
Isi Kandungan
ToggleJiwa dalam filem tamil Raatchasi ini lain macam. Watak utamanya Lakonan Jyothika sebagai guru besar bernama Geetha Rani berjaya memukau anda dari minit pertama hingga tamat jalan cerita.
Bagaimana beliau, menjadi guru besar yang berdisiplin lagi tegas mengharungi liku cabaran membaik pulih sekolah kerajaan yang serba daif malah guru dan para pelajarnya berdepan masalah disiplin yang kronik.
Luar biasanya filem arahan S Gowthamraj ini hingga memukau Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. Kerana jalan ceritanya menterjemahkan aspirasi yang beliau mahukan dalam pendidikan anak-anak di negara ini.
Salah satunya, ‘guru boleh duduk makan sekali dengan anak-anak murid.’ Melalui inisiatif Program Sarapan Percuma yang bukan sekadar pemberian makanan, sarapan pagi untuk anak-anak.
Tulis Dr Maszlee Malik di instagramnya,
Dua bulan lepas filem ini keluar. Semalam saya menontonnya bersama pegawai-pegawai.
Saya akan tulis artikel mengulas filem ini. Yang pasti, filem ini memang wajib tonton. Jalan ceritanya luar biasa. Wataknya sempurna.
Berbeza rasanya menonton sebagai Menteri Pendidikan. Setiap babak sentiasa saya refleksikan dengan keadaan di negara kita.
Mahu Lihat Guru Boleh Duduk Makan Sekali Dengan Pelajar
Geetha Rani adalah watak pengetua adiwira yang sangat hebat. Beliau membuktikan kepada kita bahawa perubahan yang besar itu bukanlah mustahil.
Banyak sekali dasar dan perubahan yang kita sedang gubal untuk dilaksanakan telah berjaya digambarkan dalam filem ini.
Misalnya inisiatif PSP (Program Sarapan Percuma). Filem ini menterjemahkan aspirasi saya yang lebih dari sekadar makanan,
tetapi saya ingin melihat guru-guru boleh duduk makan sekali dengan anak-anak kita.
Begitu juga dengan isu keciciran murid. Geetha telah berjaya melibatkan semua pihak untuk atasi isu keciciran murid, termasuklah pihak polis. Ini yang sedang kita usahakan. Kita nak pastikan ‘enforcement’ itu berlaku di semua penjuru agar tak ada lagi kanak-kanak yang tercicir.

Tonton Filem Ini. Segera!
Bukan itu sahaja. Geetha juga berjumpa dengan semua ibu bapa pelajar. Tubuhkan semacam Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) untuk pastikan ibu bapa ini terlibat aktif dengan pendidikan anak-anak mereka.
Menjadikan pendidikan adalah visi kolektif semua pihak adalah antara hasrat terbesar saya. Kerana saya yakin, pendidikan harus berupaya menjadi objektif komuniti setempat, malah pendidikanlah yang akan meningkatkan taraf hidup mereka.
Semua pendidik, ibu bapa, murid-murid dan sesiapa sahaja, saya sarankan untuk tonton filem ini. Segera!
Sumber/Foto : Maszlee
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Beza Usia 15 Tahun, Pemuda Ini Pilih Guru Sendiri Sebagai Isteri

Isi Kandungan
ToggleBiarpun beza usia 15 tahun, pemuda ini tekad pilih guru sendiri yang mengajarnya di sekolah menengah sebagai isteri yang sah.
Benarlah usia bukanlah penghalang jodoh, ramai saja pasangan yang bahagia setelah mengahwini wanita yang berusia. Paling penting wanita itu bukanlah isteri orang atau milik sesiapa.
Beza Usia 15 Tahun
Seorang pemuda di Jakarta, Indonesia menjadi sensasi internet apabila mengahwini gurunya sendiri yang mempunyai perbezaan usia sekitar 15 tahun dengannya, lapor laman berita Suara.com semalam.
Menerusi satu klip video yang tular dalam aplikasi TikTok, pelajar tersebut mengaku bahawa dia merupakan murid kepada isterinya itu pada tahun 2019 ketika dia masih menuntut di sekolah menengah.
Pemuda Ini Pilih Guru Sendiri
Pemuda tersebut turut berkongsikan sekeping gambar yang dirakam bersama isterinya pada tahun tersebut yang memaparkan dia memakai pakaian seragam sekolah.
Turut berdiri di sampingnya ialah isterinya yang ketika itu juga memakai seragam guru.
Gambar seterusnya yang diambil pada tahun 2020 memaparkan kedua-dua mereka berada di sebuah taman bunga dengan gaya mesra.
Guru Sendiri Sebagai Isteri
Pemuda itu kemudiannya memuat naik gambar terbaharu tahun ini yang memaparkan mereka memakai pakaian pengantin serta bergambar di hadapan sebuah pelamin. Dia mengaku bahawa mereka kini bergelar pasangan suami isteri.
Video perkongsian itu menjadi tular dengan ramai pengguna media sosial meluahkan rasa kagum dan gembira melihat kisah cinta tidak mengenal usia itu.
“Jodoh, maut, bukan kita yang tentukan kerana kita cuma menjalani hidup ini. Cinta tidak mengenal usia. Semoga terus berbahagia,” kata seorang netizen.
“Gurunya kelihatan muda walaupun berkahwin dengan muridnya, bahkan mereka nampak seperti sebaya. Dahsyat, abang!” komen seorang lagi pengguna. – AGENSI
Baca Juga Di Sini:
Jarak USIA 34 Tahun BUKAN Penghalang Bahagia, “Dia Banyak Bantu Saya Mendalami Islam”.

Umur Bukan Penghalang, Siapa Sangka Lelaki Warga Emas Usia 84 Tahun Bertemu Jodoh Buat Kali Ketiga!
Tujuh Tahun “Jaga” Jodoh, Akhirnya Kekasih Kahwin Dengan Sahabat Sendiri
Jarak Usia 25 Tahun Bukan Penghalang, Takdir Bertemu Jodoh Dengan Cikgu Sendiri!
Mingguan Wanita : Setiap orang berhak bahagia, lambat atau cepat jodoh yang ditentukan semuanya aturan Allah. Ternyata setiap yang berlaku ada hikmahnya dan Allah Maha Mengetahui.
Sumber : Kosmo Online
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pakai Pelitup Muka, Sanitasi Tangan Sampai Lencun, Tetap 12 Hari Positif Covid-19

Isi Kandungan
ToggleLelaki ini, Najmi Farisham tak pernah menyangka akan melalui detik disahkan positif Covid-19. Tidak pernah terbayangkan, malah dia begitu berjaga-jaga dengan pakai pelitup muka dan sanitasi tangan setiap kali keluar rumah.
Namun, takdir tuhan tiada siapa menduga. Bukan saja dia, malah ada ahli keluarga yang turut disahkan positif. Dan beliau berkongsi pengalaman, kekal bertenang biar pun sakit diuji dengan virus Covid-19.
Akhirnya Tuhan Pilih Aku..
Tak sangka, akhirnya kali ini Tuhan pilih aku untuk merasa jangkitan positif virus COVID-19 ini. Fuh!
Dari Madinah, kemudian terbang balik ke Malaysia, kena cucuk mulut hidung dah. Syukur, negatif ketika itu. Dapatlah merasa menginap di hotel 5 bintang, lengkap segalanya.
Masa itu, virus ini tengah mengganas betul. Kes di serata dunia naik mencanak-canak. Tambahan, dunia tengah kalut sebab masih belum jumpa cara nak mengawalnya.
Dah sampai di Malaysia, aku merantau ke sana ke mari. Rentas daerah, rentas negeri. Semuanya selamat. Namun itulah, kalau Tuhan tak nak beri lagi, pergilah ke mana sekalipun tetap tak dijangkiti.
Pada penghujung Mac lepas, kami sekeluarga disahkan positif.
Rasa Tak Sedap Satu Badan
Mula-mula umi kena, demam dan batuk-batuk. Terus dibawa ke hospital untuk kuarantin.
Aku dah rasa tak sedap badan dah. Tubuh berasa tak bertenaga sangat. Berdiri lama, rasa nak rebah. Demam menggigil, sakit kepala, sakit sendi badan. Nak tidur malam pun tak boleh.
Dalam hati memang dah rasa sangat, “Konfem positif ni nampak gayanya.”
Aku terus mengasingkan diri, duduk di bilik lain. Tak nak bercampur dengan orang lain terutamanya anak dan bini.
Akhirnya Pusat Kesihatan Daerah (PKD) telefon, mengarahkan kami sekeluarga untuk datang melakukan saringan sebab dikira kontak rapat dengan umi.
Pagi pergi buat saringan, tengah hari itu terus pegawai PKD telefon.
“Encik, Muhammad Najmi ke?”
“Ha, ya saya.”
“Saya nak beritahu result pagi tadi, yang encik positif. Nanti siap-siap kemaskan barang ya, ambulan datang jemput di rumah.”
