Bukan Saja-Saja Dihidangkan, Ini Simboliknya Kenapa Yee Sang Jadi Makanan WAJIB Ada Ketika Raya Cina!

Share

Bagi masyarakat Tionghua, Yee Sang merupakan hidangan wajib ada dan disediakan ketika makan besar setiap kali meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama keluarga.Hidangan ini sebenarnya bukan saja-saja dihidangkan tapi punya simbolik dan makna yang tersendiripada perayaan ini.

Sebagai masyarakat Malaysia yang hidup bersama dengan kaum Cina tak salah kalau kita pun turut mengetahui simbolik Yee Sang ini. Apa pun hormati budaya dan adat agama lain, agar kita dapat hidup dalam keadaan harmoni di negara ini.

Perlu Tahu!

1. Masyarakat Cina percaya bahawa semakin tinggi Yee Sang diangkat ketika digaul, maka lebih banyak kemakmuran yang bakal dinikmati sepanjang tahun. Menu ini biasanya disajikan sebagai hidangan pembuka dan dianggap sebagai simbol penyatuan, kemakmuran dan lambang kemurahan rezeki yang akan diperoleh sepanjang tahun tersebut.

2. Dalam bahasa Cina, perkataan “Yee” bermaksud ikan yang turut membawa pengertian lain iaitu kekayaan berkekalan. Perkataan “Sang” pula merujuk kepada mentah dan turut mempunyai maksud lain iaitu hidup serta kebangkitan. Pendek kata, hidangan Yee Sang ini melambangkan simbol kemewahan dan panjang umur.

3. Inti Yee Sang biasanya terdiri daripada bahan-bahan seperti ikan mentah (salmon), hirisan sayur-sayuran seperti lobak merah, lobak putih, bijan, kekacang yang ditumbuk, halia, buah abung (pomelo), jus limau, serbuk lima rempah dan keropok rangup. Kesemua inti tersebut akan disusun secara rapi di atas sebuah pinggan bulat.

4. Sebelum proses menggaul Yee Sang dimulakan, sos plum yang mempunyai rasa masam dan manis akan dituang dan disusuli dengan tindakan memicit jus limau pada ikan mentah bertujuan untuk mengelakkan kemasukan bakteria selain menyedapkan rasa ikan itu. Selepas sos dituangkan, tibalah detik-detik yang dinanti-nantikan oleh semua iaitu proses menggaul Yee Sang .

5. Proses menggaul Yee Sang mempunyai cara yang tersendiri kerana semua inti Yee Sang itu digaul bersama secara agresif menggunakan penyepit oleh mereka yang berkumpul di keliling meja bulat.

6. Mereka yang berkumpul di keliling meja bulat digalakkan untuk menjerit perkataan ˜Lou Hei”. Dalam konteks ini, perkataan “Lou” bermaksud menggaul manakala “Hei” pula ialah naik.

7. Semakin tinggi Yee Sang itu diangkat dan digaul, maka lebih banyak kemakmuran yang bakal dinikmati sepanjang tahun. Selain kemakmuran yang ingin dicapai, masyarakat Cina turut percaya bahawa perkataan “Lou Hei” dijerit dengan harapan ia dapat memberi kesihatan lebih baik kepada seseorang.

Menarik bukan!

 

Published by
Suhaidah Abd Wahab