Ternyata bukan mudah untuk mencari pengganti yang serupa dengan isteri pertama. Jika takdir Allah menentukan bahawa sang isteri pergi buat selamanya terlebih dahulu, jadi siapa kita untuk melawannya. Hakikatnya, bukan mudah untuk mencuba nasib dalam perkahwinan kali kedua kerana isteri pertama tiada gantinya sampai bila-bila.

Syafiq dan Musliha merupakan pasangan merpati dua sejoli. Sejak bercinta hinggalah mendirikan rumah tangga, pasangan ini dikenali oleh keluarga dan teman-teman sebagai pasangan yang romantis. Syafiq merupakan suami yang cukup penyayang dan sangat kasihkan isterinya Musliha.

Biar pun sibuk di pejabat, setibanya di rumah, Syafiq akan membantu Musliha menguruskan anak-anak, sementara Musliha memasak di dapur. Begitu juga dengan kerja rumah, Syafiq cukup ringan tulang membantu isterinya. Setiap kali tibanya ulangtahun perkahwinan dan ulang tahun kelahiran, pasti ada kejutan Syafiq buat isterinya.

Hubungan yang indah dan bahagia ini berlangsung sehingga usia perkahwinan mereka mencecah usia 50 tahun. Kemanisan rumah tangga yang dibina akhirnya tercuit apabila Musliha disahkan menghidap kanser payudara tahap empat. Bagaikan batu besar menimpa kepala Syafiq apabila isteri yang dicintai dikhabarkan bakal pergi tidak lama lagi.

Ads

Disahkan Kanser

Walaupun Musliha seakan menyerah kerana tidak mahu melakukan apa-apa rawatan tetapi demi suaminya, dia ikutkan saja. Selain rawatan di hospital, dirinya turut mendapatkan rawatan alternatif. Suami dan anak-anak menjadi penguat semangat untuk Musliha teruskan hidup.

Jauh di sudut hati Musliha, dai bersyukur dirinya menghidap kanser dalam usia begini. Anak-anak sudah besar dan sudah tentu dapat menjaga ayah mereka. Tetapi tidak bagi Syafiq, dirinya seakan tidak mahu melepaskan isterinya pergi. Sudah takdir Allah SWT, selepas enam bulan bertarung kanser, akhirnya Musliha pergi buat selamanya.

Dari hospital hinggalah selesai urusan pengebumian, Syafiq langsung tidak menitiskan air mata. Anak-anaknya mula bimbang dengan bebanan emosi yang tidak tertanggung oleh ayah mereka. Puas dipujuk, Syafiq sukar untuk menjamah makanan. Setiap kali usai solat, dia akan terus menjengah pusara isterinya.

Ads

Tidak kira siang atau malam. Panas atau hujan, jika hilang di pandangan mata sudah tentu dia akan ke kubur. Melihat keadaanya yang sebegitu anak-anak merasakan ayah mereka perlukan teman untuk berbicara.

Kahwin Kerana Terpaksa

Setelah menetapkan beberapa syarat, akhirnya terpaksa jua berkahwin lain demi menjaga hati anak-anaknya. Namun kehadiran isteri baru, Hawa, membuatkan Syafiq rimas. Dirinya sentiasa membezakan isteri barunya dengan Musliha. Maklumlah hampir separuh usianya dihabiskan bersama Musliha.

Ads

Biar pun isterinya baru Syafiq sempurna serba-serbi tetapi dia tetap merasakan wanita itu tidak secocok dengannya. Hawa merupakan anak dara lanjut usia, dirinya sangat lemah-lembut dan tidak pernah meninggikan suara walaupun tidak dilayan dengan baik.

Lama-kelamaan, Syafiq merasakan lebih baik dia dan Hawa berpisah sahaja. Tidak adil jika dia terus-terusan mendera perasaan isterinya itu. Setelah bercakap baik-baik akhirnya Hawa memahami keadaan dirinya.

Sesungguhnya cinta Syafiq kepada Musliha terlalu agung dan tiada siapa pun mampu menjadi pengganti tempat isterinya. Semoga Hawa dikurniakan lelaki yang lebih baik dan mampu menjaga dirinya. Ternyata tiada pengganti terbaik untuk isteri pertama sampai bila-bila.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI