Astaghfirullah, mahalnya harga kuih raya sekarang ni. Nak tunjuk macam dulu pun takut!

20 tahun lepas, emak setiap tahun akan bersengkang mata, berkaftan longgar di dapur berlumur tepung dan bau harum mentega, menyiapkan kuih tat nanas kesukaan kami.

Biasanya saya jadi tukang terap doh, letak jem nanas dan lepas tu jadi orang paling kuat mengintai oven. Bukan tengok kuihnya, tapi ambil bau tat yang dibakar! Allahu, aroma itu… Sampai sekarang tersemat kemas dalam ingatan.

Hari ini emak lebih selesa membeli. Tiada lagi bau harum kuih raya yang dibakar atau bau manis jem nanas di dapur. Selain ‘pembantu-pembantu kecilnya’ dah membesar dan berkeluarga, emak lebih suka bersendirian di bilik, mengaji atau mendengar ceramah agama di televisyen.

Emak tak usahlah susah-susah buat kuih. Lagipun kos buat sendiri kadang-kadang lebih mahal daripada beli. Dapat penat lagi, ambil masa nak beribadah lagi.

Itu pujuk kami setiap kali dia teringat mahu buat kuih tat nanas dalam bulan puasa. Dan emak pun akur, kerana kami adik-beradik sentiasa bawa pulang berbekas-bekas kuih raya, yang tinggi, yang rendah, yang bertutup merah, yang berkaca, sebagai stok di rumah. Tradisi buat kuih itu pun mati.

“Bukan Suka-Suka Letak Mahal” Sekarang Hakak Baru Faham Kenapa Harga Kuih Raya Makin Tak Masuk Akal

Tempoh hari saya bawa emak shopping raya di Shah Alam, emak mengomel kenapa harga kuih raya sekarang mahal-mahal. Tak masuk akal tengok sebekas kecil kuih tat nanas, isinya mungkin 20-25 biji, dijual pada harga RM30. Kami jalan ke gerai lain, tapi semua kuihnya pun berharga sekitar RM25 – RM40.

Berbeza dengan harga kuih raya dulu-dulu. Kalau anda masih ingat, bekas bulat jernih tu, harganya lingkungan RM13 – RM15 jer, kan? Kadang-kadang waktu jualan lelong, jadi RM10 sebekas. Kuih pun banyak sekitar 50 biji, rupa cantik dan sedap. Haiiii… rindunya zaman kuih raya penuh semeja.

OK, PATUTLAH!

IKLAN

Tak mahu terus diburu tanda tanya, lebih baik saya jumpa sendiri pengusahanya. Dan 10 jawapan yang diterima ni memang buat kita mengangguk faham… Oh, patutlah harga kuih raya sekarang melambung tinggi! Bisik seorang sahabat, you should really write about this Cik Lin!

(1) Pengusaha terpaksa naikkan harga sebab kos bahan bakeri meningkat beberapa kali dalam tempoh setahun.

(2) Ada yang pilih menggunakan bahan berkualiti contohnya pure butter dan bukannya mentega biasa macam Buttercup.

(3) Rasa kuih yang menggunakan pure butter lebih sedap dan tahan lama. Tapi harganya mahal. Contoh bila promosi, harga Buttercup RM5.00 tapi pure butter RM9.00. Lebih kurang begitulah. Cuma pengusaha akan beli pukal untuk dapat harga murah.

(4) Sebilangan pengusaha kecil mengenakan caj penghantaran sekali pada kuih raya mereka. Nampak tak ketara, tapi kos minyak dan masa pun kenalah kira, kan?

IKLAN

(5) Faktor GST pun mempengaruhi. Pengusaha biasanya dah siap-siap beli barang mentah sebelum GST 0% semalam. Harga barang dulu lagi mahal.

(6) Kos bekas atau packaging pun mainkan peranan. Sekarang trend bekas acah hipster tu, balang kurus tinggi bertutup hitam. Lagi aneh bekasnya, lagi mahallah kuih rayanya. Tapi ini by demand. 

(7) Tengok area jualan dan target market. Biasanya area bandar raya besar dan padat seperti Lembah Klang, Johor Bahru, Ipoh atau Pulau Pinang memang lebih mahal.

(8) Ada konsep ejen. Untung orang tengah pun kenalah kira juga. Pengusaha tolak RM20, ejen mestilah caj lebih lagi.

(9) Kalau beli kuih raya di gerai, jangan lupa penjual kena cover kos sewa tapak dan pembantu jualannya. Kadang-kadang untung mereka sendiri pun ‘ciput’.

IKLAN

(10) Pengusaha berpengalaman atau terkenal dengan kesedapan kuih raya mereka. Yang ini pembeli memang sanggup beli walaupun mahal kerana dah tahu kualiti rasanya yang gerenti sedap.

Lepas baca penjelasan ni, agaknya hakak hakak macam saya faham tak? Iyalah, cuba kita buat sendiri kalau nak tau berbaloi ke tak. Cara terbaik untuk berjimat, mungkin kita boleh tempah terus daripada pengusahanya yang tinggal berdekatan rumah. Jimat kos penghantaran, ejen dan sebagainya.

“Bukan Suka-Suka Letak Mahal” Sekarang Hakak Baru Faham Kenapa Harga Kuih Raya Makin Tak Masuk Akal

RAMALAN LEPAS GST 0%

Nampaknya kemungkinan harga kuih raya turun lepas 1 Jun 2018 memang tipis. Kata kawan baik saya dari Bakes By Delia, banyak pengusaha pilih untuk kekalkan harga sekarang. Tapi saya memang setia beli biskut cip coklat beliau, tiap-tiap tahun wajib order sebab sedap sangat. Yang ini berbaloi-baloi beli, anak-anak berebut makan!

Diam diam saya jumpa emak dan janji tak membazir beli kuih raya mahal-mahal. Emak kata beli yang anak suka makan saja. Untuk emak, carikan kuih tat nanas macam biasa. Saya pandang wajah tuanya. Aduh, tiba-tiba aroma tat nanas buatan emak menerpa ke hidung. Rindu kena marah sebab sepahkan tepung dulu! Nostalgia betul.

Selamat ber-shopping raya! Sehingga itu salam sayang daripada saya, Editor Mingguan Wanita… Norzalina Mohd Alias.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI