Jangan pelik kalau tengok mak-mak orang dah tak vouge sangat macam zaman anak dara. Perangai perempuan ni, mereka auomatik jadi lebih cukupkan barang anak daripada kepuasan sendiri bila dah kahwin.
Ini dikuatkan lagi dengan perkongsian yang ditulis oleh mantan penulis majalah Mingguan Wanita, Muhamad Mat Yakim dalam salah satu ruangan Kelab 40.
Pada suatu hari, saya curi dengar dua orang rakan sepejabat bercerita mengenai kehidupan mereka – sebelum dan sesudah berumah tangga.
Adat wanita, kalau bersembang tak sah kalau tidak disentuh hal mekap, beg tangan, kasut dan seumpamanya. Tetapi cerita kawan yang dua ini, lain sedikit bunyinya walaupun hal kasut, mekap dan beg tangan tetap juga disebut.
Kata mereka, semasa zaman kegemilangan mereka dahulu, pantang tok nenek kalau pakai barangan yang tidak ada brand. Maksud tidak ada brand di sini, bukanlah tidak ada jenama langsung. Selipar jamban, tembakau sentil pun mesti ada brand, cumanya dalam cerita mereka, yang bukan jenama terkenallah, ataupun dalam kata lain, daripada jenis yang murah-murah.
Kasut dan beg tangan; paling tidak, Bonia, Sembonia, Alfio Raldo atau Carlo Rino. Minyak wangi Pleasures daripada Estee Lauder atau Chanel No. 5 sementara set rawatan muka sudah semestinya Clinique, Estee Lauder atau Lancome.
Begitulah bergayanya depa… hinggakan untuk yang dalam-dalam pun mesti ada brand. “Tak mainlah kalau tak ada brand mahal waktu tu …” kata seorang daripada sambil memuncungkan bibir yang saya ukur dari jarak tidak berapa jauh, adalah dalam lima enam inci perginya. Handal dia!
Saya yang sememangnya kurang arif tentang brand-brand pujaan orang perempuan terus pasang telinga. Akan tetapi, kata mereka lagi, sekarang ini mereka sudah tak berapa nak berselera pakai macam dulu-dulu. Lipstik, nampak yang RM15 pun capai, asal nama pakai!
Yang kelakarnya, kata mereka, kadang kala eye-shadow yang dibeli, semasa di kedai nampak warna biru tapi apabila ditenyeh, yang keluar merah jambu. Itulah akibatnya kalau beli barang murah!
Baju pula, kalau dulu pantang yang berharga bawah dari RM100. Sekarang, pakai yang RM30 pun sudah kira ok! Baju juga, kalau dulu mesti beli di toko-toko ternama, dalam kompleks yang juga ternama, sekarang terserempak di pasar lambak pun sudah tak kisah untuk menyambar!
Dengar itu semua, rasa ingin tahu saya makin meluap-luap. Apa, pasti berakhirkah zaman cemerlang, gemilang dan terbilang seseorang wanita apabila dia membuat keputusan untuk berumah tangga?
Mengapa boleh jadi begitu? Adakah sesudah kahwin, seseorang wanita sudah tidak perlu lagi bergaya seperti anak dara? Kalau ya, apa sebabnya? Apakah kerana sudah tidak ada siapa yang nak digoda? Maklumlah, sudah ada suami. Yang dikejar pun sudah dapat, tak perlulah nak jaga mekap. Begitulah dugaan saya setelah tercuri dengar pengakuan dua orang rakan sekerja itu!
Apabila soalan itu saya ajukan pula kepada mereka, kedua-duanya segera menyanggah. Kata mereka, bukan sebab tidak ada siapa yang nak digoda lagi menyebabkan mereka seakan sudah hilang selera hendak bergaya dengan barangan yang berjenama.
“Sebabnya adalah kerana sekarang ini, bagi kami, famili adalah No. 1. Famili adalah prioriti dalam berbelanja. Bukan tak teringin nak bergaya dengan barang-barang mahal dan berjenama macam dulu tapi setiap kali nak beli, teringat lebih baik duit yang ada itu dihabiskan untuk belanja famili.”
Misal kata, sebuah beg tangan Bonia yang berharga RM400. Bandingkan dengan wang yang sebanyak itu, berapa pasang baju anak-anak yang boleh dibeli? Paling tidak pun, untuk sekali musim raya sudah boleh lepas!
Dalam diam, saya akur. Kira-kiranya besarlah juga pengorbanan isteri-isteri yang seperti ini!
Kemudian berkata lagi mereka, suami bukan tidak pernah hulur RM400 atau RM500 lama-lama sekali untuk mereka pergi beli itu ini tapi setiap kali nak membeli, persoalan yang sama pasti berselang seli. Akhirnya yang dibeli adalah seluar baju untuk anak, sehelai atau dua helai kemeja untuk suami dan sepasang dua untuk mereka sendiri. Yang brand-brand tetap juga tidak dibeli.
Mendengar semua ini, saya teringat yang ada di rumah. Sejak dulu, memang saya tak pernah tengok dia memakai yang berjenama. Setidak-tidaknya, dua orang kawan saya itu pernah juga merasa walaupun sekarang, kata mereka, “sudah hilang selera!”
Akhirnya, saya insaf bahawa sebagai suami, saya sendirilah yang harus mulakan usaha. Kalau dia cantik, bergaya bukan untuk orang lain, untuk sayalah juga, tapi … kenalah tunggu cukup bulan, itu pun kalau masih ada baki setelah ditolak segala bil dan hutang piutang!
Mujur sebelum ini saya pernah dengar nasihat daripada isteri seorang pemimpin negara, wanita sebagai isteri dan ibu harus memulakan langkah penjimatan dalam perbelanjaan keluarga. Sebab itulah katanya setiap kali beraya, dua pasang baju kurung dengan harga RM60 sepasang dari bazar di Jalan Masjid India sudah mencukupi. Saya setuju sangat dengan kenyataan ini!