Seronok sebenarnya bila adik beradik ramai ini. Boleh jumpa macam-macam perangai adik-beradik. Abang sulung ini, Pe Chey berkongsi kisah 7 adik adiknya.
Setiapnya ada peel tersendiri. Ada yang melucukan hati, ada yang menduga emosi. Sebagai abang sulung, tentunya besar tanggungjawab Pe Chey.
Namun, menjaga 7 adik inilah yang buatkan hati abang sulung bahagia. Lagi-lagi lihat setiap adik-adik membesar dengan baik dan punya kehidupan masing-masing.
Bila aku ada 7 orang adik, aku kena hadap 7 jenis peel atau pun perangai diaorang ni.
Bukan senang jadi abang ni. Nak jaga pulak 7 orang adik, 2 lelaki, 5 orang perempuan.
Adik bawah aku, perempuan.
Norshahriza namanya. Lahir, tahun 1977. Kat Muar jugak sama macam aku. Aku tak ingat sangat masa dia lahir sebab masa tu baru 3 tahun.
Masa zaman sekolah rendah, aku darjah 4, dia baru darjah satu. Jadinya kami jarang jumpa sebab lain sesi.
Tapi dia ni sederhana dalam pelajaran. Bila habis sekolah rendah, dia mintak nak belajar pondok.
Nun kat Baling Kedah.
Pernahlah sekali aku datang dengan abah naik keretapi jenguk dia masa kat pondok dulu. Biasalah, zaman tu sekolah pondok memang macam main pondok-pondok je gaya.
Dia kahwin lambat. Adik bawah dia yang kahwin dulu. Ada anak sorang, lakinya, adik ipar aku paling rajin. Suruh je apa, kompom on.
Norshafri, adik aku seterusnya.
Dia ni lahir tahun 1979. Masa dia lahirlah,kami pindah Tapah. Ingat lagi, dia dalam buai, masa dalam Land Rover, dari Muar nak le Tapah.
Berbelas jam nak sampainya masa tu.
Dia nilah adik aku yang pertamanya jejak kaki ke universiti. Alhamdulillah, dia bijak. Sekolah menengah pun kat MRSM Kulim. Pelajar seeba boleh. Sampai beduk budak pun boleh.
Dekat nak SPM, kena buang sekolah.
Anak polis. Mana ada yang lemah lembut, semuanya kepala angin. Pantang diusik, sah bertumbuk. Berdarah tu fikir kemudian, janji puas dapat bertumbuk. Hati muda.
Dia ni zaman U dah ada awek. Akulah jenuh nak menjawab soalan mak,
“Apit dah ada awek Da, kau takkan takde awek lagi? Bawaklah rumah, boleh mak tengok.”
Aje jenuh aku. Masa tu tak de sapa pun nakkan aku. Jenuh dating, tapi clash. Tak jadi.
“Uda tak de lagi mak. Eloklah dia dah ada awek. Nanti nak nikah, pakai je duit uda. Nanti uda nak nikah, dia gantikan balik.”
Aku bagi jawapan abang-abang.
“Ah, mak nak kau nikah dulu. Biar kau lepas dulu, baru dia. Kau cari awek cepat.”
Mampus aku. Nasib baik bini nakkan aku. aku nikah tahun 2002, Apit nikah tahun 2003.
Anak 6 dah dia. Aku pun 5 je.
Settle.
Baca sini : Apa seronoknya ada 7 adik-beradik perempuan
Adik aku seterusnya, Norshakila. Lahir 1980.
Dia ni pun bijak. Dia pun dapat masuk U. Bekas pelajar program apa tah. Dia kena duduk asrama masa tingkatan 1 ke 4, lupa aku. Kat Tanjung Malim.
Aku pulak masa tu kat Sabah, masuk maktab.
Bila aku balik kampung, aku tanya dia,
“Ok ke kau duduk asrama Kila?”.
“Aku tak suka. Aku nak duduk rumah.”
“Duduklah asrama. Bukan senang dapat. Kau je anak abah yang terpilih La. Bila lagi.”
“Aku tak suka duduk asramalah Da.”
Aku tau dia homesick. Sampai pernahlah dia tulis kat almari baju. “Kila dalam kenangan.”
Aku baca aku gelak. Macam nak.mati je ayatnya. Inilah adik ramai, banyak hal.
Bawah Kila, Norhayati. Lahir tahun 1983.
Ini adik aku paling kelakar aku rasa. Dari kecik, asyik malang manjang. Dia ni dulu sekolah Pasti, dari kecik sampailah umur 8 tahun. Duduk asrama. Sampailah satu masa tengok,
“Kenapa kau berkudis ni Ti. Ya tuhan, dah rupa anak terbiar aku tengok
.”Yelah. Budak lagi, dah duduk asrama.
Berkudis tangan, kaki. Dah rupa budak terbiar.
