Jangan pelik kalau tengok mak-mak orang dah tak vouge sangat macam zaman anak dara. Perangai perempuan ni, mereka auomatik jadi lebih cukupkan barang anak daripada kepuasan sendiri bila dah kahwin.
Ini dikuatkan lagi dengan perkongsian yang ditulis oleh mantan penulis majalah Mingguan Wanita, Muhamad Mat Yakim dalam salah satu ruangan Kelab 40.
Pada suatu hari, saya curi dengar dua orang rakan sepejabat bercerita mengenai kehidupan mereka – sebelum dan sesudah berumah tangga.
Adat wanita, kalau bersembang tak sah kalau tidak disentuh hal mekap, beg tangan, kasut dan seumpamanya. Tetapi cerita kawan yang dua ini, lain sedikit bunyinya walaupun hal kasut, mekap dan beg tangan tetap juga disebut.
Kata mereka, semasa zaman kegemilangan mereka dahulu, pantang tok nenek kalau pakai barangan yang tidak ada brand. Maksud tidak ada brand di sini, bukanlah tidak ada jenama langsung. Selipar jamban, tembakau sentil pun mesti ada brand, cumanya dalam cerita mereka, yang bukan jenama terkenallah, ataupun dalam kata lain, daripada jenis yang murah-murah.
Kasut dan beg tangan; paling tidak, Bonia, Sembonia, Alfio Raldo atau Carlo Rino. Minyak wangi Pleasures daripada Estee Lauder atau Chanel No. 5 sementara set rawatan muka sudah semestinya Clinique, Estee Lauder atau Lancome.
Begitulah bergayanya depa… hinggakan untuk yang dalam-dalam pun mesti ada brand. “Tak mainlah kalau tak ada brand mahal waktu tu …” kata seorang daripada sambil memuncungkan bibir yang saya ukur dari jarak tidak berapa jauh, adalah dalam lima enam inci perginya. Handal dia!
Ads
Saya yang sememangnya kurang arif tentang brand-brand pujaan orang perempuan terus pasang telinga. Akan tetapi, kata mereka lagi, sekarang ini mereka sudah tak berapa nak berselera pakai macam dulu-dulu. Lipstik, nampak yang RM15 pun capai, asal nama pakai!
Yang kelakarnya, kata mereka, kadang kala eye-shadow yang dibeli, semasa di kedai nampak warna biru tapi apabila ditenyeh, yang keluar merah jambu. Itulah akibatnya kalau beli barang murah!
Baju pula, kalau dulu pantang yang berharga bawah dari RM100. Sekarang, pakai yang RM30 pun sudah kira ok! Baju juga, kalau dulu mesti beli di toko-toko ternama, dalam kompleks yang juga ternama, sekarang terserempak di pasar lambak pun sudah tak kisah untuk menyambar!
Dengar itu semua, rasa ingin tahu saya makin meluap-luap. Apa, pasti berakhirkah zaman cemerlang, gemilang dan terbilang seseorang wanita apabila dia membuat keputusan untuk berumah tangga?
Ads
Mengapa boleh jadi begitu? Adakah sesudah kahwin, seseorang wanita sudah tidak perlu lagi bergaya seperti anak dara? Kalau ya, apa sebabnya? Apakah kerana sudah tidak ada siapa yang nak digoda? Maklumlah, sudah ada suami. Yang dikejar pun sudah dapat, tak perlulah nak jaga mekap. Begitulah dugaan saya setelah tercuri dengar pengakuan dua orang rakan sekerja itu!
Apabila soalan itu saya ajukan pula kepada mereka, kedua-duanya segera menyanggah. Kata mereka, bukan sebab tidak ada siapa yang nak digoda lagi menyebabkan mereka seakan sudah hilang selera hendak bergaya dengan barangan yang berjenama.
“Sebabnya adalah kerana sekarang ini, bagi kami, famili adalah No. 1. Famili adalah prioriti dalam berbelanja. Bukan tak teringin nak bergaya dengan barang-barang mahal dan berjenama macam dulu tapi setiap kali nak beli, teringat lebih baik duit yang ada itu dihabiskan untuk belanja famili.”
Misal kata, sebuah beg tangan Bonia yang berharga RM400. Bandingkan dengan wang yang sebanyak itu, berapa pasang baju anak-anak yang boleh dibeli? Paling tidak pun, untuk sekali musim raya sudah boleh lepas!
Ads
Dalam diam, saya akur. Kira-kiranya besarlah juga pengorbanan isteri-isteri yang seperti ini!
