Saya seorang wanita yang berusia 33 tahun, belum berkahwin. Saya buntu kerana dilamar sahabat karib sendiri untuk jadi madunya!
Saya mempunyai pengalaman pahit dalam hidup apabila tunang yang saya sayangi telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya hanya beberapa bulan sebelum kami melangsungkan perkahwinan. Ketika itu saya berusia 25 tahun. Arwah cinta pertama saya dan kami berhubungan sejak di universiti.
Kehilangannya teramat saya rasai walau pun sudah lapan tahun peristiwa itu terjadi. Hati saya tertutup untuk menerima cinta lelaki lain walau pun ramai yang cuba mendekati. Saya bersyukur, mak, abah, abang dan kakak-kakak (saya anak bongsu empat beradik) amat memahami dan tidak pernah mendesak soal jodoh.
Walau pun masih bujang, tapi saya tak rasa hidup sunyi, saya ada anak-anak saudara yang umpama anak sendiri dan mak abah yang sentiasa di sisi. Kalau ada cuti, sering kali juga saya bawa mak abah bercuti bersama termasuk ke luar negara. Bagi saya, berbakti kepada mereka berdua sudah cukup buat saya bahagia.
Sahabat Sejak Universiti
Puan, saya ada beberapa orang rakan yang saya anggap umpama adik-beradik. Salah seorang, saya kenalkan sebagai M saja. Kami rapat kerana satu kelas ketika di universiti. Dia sudah berkahwin hampir 10 tahun namun belum dikurniakan zuriat. Saya juga kenal suaminya yang saya panggil abang K, baik dan warak orangnya. Seorang doktor gigi. Saya agak rapat dengannya yang memanggil saya ‘adik’, nama manja saya dalam keluarga. M pula pensyarah seperti saya.
Sejak kebelakangan ini, M kerap mengusik saya, katanya nak jadikan saya madunya. Boleh juga saya lahirkan zuriat untuk suaminya. Saya hanya ketawa besar kerana tahu M memang jenis yang suka bergurau. Pernah saya tanya, tak takut saya nak rampas suaminya? Jawabnya, dia kenal saya macam mana.
Lagi pun katanya, daripada bermadu dengan wanita yang tak kenal hati budinya, baik dia bermadu dengan sahabat baik sendiri. Saya hanya ketawa dan tak pernah simpan dalam hati.
Serius
Sehinggalah baru-baru ini, M tiba-tiba saja berjumpa saya sebaik saya kembali daripada mengerjakan umrah bersama mak dan abah. Kali ini, bersama abang K. Saya tak syak apa-apa kerana mungkin dia nak menziarahi saya yang baru balik umrah. Ternyata kedatangannya mengejutkan saya bila dia dengan serius ‘merisik’ saya untuk dijadikan isteri suaminya!
Saya tak tahu nak cakap apa, apatah lagi abang K ada bersama. Tapi abang K hanya diam. Kata M kalau saya sudi, dia sendiri akan datang merisik dengan mak dan abah saya secara rasmi. Waktu itu, saya hanya mampu minta M beri saya masa. M pula tak memaksa, dia berikan saya sebanyak mana masa yang saya perlukan.
Sudah sebulan lebih berlalu dan saya masih tak tahu nak cakap apa. Saya sedar tak boleh biar M tertunggu-tunggu. Abang K pernah hubungi saya, katanya dia pun tak bersetuju dengan hasrat M tapi dia ikutkan saja kerana dia sedar M sebenarnya stres kerana masih belum dikurniakan zuriat.
Puan, terus terang saya tak pernah termimpi untuk bermadu dengan M. Madu itu manis, tapi ‘bermadu’ itu pahit. Apa patut saya lakukan puan? Apa cara terbaik untuk menolak hasrat M?
Ms J, Ipoh.
Jawapan:
Tidak dinafikan penyeri dalam sebuah perkahwinan adalah kehadiran cahaya mata untuk pasangan suami isteri. Pada saya M adalah seorang yang hebat dan baik, pun memiliki suami yang baik. Seorang isteri yang baik dan memiliki suami yang baik akan cuba membahagiakan suaminya.
Bukan mudah untuk menerima wanita lain untuk dijadikan isteri kepada suaminya yang merupakan madunya. Mungkin satu dalam sejuta. Kebaikan yang ada pada dirinya iaitu mahu membahagiakan suami membolehkan M membuat pengorbanan yang amat jarang boleh dilakukan oleh kebanyakan wanita.
Meskipun mustahil kepada wanita lain untuk mengizinkan suami berkahwin lagi, tetapi M mencari wanita untuk suaminya. Dan dia yakin saudari adalah calon yang sesuai untuk suaminya.
Poligami masih belum menjadi budaya di Malaysia. Malah persepsi terhadap orang yang berkahwin lebih daripada satu kadang-kadang dipandang sinis oleh masyarakat. Kalau budaya di negara seperti Nigeria, kahwin lebih daripada satu adalah lumrah. Ada yang memenuhi kuota, iaitu empat, malah tinggal serumah. Anak-anak seperti adik beradik dan layanan ibu-ibu sama sahaja. Itu yang pernah saya dengar daripada seorang berbangsa Nigeria.
Untuk isteri pertama menerima madu bukan suatu yang senang. Dia mengizinkan, namun hatinya Allah sahaja yang mengetahui. Namun perasaan sedih dan kecewa akan hilang sedikit demi sedikit jika hatinya baik.
Saudari, dalam hidup ini kita tidak tahu apa yang terbaik untuk kita. Kita juga tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Perkahwinan bukannya statik, kerana manusia boleh berubah, perasaan juga boleh berubah, malah karakter seseorang juga boleh berubah.
Untuk memberi pandangan bagaimana untuk menolak juga sukar kerana hajat seseorang mungkin besar buatnya. Mana tahu jika ditakdirkan saudari berkahwin dengan suaminya akan menjadikan M lebih bahagia? Mungkin saudari boleh memberi beberapa pertimbangan dan jalan penyelesaian.
Pertama, tanya pandangan keluarga, bagaimana pandangan mereka? Kedua, untuk menolak hasratnya perlu bersebab. Maka dalam hal ini saudari perlu mencari jodoh. Mungkin juga saudari boleh minta keluarga yang carikan atau kawan yang carikan selain daripada suaminya.
Ketiga, jika benar sahabat saudari mahukan anak, maka carikan anak angkat untuk M. Berapa ramai pasangan yang tiada anak tetapi mengambil anak angkat buat penyeri hidup.
Akhir sekali buatlah solat hajat dan istikharah mohon petunjuk dari Allah. Beri masa pada diri dan sahabat. Jika saudari menolak hasrat M bersesuaian dengan masa dan M pula bersetuju untuk mengambil anak angkat dan saudari pula telah ada jodoh, maka keadaan ini akan lebih harmoni.
Jika sebaliknya, ditakdirkan saudari jadi madunya, maka berserahlah kepada ketentuan Allah. Moga saudari dan M beroleh kebahagiaan dengan apa jua perancangan yang dibuat. Mohonlah petunjuk dan kekuatan daripada Allah.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor, yang juga penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.