Abah tukarkan dia sekolah kebangsaan. Alhamdulillah, taklah benak mana. Masa UPSR, dia dapat 3A 1B. Alhamdulillah, dia cepat tangkap. Aku ingatkan dah takde A.
Sekarang, dia dah jadi cikgu. Mengajar English. Aku pun tak tau mana dia pandai English ni. Aku memang bebal English. Dia je sorang yang lepas, siap pandai English. Tengok kartun kot.
Anak 3, tiga-tiga lelaki.
Bawah Yati, Norhaya. Lahir tahun 1985.
Diaorang ni selang 2 tahun je usia. Masa mak beranakkan dia, abah dah tak tau nak letak nama apa. Anak makin bersepah.
Abah siap tanya aku,
“Uda, cuba kau bagi nama nak letak nama apa adik baru lahir ni.”
“Entahlah bah, uda pun tak boleh nak fikir. Macam dah habis nama nak bagi. Takkan nak bagi nama Senah. Jauh lari tu bah.”
Abah muka senget.
“Ahhh, abah tau nak letak nama apa.”
Balik je abah daripada buat surat beranak, abah tunjuk kat aku nama apa dia bagi.
NORHAYA.
Aku punya gelak. Aku kata kat abah,
“Norhaya ni dekat dengan Norhayati bah.’
“Aah, abang buang ti, abah letaklah Norhaya.”
Kami tergelak. Abah bila melawak memang taraf arwah AR Tompel. Selamba je muka dia.
Alhamdulillah, Aya ni pun graduate Uitm. Art n Design. Sekarang jadi cikgu kat MRSM Pendang. Anak 2 orang. Sepasang.
Bawah Aya, Mohd Al Amin. Lahir tahun 1986.
Dia ni sorang je yang abah bagi nama ada Mohd. Mohd yang dipercayai. Nama sedap, tapi dia nilah payah nak dijaga. Ada aje peelnya.
Dia ni telinga tak berapa ok, entah, dari kecik tak pernah cek hospital. Jadi dia ni kena cakap banyak kali, tu pun lambat dia nak faham.
Sekolah dia? Hmmm, paling buat abah menangis tengok keputusan. Sebak abah. Banyak huruf lain selain A. Dia suka rebut huruf F. Aku pun penat nak nasihat.
Alhamdulillah, nikah jugak dia akhirnya.
Ada juga orang nakkan dia. Aku risau jugak.
Tapi tulah, tuhan maha kuasa. Dia yang jaga mak masa mak sakit. Dia yang teman abah, lepas mak meninggal. Rezeki dia.
Adik paling kecik, Noraini. Lahir tahun 1990.
Dia nilah potostat muka mak. Saiz badan pun macam mak. Tak banyak cakap. Dengan aku pun dia tak banyak mintak bukan-bukan.
16 tahun pun jarak aku dengan kecik ni.
Tapi alhamdulillah, dia pun graduate Uitm. Dia pun Art n Design department. Masa dia dengan Aya kat UitM, akulah banyak tengokkan.
Nak motor, aku bagi motor aku. Nak duit, aku bagi duit, padahal duit tu nak beli susu anak. Aku layan. Adik aku jugakkan. Takkan aku nak pelepas diaorang terkontang-kanting.
Dia kerja kilang Jepun sekarang. Belum nikah tapi dah ada kereta Axia hutang 9 tahun. Dia ni sorang je yang beradik dengan aku. Dan dia bahasa diri dia adik. Dia panggil aku abang uda.
Alhamdulillah, 7 orang adik aku semuanya ada kehidupan masing-masing. Ada yang duduk kondo, ada yang duduk rumah Semi D, ada yang mertua bagi rumah, aku je tak ada rumah.
Rumah aku duduk ni pun nama isteri.
#NfI
Berapa orang adik kau? Sorang? Aku 7 orang.
Mingguan Wanita : Seronok kan bila adik beradik ramai ni. Macam-macam perangai boleh jumpa. Tapi dah nama pun adik beradik, air dicincang itu tetap takkan putus.
Sumber/Foto : Pe Chey
SERTAI & DAFTAR SEKARANG KURSUS KEMAHIRAN ASAS BANGKIT WANITA:
Yuran murah dan berbaloi-baloi. Klik link di bawah ini:
Jahit Baju Kurung Pesak : https://toko.ideaktiv.com/product/jom-jahit-baju-kurung-buat-duit-jahit-di-rumah/
Cookies Viral : https://toko.ideaktiv.com/product/cookies-viral-buat-sampai-jadi/
Kuih Frozen : https://toko.ideaktiv.com/product/aneka-kuih-frozen/
Roti & Bun : https://toko.ideaktiv.com/product/asas-bakeri/
Untuk pertanyaan hubungi : 0196328758
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram https://t.me/bangkitwanitaMW