Terkejut Tidak, Takut Apatah Lagi
Yang peliknya, aku tak rasa terkejut langsung. Takut pun tidak. Tak adalah duk terbayang yang bukan-bukan.
Mungkin sebab gejala yang aku alami itu dah teruk. Jadi aku memang mengharapkan supaya dikuarantin di tempat khas. Bukan di rumah. Risau benda ini berjangkit ke orang rumah, anak, adik-adik dan nenek yang ada sekali.
Lagipun aku faham benar yang virus ini tak ‘berbahaya’ untuk orang muda. Ramai yang dah survive. Dan benda ini harus dibendung sepenuhnya dalam tempoh 10 hari awal. Sebab tempoh inilah virus itu sangat aktif.
“Saya seorang ja kan yang positif? Orang rumah, anak, adik-adik, nenek yang swab sekali pagi tadi negatif kan?” tanya aku mendapatkan kepastian sebelum menamatkan perbualan.
“Ya encik, yang lain semua negatif,” jawabnya tenang.
Ah, syukurlah!
Masa ambulan sampai, seorang petugas lengkap berpakaian ‘angkasawan’ keluar menjemput. Ceria orangnya, membuatkan mental dan psikologi kita tak berasa lemah.
Aku melangkah naik ke ambulan dengan penuh tenang. Kepala tak diserabutkan dengan benda bukan-bukan. Aku hanya nak kuarantinkan diri di tempatnya saja, bukan di rumah.
Adik-adik Dan Nenek Pula Disahkan Positif
Seminggu kemudian, adik-adik aku dan nenek pula disahkan positif selepas saringan kedua. Ada yang bergejala, ada yang tidak. Dugaan sungguh! Mujurnya, anak bini kekal negatif.
Nenek dibawa ke Hospital Tumpat kerana berisiko tinggi. Dia ada kencing manis. Jadi memerlukan pantauan khas dari pihak hospital.

Adik-adik aku yang lain dihantar ke Hospital Pasir Puteh, tempat aku dikuarantinkan. Dah jadi macam tempat pertemuan keluarga pula. Kahkah. Doktor pun nak tergelak siap pesan lagi dekat aku, “Awak sebagai senior di sini, jaga bebaik adik-adik awak tu. Haha”
Hari Ke-12 Dibenarkan Pulang
Jujurnya sikap perwatakan para petugas di sini juga memainkan peranan penting untuk kami kekal kuat. Setiap kali kami berhubung untuk pemantauan, ceria dan riang saja nada suaranya. Tak adalah duk mengeluh ke, apa ke.
Makan cukup, rehat cukup di tempat kuarantin. Tak ada duk risau virus ini akan terjangkit dekat sesiapa lagi. Paling penting, kena kuatkan semangat. Jangan fikir bukan-bukan.
Hari ke-12, aku dibenarkan pulang. Kami sekeluarga survive, alhamdulillah! Kluster yang melibatkan kami pun, seingat aku dah diisytiharkan tamat dah.
Pakai Pelitup Muka, Tangan Disanitasi Selalu
Biarpun gejala yang dialami masih belum pulih sepenuhnya, namun yang paling penting tempoh aktif virus ini sudah tamat.
Kata doktor, tubuh badan bekas pesakit COVID-19 sudah membentuk satu imuniti baru untuk melawan virus ini. Jadi kami tidak akan dijangkiti bahkan tidak akan menjangkiti sesiapa lagi. Dalam erti kata lain, kami sudah selamat alhamdulillah!
Ini satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan, sungguh. Ketika dunia dan negara sendiri bertungkus lumus melawan wabak yang entah bila penghujungnya, aku dengan tak sengaja memberi ‘jasa’ dalam statistik angka. Kahkah!
Ya, kita tak minta pun nak kena. Pelitup muka, pakai. Tangan disanitasi selalu, sampai lencun kalau masuk ke pasar raya. Namun bila Allah takdirkan kita untuk menerimanya, jangan melenting. Tabah dan reda dengan ketentuan-Nya.
Bukankah ujian itu untuk menambahkan lagi iman kita?
Itulah.
Sumber/Foto : Najmi Farisham,
Bekas pesakit COVID-19.
Untuk info kursus anjuran Mingguan Wanita dan keusahawanan, join Telegram BANGKIT WANITA di sini : https://t.me/bangkitwanitaMW
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mantan Pegawai Bank Ini Kongsi Strategi Dana Simpanan, Moratorium Dan i-Citra

Isi Kandungan
ToggleJika anda sudah membuat pilihan mengambil moratorium, dan memohon i-Citra boleh cuba ikut saranan ini dan apa perkaitan kemudahan ini dengan dana simpanan anda.
Buat yang masih belum bertemu solusinya, cuba hadamkan perkongsian Mohd Shukur yang berpengalaman lebih 30 tahun mengendali Agensi Takaful. Perkongsian ini sudah pun diolah dengan gaya bahasa layman, agar lebih mudah difahami oleh sesiapa pun.
Sebelum ini Mingguan Wanita ada berkongsi berkenaan moratorium. “Ada ramai pembaca komen di sharing yang lepas, tetapi saya tidak dapat menjawab kesemunya.
Diharapkan agar perkongsian terbaru ini dapat menjawab sebahagian besar dari komen-komen pembaca tersebut.”
Strategi Dana Simpanan Anda, Moratorium Dan i-Citra
1) Sebelum anda buat keputusan samada ambil Moratorium atau tidak, periksa dahulu komponen pengurusan kewangan paling penting iaitu dana simpanan tunai anda.
2) Masih ada pekerjaan, pendapatan masih kekal setiap bulan, aliran tunai masih OK, Net Worth OK…..bukanlah jaminan untuk anda bersedia menghadapi cabaran selepas 6 bulan akan datang ini.
3) Dana Simpanan anda adalah benda yang sama dengan apa yang disebut sebagai Emergency Fund, Cash Reserve atau Aset Cair.
4) Ramai yang menyebut secara umum iaitu anda mestilah mempunyai duit simpanan untuk 6 bulan, ianya betul tetapi mari kita analisa secara lebih terperinci tetapi mudah difahami semua lapisan masyarakat.
Perhatikan 2 Perbelanjaan Bulanan Anda Ini
5) Ada 2 perbelanjaan bulanan anda yang besar iaitu :
(i) Perbelanjaan Tetap : Ansuran Sewa Beli Kenderaan kepada Bank, Ansuran Rumah kepada Bank atau bayaran sewa rumah & Caruman Bulanan Hibah Takaful. Katakan jumlah semuanya RM 2,000.
(ii) Perbelanjaan Isi Rumah iaitu perbelanjaan makan minum keluarga, bil elektrik dan air, bil telefon, internet, duit poket dan sebagainya. Katakan jumlah ialah RM 2,000.
Maka Jumlah tanggungan anda sebulan ialah RM 4,000 sebulan atau RM 48,000 setahun.
6) Jumlah Dana Simpanan yang anda sepatutnya ada jika anda berumur 40 tahun hingga 49 tahun ialah bersamaan setahun tanggungan perbelanjaan di nombor 5 tadi.
Ianya Nisbah Semasa antara Dana Simpanan ( Aset Cair anda ) dengan Tanggungan Perbelanjaan ialah 1:1
1:1 bermaksud 12 bulan : 12 bulan iaitu Dana Simpanan mencukupi untuk menanggung setahun tanggungan perbelanjaan ( bagi yang berumur 40 tahun hingga 49 tahun ).
Jika terjadi apa-apa yang mengakibatkan anda kehilangan pekerjaan dan aliran tunai, aset tetap anda seperti rumah kediaman, rumah pelaburan dan tanah tidak dapat membantu dengan segera kerana mengambil masa yang lama untuk dicairkan.
Kereta pula lagi tidak membantu kerana mengalami susut nilai besar setiap tahun dan jika ianya masih lagi dalam perjanjian sewa beli, nilainya mungkin lebih rendah dari baki hutang.
Duit KWSP juga tidak boleh dikeluarkan jika belum sampai had umur, maka untuk golongan yang terjejas ada baiknya anda mohon i-Citra untuk dimasukkan ke dana simpanan anda. Ianya memberi ketenangan fikiran untuk anda mengorak langkah ke depan.
Fahami Dana Simpanan Dan Aset Cair Ikut Had Umur
7) Dana Simpanan atau Aset Cair terdiri daripada wang tunai di rumah atau akaun bank, Simpanan ASB, Simpanan Tabung Haji, Unit Trust / Pelaburan tunai, Emas bar juga emas perhiasan mengikut nilai semasa.
Anda mestilah mempunyai jumlah aset cair di atas bersamaan jumlah setahun tanggungan perbelanjaan.
8) Bagi mereka yang berumur 39 tahun ke bawah, anda bolehlah mempunyai jumlah dana simpanan/aset cair berjumlah 6 bulan iaitu nisbah 0.5 : 1 dengan tanggungan perbelanjaan setahun.
Ini disebabkan dengan usia muda, anda boleh bangkit pantas untuk berniaga atau bekerja sendiri. Juga anda masih diterima dalam pasaran buruh / tenaga kerja untuk makan gaji.
