Sekiranya Syura Badron, 32 tahun tampak lebih matang dan keibuan, Nabila Razali, 26 tahun kelihatan bersahaja dan agak lincah. Seperti Syura Badrun yang kelihatan kurang bernasib baik dalam industri seni, begitu dengan Nabila Razali.
Tetapi ternyata kedua-duanya miliki semangat yang kental pabila masing-masing terus mencuba nasib dengan melakukan pelbagai pembaharuan bagi membuka mata peminat di luar sana.
Dalam diam, sudah tahun keempat Syura bergelar ibu tunggal. Ternyata menguruskan anak-anak seorang diri tanpa bantuan seorang lelaki bukan satu perkara yang mudah. Tetapi buat Syura, segala usahanya hari ini adalah semata-mata untuk kesenangan hidup anak-anaknya kelak.
Lumrah anak-anak apabila Syura terlalu sibuk mereka akan mula menyoal, tetapi Syura bersyukur anak-anaknya mula memahami apabila setiap kali membawa mereka ke lokasi penggambaran atau studio, mereka secara tidak langsung akan nampak apa yang ibu mereka lalui setiap hari. Bagi Syura, paling penting anak-anaknya faham cara kerja selama ini jadi tidaklah anaknya membandingkan dirinya dengan orang lain.
Nurul Dania Irdina, 11 tahun, Nurul Qaisara Sofea, 9 tahun dan Muhammad Irfan Aryan, 7 tahun adalah anugerah tidak ternilai buat Syura. Sebagai ibu, dirinya sanggup melakukan apa sahaja agar masa depan anak-anaknya terjamin. Kadang-kadang kesibukan mencari membuatkan dia alpa dengan keperluan anak-anak tetapi kebiasaannya dia akan cuba mencuri masa berkualiti untuk bersama anak-anaknya.
“Barangkali orang ingat kita hidup senang apabila bergelar selebriti, tetapi kita sendiri tahu turun naiknya. Memang mencabar apatah lagi kita menjadi public figure, saya sendiri tidak suka pamerkan kesusahan yang saya lalui pada orang luar. Bimbang sekiranya orang fikir negatif. Selagi boleh disimpan di dalam hati, saya simpan.
“Anak-anak juga jadi penguat untuk saya lakukan pelbagai perkara. Sebelum ini saya ada jalankan perniagaan lunchbox iaitu bekalmakkita tetapi saya hentikan ketika saya sertai Gegar Vaganza. Mungkin selepas ini saya akan kembali aktif.”
Jika selama ini Syura sering kali dilabel sebagai artis kampung, sedih memang sedih apabila ada segelintir peminat berpandangan demikian. Namun bagi Syura, dirinya telah melakukan yang terbaik dengan mempamerkan bakat yang dianugerahkan Tuhan, sebaiknya mereka perlu cuba memberi nasihat atau peluang untuknya memperbaiki kelemahan dalam bidang nyanyian.
Tetapi kecaman tersebut langsung tidak melemahkan dirinya kerana selama ini Syura mempelajari teknik nyanyian secara sendiri tanpa bantuan sesiapa. Berpeluang mengambil guru vokal ketika Gegar Vaganza adalah kali pertama buat Syura setelah sekian lama berada dalam industri seni. Jelasnya itulah kali pertama dirinya belajar teknik menyanyi dengan betul dari seorang guru vokal.
Nabila Razali atau mesra disapa Bella kini makin diterima baik oleh peminat dengan kemunculan lagu Pematah Hati. Lagu yang berentak cathcy secara tidak langsung menjadi siulan ramai. Namun begitu tidak dinafikan, masih ramai lagi netizen yang mengecam setiap tindak-tanduk Bella.
‘Untuk pengetahuan semua, dari dahulu hingga sekarang untuk saya berada di tahap ini adalah kuat dan tabah menerima kritikan serta segala tohmahan orang. Sebenarnya segala yang saya lakukan bukanlah atas tujuan untuk memviralkannya.
“Cuma saya sentiasa berharap agar dapat berjumpa orang baik untuk teruskan karier saya dan alhamdulillah saya dah bertemu dengan management yang baik dan kawan-kawan yang menyokong saya iaitu Hael Husaini yang telah mencipta lagu Cemburu dan Pematah Hati untuk saya,” jelasnya lagi.
Tambah Bella lagi, jika diberi pilihan sama ada nyanyian atau lakonan, sememangnya dirinya lebih selesa untuk menyanyi. Menyanyi tidak mengambil masa yang terlalu lama dan kita dapat menikmatinya dan seterusnya yang terbaik apabila audiens yang mendengar turut bernyanyi bersama-samanya.
Sesungguhnya bergelar artis dalam dunia seni yang makin mencabar hari ini memberi pengalaman manis dan pahit buat insan bernama Nabila Razali. Penyertaannya dalam Akademi Fantasia sebenarnya merupakan pengalaman terindah buatnya kerana ianya menjadi titik-tolak buat Bella untuk terus aktif dalam bidang nyanyian dan masih berada di dalam industri sehingga hari ini.
Manakala kenangan pahit yang sukar untuk dirinya lenyapkan dari fikiran juga apabila berada di Akademi Fantasia apabila dikritik teruk. Biar pun pahit Bella cuba menerimanya dengan hati terbuka dan perkara tersebut membuatkan dia kekal dalam industri selama ini.
Sering kali Bella mendapat kecaman netizen, menurut pelantun lagu Cemburu ini sebenarnya bukan mudah untuk menghadapinya. Namun berkat sokongan keluarga dan insan keliling terutamanya kawan-kawan membuatkan Bella tidak cepat melatah menghadapi segalanya. Kadang-kadang Bella cuba fikirkan setiap satu perkara sama ada baik atau buruk demi perjalanan kariernya yang akan datang.