Sesungguhnya amat sukar menelan sebuah kenyataan yang cukup pahit. Bayangkan dahulunya dia seorang gadis yang normal serta lincah, tetapi dalam sekelip mata, nikmat berjalan direntap sekelip mata. Sudah tentu bukan mudah untuk menerima kekurangan ini.
Kemalangan
Satu kemalangan jalan raya telah merubah kehidupan Saerah bt, Abd Wahab, 40, sepenuhnya.
“Saya dilahirkan normal, membesar dengan sihat dan bersekolah hingga ke tingkatan enam. Pada 2 Ogos 1998 ketika saya berumur 20 tahun, bermulalah kehidupan saya sebagai OKU. Saya terlibat dalam kemalangan antara kereta dengan lori.
“Pada masa itu saya bercuti di rumah kakak selepas tamat tingkatan 6. Selain saya, kakak, abang ipar dan anak saudara juga tutur terlibat dalam kemalangan itu. Paling menyedihkan apabila anak saudara saya meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala kakak saya dan abang ipar cedera.
“Saya pula mengalami kecederaan tulang belakang (spinal cord injury L1
). sejak itu saya tidak mampu berjalan seperti biasa. Kini saya terpaksa bergantung dan bergerak menggunakan kerusi roda sekarang,” ungkap Saerah, seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) fizikal mengenangkan kisah silamnya.Tidak dinafikan bukan mudah untuk ibu beranak satu ini bangkit semula meneruskan kehidupannya serta melupakan segala impian dan cita-cita yang selama ini tertanam dalam jiwa. Benarlah kasih sayang ibu tiada sekatan, arwah ibulah, Sham Abu, menjadi tempat Saerah berkongsi suka dan duka.
Ibunya juga yang menjadi pendorong utama, memberi semangat setiap waktu. Jasa arwah ibu sentiasa berada di dalam hati. Jelasnya, semangat dirinya untuk sembuh kuat apabila arwah ibu memberi nasihat dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi dalam menjaganya ketika sakit. Kini, kerinduan kepada arwah tidak berpenghujung apabila ibu Saerah di jemput Ilahi pada tahun 2016 yang lalu.
Selain ibu, ayahnya, Abd Wahab Jusoh, juga banyak berkorban waktu dan memberi sokongan untuk Saerah kembali pulih. Ayahnya cuba ikhtiar pelbagai cara tanpa jemu untuk membawa wanita berasal dari Perlis ini untuk menerima rawatan perubatan.
Bersyukur Dapat Bekerja
Selepas kemalangan, Saerah dilanda perasaan bimbang jika tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya. Alhamdulillah rintihannya didengari dan dia dapat melanjutkan pelajaran di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi (PLPP), Selangor, dengan mengambil jurusan Teknologi Maklumat (Komputer).
“Semasa di PLPP, saya dan rakan-rakan terpilih untuk menerima bantuan dari Yayasan Kebajikan Negara dan OUM untuk melanjutkan pelajaran. Sekali lagi saya sangat bersyukur akhirnya dapat menamatkan pengajian saya di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Pengurusan Sumber Manusia.
“Pejam celik pejam celik, kini sudah 11 tahun saya bekerja dalam sektor kerajaan. Sokongan suami dan keluarga menjadi pendorong utama untuk saya terus berjaya dan bersemangat dalam menjalani hidup ini. Anak adalah penyeri hidup kami sekarang. Saya bahagia dengan kehidupan sekarang.
“Apa yang pasti, apabila bergelar OKU, kita seharusnya kuat semangat, tabah menghadapi dugaan hidup dan berfikiran positif untuk Berjaya dalam apa sahaja bidang yang diceburi,” kata Saerah yang kini mengalas tugas sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) di Bahagian Sumber Manusia (BSM), Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya.
Saerah turut berkongsi, kebanyakan tugasan hariannya melibatkan bidang pentadbiran unit termasuklah membuat surat atau memo dan edaran rasmi di bahagian.
Diterima Baik
Di samping itu, biar pun bergelar OKU, dirinya tidak pernah merasakan dirinya tersisih daripada rakan sekerja. Rakan-rakannya sangat memahami dan memberi kerjasama dengan baik. Mereka juga banyak membantunya dalam memudahkan tugasan harian.
Begitu juga dengan tanggapan masyarakat terhadap golongan OKU, rata-ratanya sekarang masyarakat lebih memahami OKU, keperluan OKU dan kemudahan yang perlu diberi perhatian. Penglibatan OKU dalam masyarakat sekarang lebih banyak kerana diberi peluang dan kemudahan.
Siapa sangka dengan keadaan sebegini, Saerah bukanlah calang-calang orangnya. Suatu ketika dahulu, dia aktif bersukan dan pernah mewakili Malaysia. Pada tahun 2006, Saerah mewakili Malaysia dalam sukan lawan pedang di Thailand. Manakala pada tahun 2011, wanita ini telah mewakili Malaysia dalam sukan ASEAN PARAGAMES, SOLO Indonesia menerusi acara ping pong.
Manusia dan cita-cita sememangnya tidak dapat dipisahkan. Begitu juga dengan Saerah, untuk kariernya, dia berazam untuk kenaikan pangkat yang lebih tinggi dari sekarang. Manakala apabila melibatkan kehidupannya, dia berharap sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan bahagia di samping suami, Mohd Ridzwan Che Harun, dan anak tercinta, Nur Zara Batrisya binti Mohd Ridzwan, umur 7 tahun.