Pelantun lagu Cinta Sejati membuka tirai tahun baharu 2024 dengan menunaikan ibadah umrah bersama suaminya, Tiko Aryawardhana. Tidak hanya pergi berdua, Bunga Citra Lestari dan Tiko Aryawardhana turut ditemani anak lelakinya, Noah Aidan Sinclair dan ibu BCL, Emmy Muchlis.
Alhamdulillah.. Umroh di malam terakhir di tahun 2023.. Thank you 2023, its been amazing.. Happy New Year.”-BUNGA CITRA LESTARI
Menjengah ke Instagram miliknya, BCL berkongsi beberapa foto dia dan suami memakai pakaian ihram, bergambar bersama di hadapan Kaabah.
Ramai peminat memuji penampilan Bunga Citra Lestari yang kelihatan cantik mengenakan hijab ketika menunaikan ibadah umrah. Malah, mereka turut mendoakan semoga penampilan ini menjadi pilihan BCL sekembalinya dari mengerjakan umrah. Ini juga merupakan percutian pertama keluarga ini setelah selamat melangsungkan perkahwinan pada 2 Disember lalu.
BCL selamat mendirikan rumah tangga dengan Tiko yang juga seorang duda di sebuah resort di Bali selepas hampir empat tahun bergelar ibu tunggal selepas pemergian suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung di kediaman mereka di Jakarta, Indonesia.
Namun, ada juga suara-suara ‘nakal’ netizen yang mempersoalkan pemakaian bulu mata palsu BCL ketika mengerjakan umrah semalam.
Memetik portal https://muftiwp.gov.my/, haram hukumnya memasang bulu mata palsu sementara dan separa kekal bagi tujuan kecantikan dengan menggunakan bulu atau rambut manusia, haiwan, bulu sintetik, tanpa keizinan suami. Ini kerana terdapat unsur penipuan dan mengubah ciptaan Allah SWT. Namundibolehkan memakai bulu mata palsu yang menggunakan selain rambut manusia atau bulu najis, dengan keizinan suami, dan tidak menggunakan bulu mata palsu separa kekal yang menghalang air untuk bersuci. Ini kerana bercantik dan berhias untuk suami itu digalakkan dalam Syarak.
Meskipun majlis perkahwinan mereka menjadi bahan bualan ramai terutama acara ‘after party’ yang dilihat kesemua tetamu dan pasangan pengantin menari ‘sakan’ selain mengenakan busana mencolok mata, semoga kunjungan ke Tanah Suci memberi dimensi baharu dalam perjalanan rumahtangga pasangan ini!