Bukan Kali Pertama Jadi Sudah Lali, Cuma Sebagai Ibu Tidak Sanggup Anak Diejek

Share

Fizikal dan rupa paras seseorang adalah kurniaan Allah SWT, begitu juga dengan tanda lahir.

Ada orang tanda lahirnya tersorok jadi tidak mendatangkan masalah, namun ada juga di kalangan kita tanda lahir di bahagian muka, terus nampak dan jelas pada pandangan mata orang.

Tetapi itu bukanlah alasan untuk kita menyoal atau mengejek kurniaan Allah yang sudah tentu menyakiti hati orang lain.

Bagi Shaharizah ini bukan kali pertama jadi dia sudah lali, cuma sebagai ibu tidak sanggup anak pula diejek kerana wajah ibunya sebegini.

Bukan Kali Pertama Jadi Sudah Lali

“Muka itu kena sumpah ke?” antara komen yang dilontarkan seorang pelayar di aplikasi TikTok kepada Shaharizah Sahari yang memiliki tanda lahir di pipi kanannya.

Shaharizah, 35, kemudiannya memuat naik hantaran balas video dengan menyatakan tanda lahir yang dimilikinya itu tidak seharusnya dianggap sebagai ‘sumpahan’ tetapi kurniaan Tuhan kepadanya sejak lahir lagi.

Perkongsiannya itu mendapat perhatian warganet sehingga meraih jutaan tontonan di akaun TikTok miliknya.

Menurutnya, ia bukanlah kali pertama menerima ejekan kerana mempunyai kelainan pada rupa parasnya.

“Saya sebenarnya tidak termakan dengan komen sebegitu kerana sudah lali.

“Sejak kecil lagi saya terima banyak ejekan daripada rakan-rakan sekolah.

“Sampai ada satu hari, saya pernah berniat mahu membunuh diri dengan pisau ketika berusia 12 tahun, namun apabila meningkat dewasa saya menerimanya (tanda lahir) dengan reda,” katanya.

Cuma Sebagai Ibu Tidak Sanggup Anak Diejek

Menurutnya, dia juga tidak menyangka hantarannya di TikTok memperoleh jutaan tontonan dan berharap ia menjadi pengajaran kepada warganet supaya berhati-hati dalam memuat naik sebarang komen di media sosial.

“Pada awalnya terasa juga, apabila baca komen warganet lain terus gembira dan seronok.

“Walaupun terima satu komen negatif tetapi ratusan yang membalasnya dan mendoakan kesihatan serta kesejahteraan saya sekeluarga.

“Sekarang hanya fikirkan perasaan anak, saya tidak mahu dia menerima ejekan kerana wajah ibunya sebegini,” katanya.

Baca Juga Di sini:

15 Tahun Perkahwinan Dikurniakan 5 Anak Lelaki, AG Azmeer Gandakan Syukur

Bersyukurlah Dengan KURNIAAN Allah, Jangan Sekali BANDINGKAN Hidup Sendiri Dengan Orang 

Untuk info lebih menarik, klik saja di sini. 

Pernah Menjalani Pelbagai Rawatan

Shaharizah berkata, pelbagai alternatif rawatan dibuat bagi memudarkan tanda lahir pada wajahnya termasuklah rawatan moden dan tradisional.

Menurutnya, dia pernah cuba buat melakukan rawatan memudarkan dan menghilangkan ketulan tanda lahir itu supaya kelihatan lebih cantik sebelum berkahwin dengan suaminya, Zaidi Daing Pasolong, 38, pada Jun 2018 tetapi ia kurang berkesan.

“Saya masih lagi berharap permohonan untuk melakukan rawatan laser di hospital kerajaan diterima kerana rawatan di klinik atau hospital swasta agak mahal.

“Ketumbuhan biji-biji pada wajah ini juga buat saya tidak selesa dan sering sakit kepala,” katanya.

Tanda Lahir Bukanlah Kecacatan

Menurutnya, dia tidak menganggap rupa parasnya sebagai kelemahan diri kerana tanda lahir itu bukanlah suatu kecacatan.

“Saya bersyukur dikurniakan tubuh badan yang sihat, boleh bekerja dan mampu menyara keluarga,” katanya yang bekerja di sebuah kilang di Johor Bahru, Johor.

Dia juga bersyukur apabila Allah kurniakannya penghibur hati, Muhammad Aisy Ziqri Zaidi, anak lelaki yang baik dan sempurna berusia 18 bulan.

Terdahulu, perkongsian Shaharizah yang dimuat naik pada Oktober lalu tular di aplikasi TikTok sehingga meraih lebih 1.3 juta tontonan, 64,000 tanda suka dan 2,000 komen setakat ini.

MW: Sebelum mengejek atau mencerca kekurangan orang lain, cuba cermin diri sendiri dahulu. Wajah yang cantik atau tampan tidak menjamin bahawa anda seorang yang sempurna di sisi Allah SWT. Renung-renungkan.

Sumber: myMetro

Published by
Nur Syazwani Mehat