9) Jika anda berumur 51 tahun ke atas, Dana simpanan / Aset cair anda mestilah nisbah 2 : 1.
Iaitu anda mempunyai jumlah aset cair untuk 2 tahun atau 24 bulan bagi menanggung perbelanjaan isi rumah jika ditimpa bencana seperti kehilangan pekerjaan atau perniagaan.
10) Pandemik kali ini akan menyebabkan kemerosotan ekonomi dengan nisbah 80 : 10 : 10 iaitu 80% terjejas, 10% bertahan dan 10% terus semakin kaya.
11) Anda boleh belajar mengira sendiri Dana Simpanan / Aset Cair anda dan nisbahkan dengan Tanggungan perbelanjaan anda mengikut umur anda sekarang.
Saranan Ambil Moratorium, Mohon i-Citra
12) Jika anda dapati Dana Simpanan / Aset Cair anda hanya bersamaan sebulan atau 3 bulan tanggungan perbelanjaan, anda dalam keadaan bahaya dan saya mengesyorkan anda mengambil Moratorium 100% 6 bulan untuk mengukuhkan dana simpanan anda di samping memohon i-Citra.
13) Sebab itulah Moratorium ini bukan hanya untuk yang terjejas pendapatan dan terbuka untuk M40 dan T20 sekali. Tetapi ianya adalah kesempatan untuk anda memperbaiki dana simpanan atau aset cair anda.
14) Baru-baru ini seorang lelaki berumur 40-an yang mempunyai gaji dan elaun RM 50,000 sebulan kehilangan pekerjaan. Kini pendapatannya ialah RM kosong. Jumlah tanggungan perbelanjaannya sangat tinggi ( saya tidak ada data ini cuma dimaklumkan oleh seorang rakan perancang kewangan ).
Saya dimaklumkan dia mempunyai gaya hidup mewah, baiklah itu boleh tukar jadi gaya hidup B40, tetapi bagaimana untuk membayar ansuran rumah dan keretanya sekarang ?
15) Janganlah anda terlalu mengira jumlah interest dari moratorium jika anda tidak mempunyai dana simpanan untuk sebulan pun. Lebih kurang sama sahaja setiap bank di Malaysia ini.
Ianya ibarat orang yang sedang terkapai-kapai lemas di lautan dalam tetapi nak membuat analisa dan kajian dahulu jika ada yang datang nak membantu.

Betulkan Dana Simpanan Anda
16) Untuk moratorium ini, jika faedah pinjaman perumahan anda ialah 3% sekarang dan anda menyimpan di ASB contohnya dengan dividen 4.5%, anda masih untung 1.5%.
Tetapi keuntungan paling besar yang sangat tinggi nilainya ialah ketenangan fikiran dan ketenteraman jiwa anda dan keluarga tersayang. Anda kini mempunyai dana simpanan untuk menghadapi sebarang kemungkinan akan datang.
17) Gunakan moratorium ini untuk membetulkan dana simpanan anda. Duit moratorium ini boleh simpan di ASB atau Tabung Haji supaya anda tiada risiko kehilangan modal.
Melabur itu boleh jika anda ada ilmu. Jangan laburkan duit moratorium jika anda bukan pakar. Ceritera indah untung main saham hanyalah nisbah 20:80.
Juga usah terpengaruh dengan mereka yang mengaku pakar. Pakar Ular pun mati dipatuk Ular. Pawang Buaya juga mati dibaham buaya. Jurulatih Payung Terjun mati ketika melakukan terjunan. Pakar Scuba pun boleh mati lemas, kepakaran bukanlah jaminan mereka akan selalu selamat.
18) Nasihat ini samada sesuai atau tidak sesuai untuk anda bergantung kepada situasi anda sendiri.
Saya berharap saya telah memberi sedikit sumbangan kecil kepada mereka yang membaca.
Jika anda nak FREE Tips kewangan setiap hari, belajar pengurusan kewangan, pelaburan & hartanah? Klik link ini, https://t.me/TipsKewanganPowerful dan JOIN bersama subscribers lain.
Apa pun keputusan anda ingatlah, apabila terjadi bencana nanti, tidak ada orang akan datang ke rumah anda dan berkata….. Hai, saya datang nak bayarkan ansuran rumah dan kereta anda setiap bulan.
Sayangi keluarga anda dan masa depan anak-anak.
Mingguan Wanita : Semoga berjaya mencapai kewangan tenang untuk anda dan keluarga.
Sumber/Foto : Mohd Shukur, Ex-Banker, 30 years in Takaful / Insurance / Finance.
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI