‘Bukan Sekadar Sarapan..’ Ada Sebab Dr Maszlee Saran Tonton Filem Raatchasi

Share

Jiwa dalam filem tamil Raatchasi ini lain macam. Watak utamanya Lakonan Jyothika sebagai guru besar bernama Geetha Rani berjaya memukau anda dari minit pertama hingga tamat jalan cerita.

Bagaimana beliau, menjadi guru besar yang berdisiplin lagi tegas mengharungi liku cabaran membaik pulih sekolah kerajaan yang serba daif malah guru dan para pelajarnya berdepan masalah disiplin yang kronik.

Luar biasanya filem arahan S Gowthamraj ini hingga memukau Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. Kerana jalan ceritanya menterjemahkan aspirasi yang beliau mahukan dalam pendidikan anak-anak di negara ini.

Salah satunya, ‘guru boleh duduk makan sekali dengan anak-anak murid.’ Melalui inisiatif Program Sarapan Percuma yang bukan sekadar pemberian makanan, sarapan pagi untuk anak-anak.

Tulis Dr Maszlee Malik di instagramnya,

Dua bulan lepas filem ini keluar. Semalam saya menontonnya bersama pegawai-pegawai.

Saya akan tulis artikel mengulas filem ini. Yang pasti, filem ini memang wajib tonton. Jalan ceritanya luar biasa. Wataknya sempurna.

Berbeza rasanya menonton sebagai Menteri Pendidikan. Setiap babak sentiasa saya refleksikan dengan keadaan di negara kita.

Mahu Lihat Guru Boleh Duduk Makan Sekali Dengan Pelajar

Geetha Rani adalah watak pengetua adiwira yang sangat hebat. Beliau membuktikan kepada kita bahawa perubahan yang besar itu bukanlah mustahil.

Banyak sekali dasar dan perubahan yang kita sedang gubal untuk dilaksanakan telah berjaya digambarkan dalam filem ini.

Misalnya inisiatif PSP (Program Sarapan Percuma). Filem ini menterjemahkan aspirasi saya yang lebih dari sekadar makanan,

tetapi saya ingin melihat guru-guru boleh duduk makan sekali dengan anak-anak kita.

Begitu juga dengan isu keciciran murid. Geetha telah berjaya melibatkan semua pihak untuk atasi isu keciciran murid, termasuklah pihak polis. Ini yang sedang kita usahakan. Kita nak pastikan ‘enforcement’ itu berlaku di semua penjuru agar tak ada lagi kanak-kanak yang tercicir.

 

Tonton Filem Ini. Segera!

Bukan itu sahaja. Geetha juga berjumpa dengan semua ibu bapa pelajar. Tubuhkan semacam Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) untuk pastikan ibu bapa ini terlibat aktif dengan pendidikan anak-anak mereka.

Menjadikan pendidikan adalah visi kolektif semua pihak adalah antara hasrat terbesar saya. Kerana saya yakin, pendidikan harus berupaya menjadi objektif komuniti setempat, malah pendidikanlah yang akan meningkatkan taraf hidup mereka.

Semua pendidik, ibu bapa, murid-murid dan sesiapa sahaja, saya sarankan untuk tonton filem ini. Segera!

Sumber/Foto : Maszlee

Published by
Netty Ah Hiyer