangan adalah satu proses yang indah dan mencabar. Anggap proses ini sebagai perjalanan yang mematangkan emosi, minda dan rohani kita. Niatkan di dalam hati, aku ingin mengenali pasangan agar mudah untuk melayari rumah tangga. Apabila kita tahu apa yang pasangan tidak suka dan suka, input ini membantu kita untuk hidup bahagia dan dapat mengelakkan sengketa.

Sengaja Cari Nahas

Tapi ada juga di kalangan kita yang saja mencari nahas, sudah tahu isteri tidak suka rumah bersepah. Suami sesuka hati campak barang merata, isteri yang keletihan pulang dari kerja bertambah letih dan stres melihat keadaan rumah yang bersepah tidak ubah seperti sarang tikus.

Sedangkan isteri bangun awal pagi mengemas bagi memastikan rumah dalam keadaan bersih, kemas dan harum….Isteri tidak minta suami tolong kemas tapi pinta isteri kekalkan keadaan yang selesa ini. Susahkah? Isteri mahu suami dan anak-anak seronok dan selesa apabila rumah bersih dan kemas. Jadi mengapa suami tidak menghargai usaha isteri? Daripada contoh ini pun banyak pengajaran yang kita dapat.

Bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga, dua insan yang berbeza pandangan, fizikal dan jiwa mesti mencari titik persefahaman. Syaratnya, perlu bertolak ansur, berkorban, berusaha dan sudah pasti berdoa kepada Allah. Jika kita sudah melakukan yang terbaik, insya-Allah, Allah akan hadiahkan nikmat kemanisan buat kita.

Pilihan Di Tangan Kita

Berhenti memberi alasan dan menyalahkan antara satu sama lain. Belajar mengenal pasangan, jika boleh berkongsi hobi dengan suami atau isteri. Jika mampu turut serta, cukup sekadar memberi sokongan moral. Tapi kena juga pastikan hobi pasangan berfaedah…Jangan pula bagi sokongan jika hobi suami ubah suai kereta sampai berhutang kad kredit! Cari hobi yang berfaedah untuk diri dan keluarga.

Jika isteri suka berkebun, belikan benih sayur, baja dan pasu. Bukankah lebih elok isteri berjasa dengan tanah daripada membuang masa mengumpat dengan jiran tetangga. Hasil tanaman sayur-sayuran isteri boleh dijadikan sajian sekeluarga. Bahagian yang paling best, ia jimatkan belanja. Suami tidak gembira ke?

Ini hanya sebahagian contoh saaja untuk kita renungkan secara santai. Semoga kita terus diberkati dan tidak jemu perbaiki kelemahan diri untuk menikmati kebahagiaan hakiki. Pilihan untuk bahagia di tangan kita, jadi usaha dan berdoa! Insya-Allah kita akan berjaya.

Published by
intan rohaizat