“Bukan Suami Tak Mahu Hargai Dalam Bentuk Material, Tapi…” Ini Isteri Kena Faham!

Share

Benar, kadang hati terusik tengok kawan-kawan di media sosial tayang hadiah yang suami bagi sebagai tanda menghargai penat lelah isteri. Ada para suami yang menghargai sebab isteri berkorban lahirkan anak,  dan ada golongan suami yang bagi hadiah berharga pada isteri sebab hadiah hari lahir.

Itu biasa dan pastinya newsfeed di muka buku dan instagam sesekali akan meriah dengan gambar-gambar hadiah berharga. Mana yang pernah rasai pastinya turut teruja tetapi macam mana andai kata suaminya langsung tak pernah bagi dia hadiah?

Cuba letakkan diri dalam kotak kasutnya. Sedih, dan barangkali dia bukan tak nak bagi tetapi duit yang ada pun cukup-cukup makan. Realitinya tak semua mampu memberi sesuatu dalam bentuk material dan macam yang Puan Intan Dzulkefli kongsikan, wanita memang suka dengan hadiah. Tetapi…

Nah, cuba renungkan seketika…

Suka Tapi Faham Dengan Ekonomi Suami

Naik di wall FB ni, kawan-kawan kongsikan post viral, seorang suami hadiahkan barangan kemas bernilai 4 angka menjengah usia perkahwinan ke tahun 9. Subhanallah, sweetnya masyaAllah. Suka sangat tengok kebahagiaan suami isteri macam ni.

Terusik juga hati bila membaca komen isteri yang teringin juga sedemikian, namun setelah berpuluh tahun berkahwin, tiada pun mendapat penghargaan bernilai seperti itu. Iyalah, tipulah, hati wanita mana tak terusik. Majoriti wanita memang sukakan emas kalau tidak sebagai perhiasan pun, disimpan sebagai aset.

Namun, hati ini lebih terusik dengan komen seorang suami yang mengatakan tatkala dia membaca coretan itu, dia terkenangkan isterinya. Jauh di sudut hati, dia juga ingin menghargai isterinya sebegitu.

Masuklah ke kedai emas dan pilihlah mana satu pun yang adinda mahu. Pasti senyuman adinda hingga ke telinga. Namun, apa daya, masa belum tiba, kekanda belum lagi mampu.

Tersentuh hati ini. Semoga dipermudahkan urusannya.

Kalau Dia Mampu, Mesti Dah Buat

Begitulah. Kadang, bukan suami tak mahu menunjukkan penghargaan dalam bentuk material terutamanya yang menjadi idaman isteri, yang harganya kadang hingga cecah beribu.

Namun, sebagai isteri, kitalah orang yang paling sedar kudrat, kemampuan, jumlah gaji, jumlah simpanan, jumlah hutang suami kita kan? Kalau makan suami selama ini pun bercatu semata-mata untuk melunaskan keperluan anak isteri, hendak memberi nafkah bulanan kita anak beranak pun hingga buat 3-4 pekerjaan, rasanya tak perlulah tag nama suami sambil komen, “bila nak buat surprise begini?” Atau “Teringin nak macam ni jugak,”

Bukan apa, takut suami kecil hati, jauh hati, tawar hati. Terasa segala pengorbanan, penat lelah, kerja kerasnya selama ini seolah isteri tidak nampak.

Saat ini, saya cuma teringat kisah Allahyarham TGNA yang berpesan kepada isterinya agar tidak mengenakan barangan kemas yang berlebihan sekiranya waktu bertemu rakyat jelata kerana bimbang ada di antara rakyat merasa teringin hingga meminta-minta & akhirnya menyusahkan hati suaminya. Allahuakbar. Halusnya budi Tuan Guru. Subhanallah.

Wahai isteri,

Jika suami ‘belum pernah’ beri, tak semestinya ia kerana dia ‘tak mahu’ beri. Mungkin itu bermakna dia ‘belum mampu’ hendak beri. Sebagai isteri, doakanlah semoga Allah murahkan rezekinya & doakan agar bila dia sudah mampu kelak, mudah-mudahan dia diingatkan untuk menghargai isteri yang selama ini bersabar di sisi. InsyaAllah.

Wahai isteri, sekiranya suami meredhai kita selama hayat ini, Allah pun meredhai kita, maka balasannya insyaAllah syurga.

Di syurga kelak, sebagai ketua bidadari suami, mintalah apa sahaja, pasti Allah akan kurniakan, walau di dunia, kita cuma duduk di rumah buruk dengan persalinan yang lusuh kerana bersuamikan lelaki yang miskin.

Oleh itu, wahai isteri, bersabarlah & tenang-tenangkanlah hati, iya kita juga teringin… namun, jangan kerana menginginkan sesuatu hingga mengguris hati suamimu yang soleh & baik itu.

InsyaAllah semoga Allah permudahkan.. bersabarlah.. jangan bersedih hingga membebankan hati sendiri & hati suamimu.

Bahagialah menurut cara kita, seadanya.

Muhasabah saya terutamanya yang pasti banyak sudah mengecilkan hati suami sendiri. Astaghfirullah. Ampun bang.

Alhamdulillah ‘ala kulli hal.

Published by
Nadia