Kemudian berkata lagi mereka, suami bukan tidak pernah hulur RM400 atau RM500 lama-lama sekali untuk mereka pergi beli itu ini tapi setiap kali nak membeli, persoalan yang sama pasti berselang seli. Akhirnya yang dibeli adalah seluar baju untuk anak, sehelai atau dua helai kemeja untuk suami dan sepasang dua untuk mereka sendiri. Yang brand-brand tetap juga tidak dibeli.
Mendengar semua ini, saya teringat yang ada di rumah. Sejak dulu, memang saya tak pernah tengok dia memakai yang berjenama. Setidak-tidaknya, dua orang kawan saya itu pernah juga merasa walaupun sekarang, kata mereka, “sudah hilang selera!”
Akhirnya, saya insaf bahawa sebagai suami, saya sendirilah yang harus mulakan usaha. Kalau dia cantik, bergaya bukan untuk orang lain, untuk sayalah juga, tapi … kenalah tunggu cukup bulan, itu pun kalau masih ada baki setelah ditolak segala bil dan hutang piutang!
Mujur sebelum ini saya pernah dengar nasihat daripada isteri seorang pemimpin negara, wanita sebagai isteri dan ibu harus memulakan langkah penjimatan dalam perbelanjaan keluarga. Sebab itulah katanya setiap kali beraya, dua pasang baju kurung dengan harga RM60 sepasang dari bazar di Jalan Masjid India sudah mencukupi. Saya setuju sangat dengan kenyataan ini!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Perceraian tidak memutuskan hubungan baik di antara bekas pasangan suami isteri. Mulianya dan sungguh berjiwa besar wanita ini, meskipun sudah berpisah hampir tujuh tahun, bekas isteri pelakon dan pelawak, Amran Aman Ramli atau lebih dikenali sebagai Amran Tompel, tetap membantu anak-anak untuk menjaga dan menguruskan Allahyarham hingga akhir hayat di kediaman di Taman Matahari Height, Senawang, di sini.
Anas Salmee Syed Mohamad, 53, bekas isteri yang setia menjaga bekas suami hingga ke akhir hayat. Kredit Foto: Bernama
Rasa Hormat & Tanggungjawab Pada Bekas Suami
Anas Salmee Syed Mohamad, 53, berkata perasaan sayang, hormat dan rasa tanggungjawab mendorong beliau untuk menjaga Allahyarham.
Beliau mula menjaga bekas suaminya itu pada Mac 2020 selepas Amran Tompel diserang angin ahmar kali ketiga yang menyebabkan dirinya terlantar, selain menghidap penyakit jantung dan darah tinggi.
“Hubungan saya dengannya tetap baik selepas berpisah pada Mei 2015, malah kami sering bertanya khabar. Berakhirlah urusan arwah di dunia ini dan kami bersyukur dapat mengurus serta menjaga arwah hingga akhir hayatnya.
“Melihat keadaan kesihatannya semakin merosot pada hujung tahun lalu, saya mengambil keputusan menjaga arwah bersama anak-anak di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah sewa anak beliau.
Kenangan sewaktu masih bersama sebagai suami isteri. Kredit Foto: Bernama
Anas Salmee memaklumkan, jenazah Amran Tompel selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang, kira-kira jam 10 malam tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata, Amran Tompel tidak banyak kerenah dan mudah dijaga sepanjang tempoh Allahyarham sakit terlantar.
“Rutin harian saya setiap hari selepas solat subuh, saya akan tengok dia sekejap, bagi dia makan dan pastikan makan ubat mengikut masa. Namun sejak beberapa hari lalu, keadaannya agak murung dan tidak memberi respons seperti biasa serta tiada selera makan,” katanya.
Kredit Foto: Bernama
Amran Tompel menghembuskan nafas terakhir pada usia 72 tahun disebabkan sakit tua, dan meninggalkan empat anak berusia antara 22 hingga 29 tahun.
Arwah adalah anak kepada pelakon, pelawak serta pengarah, Allahyarham AR Tompel, dan aktif dalam industri hiburan tanah air sekitar 1990-an.
Mingguan Wanita:Alhamdulillah, mulianya dan berjiwa besar sungguh wanita ini. Meskipun telah berpisah, namun tetap mempunyai hubungan baik dan setia menjaga bekas suami hingga ke akhir hayat.
Walaupun sedang bertarung nyawa, ibu yang positif Covid-19 tetap fikirkan anak dalam kandungan. Dan minta pada doktor, “Tolong selamatkan bayi saya.”
Ternyata tiada yang lebih utama daripada anak yang dikandung berbanding nyawa sendiri. Di saat antara hidup dan mati, seorang ibu masih merayu agar anaknya diselamatkan.
“Tolong Selamatkan Bayi Saya.”
“Tolong selamatkan bayi saya,” itu permintaan seorang pesakit Covid-19. Kepada Dr Tan Boey Warn, pegawai perubatan Unit Rawatan Rapi (ICU), Jabatan Perubatan Anestesiologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor.
Kongsi Dr Tan, 33, sehingga ke saat ini, dirinya tidak dapat melupakan kata-kata pesakitnya itu yang diungkapkan sebelum ditidurkan atau diintubasi.
Biarpun sudah biasa mengendalikan prosedur itu, namun Dr Tan mengakui sebak melihat harapan pesakit terbabit yang mahu melihat bayinya selamat walaupun sedang bertarung nyawa.
Walaupun Bertarung Nyawa
“Pesakit itu sedang hamil anak kedua dan mengalami Covid-19 yang serius, malah dia sendiri meminta bantuan pernafasan kerana sudah tidak berupaya untuk bernafas dengan baik.
“Keadaan paru-parunya juga agak teruk dan cara pengendalian pesakit itu agak berbeza kerana keadaannya yang hamil.
“Jadi, saya perlu mengeluarkan bayi dalam kandungannya dahulu sebelum meniarapkan badannya untuk diintubasi,” katanya.
‘Tolong Selamatkan Bayi Saya..’ Ibu Tetap Fikirkan Anak Dalam Kandungan
Sebelum menjalankan prosedur intubasi, Dr Tan berkata, dia perlu menenangkan pesakit dan tugas itu bermain dengan emosi.
“Jika pesakit itu Muslim, saya minta mereka berselawat dan membaca doa sebelum diintubasi.
“Begitu juga dengan pesakit yang menganut agama lain, saya akan beri semangat dan minta lakukan perkara sama (berdoa),” katanya yang mempunyai sembilan tahun pengalaman sebagai pegawai perubatan dengan enam tahun dalam bidang anestesiologi.
Semua Pihak Harus Memahami
Menyedari keresahan keluarga terhadap keadaan pesakit Covid-19, Dr Tan meminta semua pihak memahami dan menaruh keyakinan terhadap pegawai perubatan dan petugas kesihatan.
“Saya mohon pengertian masyarakat dengan kekangan serta kesibukan kami terutama yang bertugas di ICU.
“Keadaan dalam wad ICU Covid-19 sama sahaja, malah kami seperti angkasawan kerana perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap.
“Jadi, jika mereka tidak dapat menghubungi wad, bersangka baiklah kerana kita bukan enggan berkongsi perkembangan terkini tetapi ada kalanya tiada masa menjawab panggilan telefon,” katanya.
Mingguan Wanita : Lumrah seorang ibu, demi anak dia sanggup korbankan apa saja. Semoga semua pesakit Covid-19 di luar sana kuat berdepan dengan virus ini dan cepat sembuh.
Berita gembira buat peminat pasangan diraja ini, Kate Middleton yang merupakan isteri kepada Putera William, telah selamat melahirkan anak ketiga pasangan itu di hospital di London,semalam.Bayi lelaki pasangan ini dilahirkan pada 11.01 pagi waktu tempatan dan seberat 3.8 kilogram.
Menariknya, meskipun baru sahaja melahirkan anak, wajah Kate Middleton tampak sungguh berseri-seri, cergas dan anggun dengan memakai dress rona merah cili, malah manis mengukir senyuman serta memberikan lambaian mesra buat para peminat, rakyat dan media yang setia menunggu diperkarangan hospital.
Terdahulu, Putere William dan Kate Middleton, memilih untuk tidak mengetahui jantina bayi dengan lebih awal.Jantina bayi hanya diketahui ketika hari kelahirannya.
Pewaris Kelima Takhta Britain
Kenyataan Istana Buckingham menyatakan, William berada di sisi isterinya ketika Kate melahirkan pewaris kelima takhta Britain itu di Hospital St Mary di barat London.Dua lagi anak mereka, George dan Charlotte turut dilahirkan di hospital berkenaan.
“Ratu, Duke of Edinburgh, Putera Charles, Duchess of Cornwall, Putera Harry dan anggota kedua-dua keluarga dimaklumkan dan gembira dengan berita itu.
“Kate dan anak berada dalam keadaan sihat,” menurut kenyataan istana.
Bayi lelaki yang masih belum diberi nama itu merupakan cicit keenam Ratu Elizabeth dan berada di belakang George, Charlotte, William dan datuknya, Putera Charles, sebagai pewaris takhta.
Nama bayi ini akan diumumkan dalam beberapa hari lagi. Dijangka, nama-nama seperti Arthur, Albert, Frederick, James dan Philip antara nama ramalan bayi yang bakal dipilih oleh pasangan diraja ini.
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...