Ternyata bukan mudah untuk berbuat baik dan ikhlaskan hati. Kadang-kadang dalam membuat kebaikan, ada juga terdetik di hati kurang rasa ikhlas. Lebih-lebih lagi setelah kita berbuat baik, kita tak mendapat balasan seperti kita harapkan.
Memang bab ikhlaskan hati bukan satu benda yang senang. Walaupun tak senang ikhlaskan hati, tapi cubalah. Seperti peniaga akok ini, setelah memberi RM 20, akhirnya Allah beri padanya rezeki tergolek RM 50.
Ikuti perkongsian Muhammad Ikram Rosdi ini dan fahami apa yang cuba disampaikan :
Semalam dapat satu request dari customer minta hantar akok ke Bangi lama, akak tersebut minta tolong sangat hantar sebab anak nak makan. Tapi katanya nak dalam RM 5 jer. Terdiam kejap.
Sudahlah jauh, lepas tu RM 5 jer. Kalau ikutkan luar kawasan, Bandar Baru Bangi aku ambil minimum order 4 set bergantung lokasi. Tapi tergerak juga hati untuk terima.
Hari itu ada 9 tempat nak kena hantar. Jadi aku start dengan hantar yang beliau punya, bermula dari tempat paling hujung. Sampai sahaja di lokasi, aku lihat sebuah rumah yang agak sedikit serba kekurangan dari pandangan mata aku. Kemudian seorang anak kecil keluar.
“Yeeaa, kuih akok kuih akok !”
“Pakcik ni duit”, di tangannya ada segenggam duit syiling yang dihulurkan kepada ku.
Entah kenapa hati aku terkedu. Aku ambil duit darinya. Secara spontan aku terseluk poket seluar. Ada RM 20. Lalu aku panggil kembali anak kecil tersebut yang sedang beransur masuk ke dalam rumah.
“Adik! Mari sini kejap”
“Nah duit raya. Nanti boleh belanja family makan-makan”
Mukanya tersenyum gembira. Selepas mengucapkan terima kasih, si kecik tersebut terus meluru masuk dan aku teruskan perjalanan ku ke destinasi lain.
Nak dipendekkan cerita, selepas itu dilokasi penghantaran kedua, keempat, kelima dan ketujuh, aku tidak dibayar cas penghantaran. Tipulah kalau aku katakan tak terdetik langsung rasa kecewa dihati.
Yelah. Untung sekeping akok baru berapa sen. Minyak, mantainance motor, penat dan masa tak diambil kira. Setakat seorang dua, mungkin tak rasa ralat sangat. Lagi pun, baru tadi buat baik. Rasa ikhlas tadi dah jadi macam tak ikhlas dah.
Apa pun, yang nyata syaitan tetap akan berusaha untuk menghasut hati seorang manusia. Jadi aku cuba untuk tetap bersangka baik. Sebenarnya aku langsung tak salahkan mereka. Mungkin mereka terlupa, mungkin tidak perasan aku ada mention cas COD.
Atau mungkin juga mereka ada kekangan kewangan. Sebab aku sendiri pernah alami situasi sebegini. Lagipun seperti mana yang aku mention cas COD seikhlas hati, sama ada dapat banyak, sedikit atau tak dapat langsung, aku sendiri perlu terima.
Baca Juga Di sini:
Nak Berubah, Kena Didik Hati Ikhlas & Bukan Bagi Alasan Belum Sampai Seru
Walau Pun Penat, Isteri Bekerja Kalau Nak Lubuk Pahala;Tolong Ikhlaskan Hati
Info Menarik Klik Saja di sini.
Setibanya dilokasi kelapan, aku hulurkan 4 set akok yang berharga RM 20 kepada pelanggan setia aku, Puan Halimah. Disusuli dengan bayaran.
“Eh puan terbagi lebih RM 50 ni”, kataku sambil membelek sekeping note Rm20 dan Rm50.
“Takpe ambil jer. Upah delivery, memang niat nak bagi…”ujar beliau. Sebenarnya ucapannya panjang lagi. Tapi aku lupa sebab dalam keadaan terperanjat.
Aku cuba kira kembali upah delivery yang aku perolehi. RM 2, RM 3, RM 50 dan RM 5. Total Rm60. Alhamdulillah rezeki bergolek.
Kesimpulannya:
1. Dalam keadaan kita fikir kita susah, sebenarnya lebih ramai lagi yang lebih susah daripada kita
2. Bukan senang nak ikhlaskan hati. Tapi cubalah dan sentiasalah bersangka baik.
3. Jangan sesekali mengalah untuk berbuat baik atau berubah jadi baik. Walaupun kita berterusan diuji tapi percayalah, Allah tidak akan kejam pada hambanya. Tapi sebaliknya kitalah yang kejam pada diri sendiri diwaktu lampau kita
#akokpahorbangi
MW: Dalam berbuat baik ini, kita kena harus istiqomah. Insyallah mungkin di peringkat permulaam nampak payah, tapi lama-kelamaan mak,ayah akan terbiasa dan perasaan ikhlas itu datang dengan sendirinya.
Sumber: Muhammad Ikram Rosdi