Berita

Bukan Sekadar Luka – Daun Dalam Bronkus & Perut Zayn Rayyan Undang Pelbagai Persoalan

Share

Mahkamah Sesyen hari ini didedahkan dengan keterangan pegawai penyiasat kanan bahawa terdapat tumbuhan daun jenis pulai dalam rongga tekak pernafasan (bronkus) dan perut kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin.

Hari ini, krew Mingguan Wanita berpeluang turun padang ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya untuk mengikuti perkembangan kes yang mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Objek Asing Dalam Abdomen

Menurut saksi pendakwaan ke-28, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail,  dapatan itu hasil bedah siasat dilakukan terhadap mayat Zayn Rayyan selain keputusan analisis oleh ahli kimia terhadap objek asing ditemui pada abdomen itu.

“Berdasarkan maklumat ini, saya jalankan siasatan di lokasi kejadian dan mendapati terdapat pokok pulai anggaran 10 meter dari tempat mayat Zayn Rayyan ditemui,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi.

Perkara itu didedahkan ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin pada perbicaraan hari ke-17 kes pengabaian dihadapi Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

“Pada jam 1.21 tengah hari 7 Disember 2023, hasil bedah siasat ke atas mayat Zayn Rayyan Abdul Matin terdapat kesan kecederaan yang berunsurkan jenayah.

“Semasa saya tiba dalam bilik bedah siasat, proses sedang dijalankan dan Dr Rohayu Shahar Adnan (perubatan perunding forensik) menunjukkan kepada saya keadaan telinga kiri Zayn Rayyan dalam keadaan seperti terkulai, lengan kanan terdapat kesan toreh dan dubur terdapat kesan tusukan objek,” katanya.

Mohd Hafizee yang kini bertugas sebagai pegawai kanan risikan dan operasi Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan berkata, terdapat beberapa kecederaan lain antaranya kesan lebam di dahi, belakang badan, lengan, dada, pipi, mata, bibir dan rahang yang ditemui pada mayat mangsa.

Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/doktor-pakar-simpulkan-kematian-zayn-rayyan-dijerut-selain-telinga-dipotong-dubur-luka-dimasukkan-objek-tumpul/

“Kesan kecederaan luka di bahagian telinga kiri, kesan lebam dan jerutan di bahagian leher, kesan luka seperti terhiris di bahagian lengan kanan, beberapa kesan kecederaan koyakan di bahagian dubur dipercayai menggunakan objek tumpul serta cebisan objek asing di dalam bronkus dan perut,” katanya.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-27, Pakar Perubatan Perunding Forensik, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pasir Gudang Johor, Dr Rohayu Shahar Adnan dalam keterangannya mengesahkan terdapat benda asing di temui pada rongga tekak pernafasan sebelah kanan dan dalam perut Zayn Rayyan.

Lelangit Lebam

Hasil bedah siasat itu juga menunjukkan, lelangit arwah Zayn Rayyan turut lebam menunjukkan benda asing dimasuk atau ditolak secara paksa ke dalam mulut dan benda asing itu tidak membawa kepada kematian kerana Zayn Rayyan bukannya tercekik akibat kemasukan benda asing (choked to death).

Sementara itu, Mohd Hafizee memaklumkan, berikutan hasil bedah yang dikatakan ada unsur jenayah, dia membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagaimana arahan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJD) IPD Petaling Jaya.

“Pada 10.30 malam (7 Disember 2023) saya bersama pasukan bergerak menuju ke lokasi kejadian. Sebaik tiba di Apartment Idaman, saya bersama pasukan pergi ke rumah Zayn Rayyan iaitu di tingkat dua bersama-sama pasukan siasatan yang terdiri daripada pasukan Forensik D10 Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan menjalankan siasatan di dalam rumah mangsa.

“Semasa masuk ke dalam rumah, saya terlihat sepasang kasut warna hitam dan terdapat kesan lumpur di sebelah peti ais di dalam bilik pertama di hadapan dapur. Saya kemudian arahkan pihak forensik untuk membuat tandaan dan arahkan jurufoto untuk mengambil gambar kasut itu untuk siasatan saya,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan pada 31 Mei 2024, kedua-dua tertuduh (Zaim Ikhwan dan Ismanira) ditangkap untuk siasatan berhubung kes yang kemudian pada 10 Jun 2024.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

 

Published by
Rosmah Idayu